Sebuah lagi artikel berunsur fitnah dan tuduhan terhadap ESQ dan Dr Ary Ginanjar tersebar. Selain di internet, ia juga dihantar kepada tokoh-tokoh berpengaruh yang mungkin dikhuatiri menjadi pendokong Modul ESQ yang diasaskan oleh Dr Ary Ginanjar Agustian.
Artikel ini sarat dengan kajian terhadap kebencian bangsa Yahudi kepada Islam dan latarbelakang seorang wanita Amerika berketurunan Yahudi bernama Danah Zohar yang cuba digambarkan mempunyai ‘keakraban’ meragukan dengan Dr Ary Ginanjar Agustian.
Kami akan cuba menjelaskan kekeliruan penulisan artikel itu satu persatu, insyaAllah ;
PERKARA SATU : YAHUDI TIDAK PERNAH AKAN REDA DENGAN ISLAM DAN ISLAM YANG DIBAWA OLEH ARY GINANJAR ADALAH ISLAM YANG TIDAK SAMA DENGAN YANG DI BAWA NABI MUHAMMAD SAW.
Artikel itu dimulai dengan Ayat Al Quran surah Al Baqarah ayat 120 dan Surah Al Maidah ayat 82 yang menjelaskan tentang permusuhan dan kebencian bangsa Yahudi kepada Islam yang tidak akan berubah sehingga kiamat. Keraguan ditimbulkan apabila Danah Zohar, seorang wanita Amerika keturunan Yahudi yang pernah tinggal di Israel selama 4 tahun memuji Islam yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar seperti yang tertera di kulit buku ESQ versi bahasa Inggeris. Kata-kata pujian itu berbunyi
“Ary Ginanjar brings the deep power of ESQ to a vision of renewed and compassionate Islam. He has the voice of a wise teacher. His words opened my heart to the beauty of a faith I had never before understood”.
Apa yang dipertikaikan oleh oleh penulis adalah tidak mungkin seorang Yahudi boleh ‘reda’ dengan Islam kerana menurut kefahaman penulis, ia bertentangan dengan maksud ayat Al Quran surah Al Baqarah 120 dan Al Maidah ayat 82. Menurut penulis lagi, apabila itu berlaku, bermakna Islam yang dibawa itu, bukan Islam sebenar seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.. 1400 tahun dahulu. Ia dianggap sebagai Islam yang telah di’ubah’ atau diperbaharui.
PENJELASAN PERKARA SATU :
Maksud Ayat Al Quran dari surah Al Baqarah ayat 120 dan Al Maidah 82 itu sama sekali tidak merupakan perintah larangan dakwah kepada bangsa Yahudi. Dr Ary Ginanjar menyampaikan hikmah Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan dan keindahan Asmaul Husna kepada sesiapa saja tanpa pilih kasih atau syakwasangka. Ia sesuai dengan perintah Rasulullah di dalam hadis yang bermaksud ;
“Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat”.
Pandangan yang diberikan oleh Danah Zohar terhadap ESQ dan Islam yang diperkenalkan oleh Dr Ary Ginanjar, yang disiarkan di buku ESQ versi bahasa Inggeris itu, adalah luahan hati Danah Zohar selepas mendengar presentation Dr Ary di Oxford pada 15 Mac 2007.
Presentation Dr Ary Ginanjar di Oxford yang bertajuk “Spirituality in Islam” adalah sebuah perkongsian tentang keindahan Asmaul Husna dan kepentingan bagaimana Islam menjaga Spirituality dengan 6 Prinsip (Rukun Iman) dan 5 Langkah (Rukun Islam).
Peserta-peserta seminar yang terdiri daripada para tokoh spiritual dari seluruh dunia, didedahkan dengan keindahan Islam yang selama ini tidak pernah mereka bayangkan. Apa yang tergambar tentang Islam selama ini di fikiran mereka adalah keganasan dan kekejaman. Tambahan lagi presentation itu berjalan dalam situasi barat masih hangat dengan berita pengeboman di Londan dan peristiwa 11 September. Hingga Dr Ary yang hadir di dalam daftar kehadiran ditulis sebagai ‘extream’ Islam. Apabila ditanya mengapa Dr Ary dianggap ‘extream’ Islam, pihak penganjur menjawab kerana beliau seorang Muslim yang melakukan solat.
Inilah gambaran Islam di mata mereka. Bagaimanapun, Dr Ary Ginanjar tetap berhikmah di tengah mereka, menyampaikan Islam tanpa ragu, takut atau silu. Di akhir presentationnya, Dr Ary membacakan zikir Asmaul Husna sambil menerangkan makna nama-nama Allah sehingga peserta menangis dan mereka memberi kata-kata pujian seperti “Allah is Great”, “Islam is peace” dan sebagainya. Kerana apa yang disampaikan kepada mereka adalah Islam yang penuh damai dan indah. Yang selama ini disembunyikan dari masyarakat dunia oleh musuh-musuh Islam dan juga oleh sikap umat Islam sendiri yang prajudis, mudah menghukum dan ragu-ragu dengan penerimaan orang asing kepada agama Islam itu sendiri.
Apa yang dilakukan oleh Dr Ary Ginanjar hanyalah berdakwah menyampaikan Islam kepada sesiapa yang ingin mengetahui. Apakah kerana Danah Zohar seorang berketurunan Yahudi, tugas dakwah menjadi tidak wajib dan dilarang? Sesungguhnya, makna dakwah itu terlalu luas, tidak sekadar ‘ceramah’ tetapi juga akhlak dan sikap baik kepada sesama manusia. Ada sebuah kisah indah yang dicontohkan oleh Rasulullah untuk menjelaskan hal ini.
Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Saidina Abu Bakar yang diamanahkan tanggungjawab menggantikan baginda begitu berusaha mencontohi semua perkara yang pernah dilakukan oleh baginda yang tercinta. Termasuklah dengan memberi makan seorang Yahudi buta di pasar seperti yang disampaikan oleh anaknya Siti Aisyah.
Namun sewaktu Abu Bakar ke pasar dan berdiri di hadapan Yahudi pengemis buta itu, hatinya bagai diguris tajam mendengar pengemis yang sering diberi makan oleh Rasulullah itu sedang mencaci maki baginda yang mulia. Atas niat awalnya untuk mencontohi Rasulullah, Abu Bakar bersabar dan tetap menghulurkan roti yang dibawanya kepada Yahudi itu. Namun ia ditolak oleh Yahudi itu dengan berkata, “Kamu bukan orang yang sering memberiku makan…” Abu Bakar tersentak lalu bertanya kehairanan bagaimana Yahudi itu tahu? Yahudi itu menjawab, “Orang yang sering memberi ku makan akan menyuapkan makanan langsung ke mulutku. Di manakah dia? Sudah lama dia tidak memberiku makan…”
Mendengar kata-kata pengemis buta itu, Abu Bakar tidak dapat menahan tangisnya. Pengemis itu kehairanan. Dalam sebak, Abu Bakar menyampaikan bahawa, lelaki yang sering memberinya makan dengan penuh lembut dan kasih itu adalah lelaki yang sering beliau caci dan hina iaitu Muhammad saw. Kini Muhammad sudah tiada. Baginda sudah wafat…” Mendengar itu Yahudi itu langsung menangis dan diriwayatkan tidak lama kemudian, beliau telah memeluk agama Islam.
Islam itu adalah agama Fitrah dan apabila disampaikan dengan benar, akan membuatkan sesiapa saja tunduk dan akur dengan kebenarannya. Apa yang disampaikan oleh Dr Ary Ginanjar di Oxford, kepada Danah Zohar atau kepada sesiapa saja dan di mana saja, adalah sesuatu yang sama dengan apa yang ditulis dibukunya yang boleh dibaca dan dinilai oleh sesiapa saja . Tidak ada yang disembunyikan, termasukkan pujian Danah Zohar. Pujian Danah Zohar kepada Islam yang diperkenalkan oleh Dr Ary Ginanjar dimunculkan di buku ESQ versi bahasa Inggeris adalah bertujuan untuk memancing para pengikut Danah Zohar untuk mendekati Islam.
KESIMPULAN PERKARA SATU :
Tuduhan yang mengatakan Islam yang dibawa oleh ESQ adalah Islam yang diperbaharui dan bukan Islam sebenar seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah tidak benar dan tidak mempunyai sebarang sandaran dan bukti. Jika tuduhan ini benar, pastilah ESQ sudah lama ditolak oleh rakyat Malaysia dan tidak ada mufti yang akan menyokong dan sama-sama berusaha menjelaskan segala kekeliruan yang timbul silih berganti. Mana mungkin ajaran Islam berlainan dari apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. akan dibenarkan oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang 7 kali membahaskan kandungan dan intipati ilmu ESQ dan akhirnya membenarkan ESQ terus berjalan di Malaysia. Islam yang disampaikan oleh Dr Ary Ginanjar adalah dari ilmu Islam yang sangat asas iaitu Rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan. Apa yang mungkin boleh dianggap baru hanyalah metod atau kaedah menyampaikannya yang penuh halus, hikmah, moden dan indah. Tidak seperti yang sering dilakukan oleh segelintir pendakwah iaitu kaku, bosan, menghukum, menghina dan merendahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya atau yang menolak dakwahnya.
PERKARA DUA : SIAPAKAH DANAH ZOHAR DAN APA HUBUNGANNYA DENGAN ARY GINANJAR?
Di dalam artikel tersebut penulis membentangkan latar belakang Danah Zohar yang diambil dari internet dan juga melalui buku Danah Zohar bertajuk “The Quantum Society”. Menurut penulis, Danah Zohar cuba menyembunyikan fakta bahawa beliau pernah tinggal selama 4 tahun di Israel kerana ada sesuatu yang ingin dirahsiakan.
Penulis juga menghuraikan makna di sebalik nama Zohar yang menurut kajiannya adalah nama kitab suci terpenting bagi pengikut-pengikut pergerakan Kabbalah. Menurut ajaran kitab Zohar, teks Torah mempunyai makna zahir dan batin sehingga empat tahap yang membuatkan bangsa Yahudi sentiasa mengamalkan “double personality” dalam hubungan mereka dengan bukan Yahudi. Kerana itu Danah Zohar dilihat pasti mempunyai agenda tersembunyi apabila memuji Dr Ary Ginanjar dan Islam yang dibawanya sehingga hubungan Dr Ary Ginanjar dengan Danah Zohar dilihat mempunyai ‘hidden agenda’ untuk perjuangan Yahudi.
PENJELASAN PERKARA DUA :
Di dalam Al Quran yang suci yang menjadi panduan dan rujuan kita semua, Allah berfirman yang bermaksud ;
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum itu, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”\
Maksud ayat 8 surah Al Maaidah.
Hubungan Dr Ary Ginanjar dengan Danah Zohar adalah hubungan professional yang mempunyai kepentingan dakwah. Pertama kali Dr Ary Ginanjar mengenali Danah Zohar adalah sewaktu membaca bukunya yang bertajuk Spiritual Quotient di tahun 2000, sebaik buku ESQ selesai beliau tulis tetapi belum di terbitkan.
Di dalam buku ESQ, Dr Ary Ginanjar membuat sebuah Model yang diberi nama ESQ Model yang menggabungkan 3 kecerdasan manusia iaitu IQ, EQ dan SQ melalui kesepaduan 6 Rukun Islam, 5 Rukun Iman dan Ihsan. Kesemua istilah yang digunakan di dalam Model itu menggunakan bahasa Inggeris kerana niat Dr Ary Ginanjar yang mahu membawa nilai-nilai Rukun Islam, Iman dan Ihsan ke persana antarabangsa dan menjadi solution masalah dunia. Terutama di bidang Pembangunan Sumber Manusia (Human Resourse) yang selama ini dikuasai barat. Namun Dr Ary Ginanjar waktu itu mengalami kesukaran untuk mencari istilah bahasa Inggeris yang sesuai untuk menterjemah perkataan Fitrah yang diletakkan di tengah ESQ Model.
Di dalam buku Spiritual Quotient karangan Danah Zohar, Dr Ary Ginanjar menemukan istilah “God Spot” dari sebuah penemuan saintifik oleh VS Ramachandran yang mampu menjelaskan fitrah bertuhan di dalam diri manusia secara bukti sains. Bagi Dr Ary Ginanjar, penemuan ini sangat penting untuk membawa golongan professional, korporat dan moden yang sangat berpegang kepada sains untuk mahu kembali mendekati agama. Atas dasar itu, Dr Ary Ginanjar akhirnya memutuskan menggunakan istilah “God Spot” sebagai menjelaskan Fitrah Bertuhan yang wujud di dalam diri setiap manusia samaada mereka sedari atau tidak.
Ada dua kepentingan mengapa istilah “God Spot” ini di gunakan. Pertama untuk menggantikan perkataan Fitrah di dalam bahasa Inggeris supaya mampu diterima di korporat-korporat dan syarikat-syarikat bertaraf dunia dan yang kedua, sebab yang lebih utama adalah supaya Dr Ary Ginanjar mempunyai alasan untuk terus menjelaskan makna Spiritual Quotient yang dari Danah Zohar terputus, atau tidak bersambung kepada konsep bertuhan. Di dalam bukunya, Dr Ary Ginanjar menyebutkan ;
“Value tertinggi manusia (the ultimate meaning) sebenarnya terletak pada God Spot tersebut, namun ironinya, kecerdasan spiritual (SQ) yang ditemui oleh sarjana-sarjana barat itu, belum lagi dapat menjangkau nilai-nilai ketuhanan. Perbincangannya hanya terbatas kepada biologi-psikologi yang akhirnya hanya menemui jalan ‘buntu’.
Inilah sebab yang lebih utama dan strategi yang sungguh penting dan perlu. Melalui penggunaan istilah “God Spot”, ESQ masuk ke syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Petronas, Sime Darby, Pertamina dan lain-lain lagi yang selama ini Pengurusan Sumber Manusia mereka adalah kebanyakannya dari acuan barat.
Saat itu, majoriti di dunia korporat, apabila ingin membicarakan soal agama seperti rukun Iman, Islam dan Ihsan, tempatnya hanyalah di surau sebagai aktiviti tambahan para pekerja. Bukan menjadi dasar mencorakkan sumber manusia apatah lagi menyusun pentadbiran atau pengurusan sebuah syarikat dan kepimpinan. Inilah yang telah berjaya ditembus oleh ESQ Model dengan bertopengkan istilah-istilah Inggeris yang digunakan.
Walaupun Dr Ary Ginanjar di dalam bukunya ESQ dan Danah Zohar di bukunya SQ, kedua-duanya mengangkat penemuan “God Spot” namun isi dan huraiannya adalah jauh berbeza seperti langit dan bumi. Kekurangan Danah Zohar dalam menjelaskan kepentingan bertuhan dan agama disempurnakan oleh Dr Ary Ginanjar di dalam buku ESQnya yang menghuraikan dengan tuntas, jelas dan berani tentang kehebatan Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan dalam menyelesaikan masalah manusia.
Setelah beberapa tahun kedua-dua buku ini ada di pasaran, akhirnya mereka telah mendapat kesempatan bertemu muka di Indonesia di dalam sebuah Seminar yang salah seorang pembicaranya adalah Danah Zohar. Dari pertemuan itu, Danah Zohar telah mengundang Dr Ary Gainanjar untuk berkongsi konsep ESQ di Oxford. Kesempatan itu tidak di lepaskan oleh Dr Ary Ginanjar untuk memperkenalkan keindahan Islam. Dari seminar di Oxford, Danah Zohar melahirkan kekaguman dan rasa tertariknya kepada Islam sehingga Dr Ary Ginanjar terus berusaha membawanya dekat dengan ajaran Islam dengan niat dakwah dan ingin agar dia bersyahadah. Akhirnya diaturkan satu lagi seminar di Indonesia pada 12 Jun 2007 dengan tajuk “When East Meet West”. Seminar yang bermula dengan pembentangan Spiritual Capital oleh Danah Zohar dan EQS oleh Dr Ary Ginanjar, berakhir dengan perdebatan apabila Danah Zohar mempertahankan pendiriannya bahawa spiritual cukup tanpa agama sedangkan Dr Ary Ginanjar berkeras mempertahankan tidak cukup Spiritual tanpa agama dan Islam adalah penyelesaian terbaik yang diperlukan manusia.
Perdebatan ini disaksikan oleh kesemua peserta seminar yang berjumlah lebih dari 500 orang. Walaupun setelah seminar, Danah Zohar mengakui hujah Dr Ary Ginanjar namun ia belum membuat keputusan untuk bersyahadah. Setelah seminar itu, tidak ada lagi sebarang kerjasama antara Dr Ary Ginanjar mahupun ESQ Leadership Center dengan Danah Zohar melainkan hubungan biasa antara sesama penceramah di bidang Spiritual dan bisness.
Kewajipan umat Islam hanyalah berdakwah atau menyampaikan kebenaran. Hidayah sesungguhnya adalah milik Allah. Tindakan mengaitkan Dr Ary Ginanjar dengan Yahudi hanya kerana dia berdakwah dan bergambar dengan Danah Zohar adalah keterlaluan dan sangat jelas boleh mengelirukan orang. Cuba bayangkan, apabila umat Islam melakukan urusan dengan syarikat-syarikat yang jelas milik bangsa Yahudi seperti McDonald, Citibank, Visa dan lain-lain lagi, apakah dengan mudah mereka boleh dianggap penyokong Yahudi dan mempunyai niat jahat? Bagaimana dengan tindakan sebuah negara seperti Malaysia yang memberi ruang kepada syarikat-syarikat milik bangsa Yahudi beroperasi di dalam Negara? Apakah boleh tuduhan dan fitnah dilempar dan disebarkan sebagai Malaysia negara agen Yahudi? Sesungguhnya banyak hal perlu dipertimbangkan sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Sesungguhnya sebagai Muslim, menurut Dr Ary Ginanjar dalam berhubungan dengan orang yang bukan beragama Islam, beliau sentiasa berpegang dengan panduan yang diberikan Allah di dalam Al Quran, surah Al kafirun yang bermaksud ;
“Katakanlah, ‘hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu dan untukku agamaku.”
Maksud dari Surah Al kafirun.
KESIMPULAN PERKARA KE DUA:
Siapa Danah Zohar dan apakah dia mempunyai agenda tersembunyi, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Pihak ESQ Leadership Center mahupun Dr Ary Ginanjar sendiri tidak pernah mempertahankan atau membela Danah Zohar. Pihak ESQ juga sentiasa menghormati hak sesiapa saja untuk berhati-hati dengan bangsa Yahudi. Apa yang dilakukan oleh ESQ hanyalah sebahagian dari tugas dakwah. Dalam menilai hal ini, yang menjadi sandaran kita seharusnya adalah apakah tujuan ESQ dan bagaimana tujuan itu dilaksanakan oleh Dr Ary Ginanjar dan pasukannya. Jika ada tindakannya yang jelas salah dan bertentangan dengan agama, ia sewajarnya ditegur dan diperbaiki. Tetapi jika yang ada hanyalah syakwasangka dan andaian yang tidak ada sandaran atau bukti, itu adalah sikap menabur fitnah yang lebih bahaya dari membunuh dan sangat dilarang oleh Islam. Walaupun Dr Ary Ginanjar belum berjaya mengIslamkan Danah Zohar, namun paling kurang Dr Ary Ginanjar telah berjaya menyelamatkan ramai orang dari tersalah menerima bulat-bulat SQ Danah Zohar dengan membawa ESQ Model yang mengangkat Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan sebagai panduan kehidupan yang benar dan lengkap, setanding penyampaiannya dengan training-training berkelas dunia yang dibawa oleh barat.
PERKARA KE TIGA : ARY GINANJAR DI DAKWA MENGAKU PENDOKONG FAHAMAN LIBERAL DAN PLURALISME YANG MENJADI SENJATA YAHUDI MEROSAKAKAN ISLAM DAN KERANA ITU DANAH ZOHAR MEMUJI ISLAM YANG DIBAWA OLEH DR ARY GINANJAR.
Penulis menghuraikan kaedah Yahudi di dalam merosakkan umat Islam di era ini adalah dengan cara yang lebih halus dan tersembunyi. Antaranya adalah dengan menyokong konsep liberal dan Pluralisme di dalam agama hingga lahir tokoh-tokoh liberal dan Plural di kalangan umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Indonesia sendiri. Antara tokoh yang dikaitkan dengan pegangan ini di Indonesia adalah Emha Ainum Nadjib, Dr HA Syafii Maarif dan Dr Nurcholis Madjid.
Dr Ary Ginanjar dituduh liberal dan pendukung pluralisme agama apabila di dalam buku ESQ Edisi pertama, beliau ada memetik Puisi Emha yang menurut tafsiran penulis,
jelas menolak eksklusivisme agama. iaitu (menurut penulis) fahaman bahawa Islam sahaja agama yang benar dan diterima Allah Taala, manakala agama lain adalah batal dan sesat.
Selain itu, penulis juga menyimpulkan Dr Ary Ginanjar sebagai pendukung fahaman Liberal apabila memberi kata-kata penghargaan kepada 2 tokoh yang menurut penulis, adalah tokoh Islam Liberal di Indonesia iatu Prof Dr HA Syafii Maarif dan Prof. Dr. Nurcholish Madjid. Kata-kata penghargaan itu diambil di bahagian Ucapan Terima Kasih, buku ESQ yang diterbitkan pada 2001.
Atas hujah inilah, penulis menyimpulkan sebab atau alasan mengapa Danah Zohar memuji Islam yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar.
PENJELASAN PERKARA KE TIGA :
Dr Ary Ginanjar tidak pernah secara bertulis atau lisan mendukung atau mengaku mendukung fahaman Liberal atau Pluralisme agama yang mengatakan semua agama benar. Dakwaan yang mengatakan Dr Ary Ginanjar mengaku pendukung pluralisme agama adalah dakwaan yang boleh dianggap fitnah. Sesungguhnya ia hanyalah tafsiran atau kesimpulan yang diambil tanpa pernah bertanya atau melakukan tabayun dengan pihak yang dituduh. Ia jelas bertentangan dengan kaedah Islam seperti perintah Rasulullah di dalam hadisnya.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud ;
Bila dua orang yang bersengketa menghadap kamu, janganlah kamu berbicara sampai kamu mendengarkan seluruh keterangan dari orang kedua sebagaimana kamu mendengarkan keterangan dari orang pertama. (HR. Ahmad)
Di dalam buku ESQ, kata-kata Dr Ary Ginanjar yang lengkap tentang Emha yang dikontroverikan adalah ;
“Cara pandang Emha Ainun Nadjib yang begitu moderat dan pluralis, tanpa kehilangan karakter dalam memandang agama…”
Apa yang dimaksudkan oleh Dr Ary Ginanjar tentang istilah pluralis di dalam ayat di atas bukanlah pluralisme agama seperti yang difahami penulis. Dr Ary Ginanjar yang bukan ahli Pengajian Falsafah agama memaknakan perkataan pluralis, sebagaimana masyarakat awam beranggapan sebagai toleransi dengan damai. Begitu juga dengan maksud dari bait puisi dibawah ;
“Jika dalam buku ini ada Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan, bukan bererti ekslusivisme aliran atau agama, tetapi keinginan untuk menyampaikan kebenaran”
Penulis menafsirkan perkataan “bukan bererti ekslusivisme aliran atau agama” yang ditulis dibuku Dr Ary Ginanjar sebagai menolak fahaman bahawa Islam sahaja agama yang benar dan diterima Allah taala, manakala agama yang lain adalah batal dan sesat. Sedangkan menurut Dr Ary Ginanjar, apa yang beliau maksudkan dengan ayat di atas adalah walaupun buku itu mengupas tentang rukun Islam, Iman dan Ihsan tetapi ia tidak bermaksud untuk bercakap tentang perbezaan tetapi untuk menyampaikan kebenaran. Hakikatnya ayat ini adalah ayat penuh hikmah untuk tidak menakutkan golongan yang jauh dari agama dari membaca buku ini. Apabila melihat tajuk buku ini iaitu rahsia sukses membangunkan kecerdasan Emosi dan Spiritual melalui Rukun Iman dan Rukun Islam, pasti timbul rasa tidak selesa bagi mereka yang tidak berminat dengan hal-hal menyentuh soal agama. Dengan puisi ini, Dr Ary cuba mengajak, mereka berfikiran lebih terbuka dan berani membaca buku itu dahulu sebelum menolaknya.
Di waktu buku ESQ yang menjadi rujukan penulis ini ditulis, iaitu dari tahun 1999 hingga diterbitkan pada 2001, Emha Ainun Nadjib dan Prof Dr Nurcholish Madjid belum lagi dikenali sebagai tokoh liberal. Kerana itu tindakan menuduh Dr Ary Ginanjar menyokong fahaman Liberal dan Pluralisme agama hanya kerana ada penghargaan kepada dua tokoh ini di buku yang sudah lama diterbitkan adalah sangat tidak adil. Manakala Prof Dr H.A. Syafii Maarif pula adalah mantan Ketua Muhammadiyah, sebuah badan yang jelas menolak fahaman Liberal dan Plural.
Dari data yang dapat dikumpulkan, terdapat ratusan peserta training ESQ yang memeluk agama Islam setelah selesai mengikut training ESQ. Manakala di kalangan pekerja Dr Ary sendiri, terdapat 2 orang yang berasal dari agama lain, tetapi akhirnya memeluk agama Islam setelah mengenali dan memahami Islam dari Dr Ary Ginanjar. Salah seorangnya bernama Benny Agusta iaitu seorang yang asalnya beragama Kristian. Beliau memeluk Islam pada tahun 1999 apabila mendengar huraian Dr Ary tentang Sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Asmaul Husna. Manakala seorang lagi ialah Ibu Rossa yang asalnya beragama Hindu. Beliau bekerja di bahagian kewangan dan memeluk agama Islam pada tahun 2008, apabila mendengar penerangan Dr Ary Ginanjar tentang makna Al Quran surah Al Baqarah ayat 282 yang menerangkan tentang jual beli dan hukum berhutang. Di dalam berdakwah, Dr Ary Ginanjar tidak sama sekali memaksaan atau mendesak. Sebaliknya hanya menjelaskan keindahan dan kebenaran Islam. Kerana itu, mengapakah menjadi keanehan Danah Zohar memuji ajaran Islam yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar? Sesungguhnya Islam itu sememangnya amat Indah dan mampu menawan hati sesiapa saja. Namun hidayah tetap milik Allah.
KESIMPULAN PERKARA KE TIGA :
Dr Ary Ginanjar sama sekali tidak mendukung apatah lagi mengaku mendukung fahaman Liberal dan Pluralisme agama. Sekiranya tuduhan liberal atau plural ingin dilemparkan kepada Dr Ary Ginanjar, hujah yang perlu dibawa adalah apakah ajaran atau fahaman yang liberal dan plural yang diterapkannya di dalam inti modul training dan buku ESQ. Berapa orangkah yang setelah membaca buku atau mengikuti training ESQ menjadikann liberal dan plural sebagai fahamannya? Bukti yang ada hanyalah, ramai yang kembali menghayati sungguh-sungguh ajaran Islam setelah mengikuti Training ESQ dan ada peserta yang beragama lain akhirnya memeluk agama Islam. Tuduhan tidak cukup hanya kerana dari sebaris dua ayat yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai perkara yang sangat bergantung sudut pandang dan pengalaman yang ada pada diri orang yang menilai dan menafsir kata-kata itu sendiri. Sesungguhnya Allah mengingatkan kita di dalam Al Quran, surah Al Hujurat ayat 12 yang bermaksud ;
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
Maksud ayat 12 Surah Al Hujurat.
PERKARA KE EMPAT : PENGKHIANATAN YAHUDI SEPANJANG SEJARAH DAN UMAT ISLAM PERLU SANGAT HATI-HATI DENGAN YAHUDI
Di artikel ini penulis menerangkan tentang serangan bentuk baru yang dilancarkan oleh Yahudi iaitu sesuatu umat atau bangsa tidak dapat dikuasai melalui serangan bom tetapi haruslah dengan cara lebih halus iaitu melalui gerakan mengubah values dan persepsi.
Di akhir tulisan ini, penulis membawa kisah pengkhianatan Yahudi di sepanjang Sejarah. Kerana sikap tidak hati-hati umat Islam, akhirnya Yahudi berkuasa. Contohnya bagaimana berlakunya tragedi penghapusan khalifah Uthmaniah adalah hasil dari konspirasi Yahudi Donma yang pernah diberi perlindungan oleh Kerajaan Uthmanian sewaktu ditindas oleh bangsa Eropah.
Menurut penulis, berdasarkan Quran dan Sunnah dan berpandukan pengalaman sejarah, sifat asasi bangsa Yahudi antara lain adalah Al Kazib, al khianah, al ghadr iaitu dusta, khianat dan belot. Ini adalah kerana ajaran dalam kitab suci mereka Talmud menuntut orang-orang Yahudi melakukan demikian terhadap bangsa bukan Yahudi yang dianggap haiwan yang dicipta untuk berkhidmat kepada mereka.
Penulis juga membawa contoh bagaimana sifat berjaga-jaga yang ditunjukkan oleh Rasulullah sebaik tiba di Madinah. Baginda memerintahkan Zaid bin Thabit mempelajari bahasa yang digunakan bangsa Yahudi untuk mengelakkan umat Islam daripada ditipu ketika berurusan dengan mereka.
PENJELASAN PERKARA KE EMPAT :
Sifat berhati-hati kepada bangsa Yahudi adalah sifat yang benar dan kerana itulah sangat perlu umat Islam meneliti cari Yahudi bergerak. Antara cara mereka melemahkan umat Islam adalah dengan menanamkan perselisihan di antara umat Islam hingga umat Islam sentiasa berpecah dan menjadi lemah. Kerana itu di alam Al Quran, Allah mengingatkan umat Islam di dalam surah Al Hujurat ayat 6 yang bermaksud ;
“Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan ssuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatannm itu”.
Kebencian kita kepada kedurhakaan dan kesombongan bangsa Yahudi jangan sampai menjadikan kita mengambil tindakan yang salah dan akan merugikan umat Islam sendiri. Rasulullah memberikan contoh yang sangat cerdik apabila memerintahkan Zaid bin Thabit mempelajari bahasa yang digunakan oleh bangsa Yahudi di Madinah supaya umat Islam tidak tertipu apabila berurusan dengan mereka.
Itulah yang perlu kita lakukan di zaman ini. ‘Bahasa’ Yahudi di era ini adalah teknologi, kemajuan dan sains. Sebagaimana Yahudi menggunakan ‘bahasa’ teknologi dan sains untuk menjauhkan umat Islam dari agama, senjata itu jugalah perlu kita gunakan untuk mendekatkan kembali generasi moden ini kepada kebenaran Al Quran dan Islam. Betapa selama ini kita mendedahkan anak-anak sejak dari sekolah rendah kepada teknologi dan sains tanpa dihubungkan dengan Al Quran dan Allah, hingga menjadikan mereka maju tetapi lupa untuk apa kemajuan itu.
Manusia dahulu sangat berkiblat kepada pencapaian akademik. IQ ditemukan oleh Alfred Binet pada tahun 1905 hingga anak-anak yang tinggi IQnya menjadi matlamat dan impian semua ibu-bapa. Anak-anak dipaksa belajar supaya mendapat pekerjaan yang menjamin masa depan. Namun kemudian manusia dikejutkan dengan penemuan kecerdasan ke dua iaitu EQ yang istilahnya diperkenalkan oleh Daniel Goleman pada tahun 1995. Daniel Goleman menjelaskan tidak cukup hanya memiliki IQ tinggi tetapi perlu pandai bergaul dan memahami sekeliling barulah mampu mencipta kejayaan. IQ dan EQ, kedua-dua ini menjadikan manusia berjaya namun jiwa hampa. Masyarakat jadi tertekan dan rosak. Lahirlah banyak manusia berjaya secara material tetapi derita kerana kekosongan jiwa. Akhirnya ditemukan pula kecerdasan ketiga iaitu SQ yang diperkenalkan oleh Danah Zohar. Manusia yang kehilangan makna hidup, cuba diyakinkan kepada keperluan makna kehidupan iaitu spirituality untuk mendapatkan kebahagian dan berjaya di era ini. Namun bahayanya, ia membawa kecerdasan SQ yang boleh dicapai tanpa pegangan agama. Di sinilah ESQ lahir untuk menyelamatkan kepincangan ini. Ketiga kecerdasan iaitu IQ, EQ dan SQ digabungkan dan dibawa kepada asas hidup manusia iaitu mengabdi kepada Allah. Dengan Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan dari hadis Jibril, Dr Ary Ginanjar menulis buku dan menyusun modul yang sehingga kita telah diikuti lebih dari 1 juta manusia di seluruh dunia. Pelbagai perubahan positif telah dirasaikan oleh maoriti dari kebanyakan peserta. Mereka lebih dekat dengan agama dan lebih cinta kepada Islam.
Apakah musuh Islam dan Yahudi senang dengan perkembangan ini? Tentulah tidak… Menurut penulis sendiri, bahawa Yahudi tidak akan pernah reda dengan Islam hingga kuiamat, dan di dalam kesedaran itu, ESQ yang membawa manusia kembali kepada Al Quran dan mencintai Rasulullah, tiba-tiba dituduh Yahudi. Umat Islam berpecah kepada yang menyokong dan yang menentang. Sesungguhnya memang benar Yahudi itu licik dan pandai mengatur strategi. Mari kita renungkan bersama hal ini dengan hati yang jernih…
KESIMPULAN PERKARA KE EMPAT :
Sesungguhnya sebagai umat Islam yang bencikan kejahatan Yahudi, kita haruslah tidak terpengaruh dengan cara Yahudi yang sentiasa menimbulkan perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam. Sekiranya benar ikhlas bimbang ESQ dipengaruhi oleh Danah Zohar yang berketurunan Yahudi dan dikhuatiri mempunyai niat-niat tersembunyi, sebaiknya apa yang boleh dilakukan adalah rundingan dan nasihat dengan cara hikmah dan baik supaya masyarakat yang hauskan ilmu dan kesedaran tidak menjadi bingung dan buntu dengan pelbagai tuduhan yang dilemarkan. Danah Zohar bukanlah sebahagaian dari ESQ atau bahagian penting di dalam perjuangan ESQ. Danah Zohar hanyalah seorang dari ribuan manusia yang pernah memuji Islam yang diperkenalkan melalui pendekataan yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar dan ESQ Training. Ia seharusnya tidak menjadi hujah menuduh ESQ dalang Yahudi atau pergerakan yang mendapat reda Yahudi.
KESIMPULAN KESELURUHAN :
Serangan kepada ESQ165 dan Dr Ary Ginanjar kelihatan belum berakhir. Walaupun ramai meminta sifat lapang dada diutamakan, apabila wujud perbezaan cara pandang dan keputusan terhadap sesuatu perkara, namun kelihatannya ia tidak diendahkan. Walaupun di Wilayah Persekutuan, Fatwa dikeluarkan dan ESQ165 dilarang beroperasi di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan, namun di negeri-negeri lain, tidak ada larangan seumpamanya.
Mufti-Mufti dari 13 negeri lain di seluruh Malaysia, walaupun tidak terikat secara hukum namun kelihatannya menghormati Keputusan majlis Muzakarah fatwa Kebangsaan, yang telah membincangkan isu ini selama 2 tahun dan akhirnya membuat keputusan muktamat membenarkan ESQ165 terus beroperasi di Malaysia. Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dengan penuh kepercayaan dan rasa hormat memberi mandat pemantauan dan bimbingan Modul Training dan buku ESQ sepenuhnya kepada Panel Syariah dan Aqidah ESQ yang terdiri dari tokoh-tokoh berwibawa seperti Dato’ Mustafa Abdul Rahman (Mantan Ketua Pengarah JAKIM), Tan Sri Abdul kader bin Talib (Mantan Mufti Wilayah Persekutuan), Dato Nooh bin Gadut (Mantan Mufti Negeri Johor), Dato’ Syeikh Hasbullah ( Mantan Mufti Negeri Kedah) dan Dr Adnan (Dekan Fakulti Quran dan Hadis, Univ. Sains Islam Malaysia). Sesungguhnya keputusan ini jelas sangat tepat dan adil dalam melihat kemaslahatan ummat.
Namun keputusan Majlis Muzakrah Fatwa Kebangsaan dan kehadiran tokoh-tokoh berwibawa untuk membimbing dan menasihati ESQ165 kelihatan tidak berpengaruh apa-apa . Serangan-serangan kepada ESQ165 dan peribadi Dr Ary Ginanjar tetap terus dilakukan, dan telah menjangkau sempadan kawasan Wilayah Persekutuan. Mengapa hal ini terjadi? Jika ia sebuah salah faham, mengapa pintu perbincangan tidak dibuka? Mengapa rundingan dan soal selidik secara mendalam tidak dilakukan? Ada sebuah kisah yang sangat menarik untuk menjadi ikhtibar kita bersama.
Sewaktu pemerintahan Khalifah Saidina Umar Al Khatab ra, pernah berlaku kejadian di Mesir, seorang Yahudi diusir dari rumahnya untuk perluasan masjid oleh Gabenur Mesir, ‘Amr bin ‘Ash. Walaupun dia mendapat ganti rugi yang berpatutan, namun Yahudi ini tetap tidak berpuas hati kerana haknya diambil. Akhirnya Yahudi itu ke Madinah untuk mengadu kepada Khalifah Umar Al Khathab r.a.
Setelah diceritakan masalahnya oleh Yahudi ini, Saidina Umar r.a mengambil sebatang tulang unta lalu menorehkan garis lurus dari atas ke bawah dan dari kiri ke kanan sehingga berbentuk silang. Setelah itu, tulang itu diserahkan kepada Yahudi tersebut.
“Bawalah tulang ini dan berikan kepada Gabenur Mesir, ‘Amr bin ‘Ash. Katakan ini dari Umar Al Khathab”,
Yahudi itu merasa hairan, namun tetap pulang dan memberikan tulang itu kepada ‘Amr bin ‘Ash. Sewaktu menerima dan melihat tanda di tulang itu, wajah ‘Amr bin ‘Ash serta-merta menjadi pucat lesi dan terus mengeluarkan arahan untuk mengembalikan rumah Yahudi tersebut tanpa bersoal panjang.
Yahudi itu bertanya kepada ‘Amr bin ‘Ash, “Mengapakah kamu bersikap begitu?”
‘Amr bin ‘Ash menjawab, “Ini adalah peringatan dari ‘Umar bin Khathab agar aku selalu berlaku lurus (adil) seperti garis vertikal pada tulang ini. Jika aku tidak bertindak lurus, maka Umar akan memenggal leherku sebagaimana garis horizontal di tulang ini.
Begitulah seriusnya pemimpin Islam dalam menegakkan hukum dan keadilan. Tuduhan yang disampaikan secara terbuka dan dipenuhi unsur hasutan dan syakwasangka bukanlah kaedah Islam di dalam menghukum. Sesungguhnya pintu perbincangan, nasihat-menasihati dan saling bertukar pandangan sesama ulama dan para cendikiawan Islam sangatlah diperlukan dalam menjaga akidah umat di zaman yang serba mencabar ini. Jika musuh Islam boleh bersatu menyusun strategi yang penuh halus dan terancang untuk menghancurkan Islam, mengapa umat Islam tidak boleh bersatu mencari persamaan dan mengembleng kepakaran bagi menangani pelbagai cabaran ummat. Adalah sangat malang, sekiranya kita yang bercita-cita memperjuang dan menjaga kesucian Islam, tanpa sedar menjadi alat musuh Islam untuk mengagalkan kebangkitan islam yang mula dirasakan dunia.
Sebagai penutup, dibawakan beberapa hadis yang diharap dapat membuka fikiran dan hati kita dan bersama kita mengambil ikhtibar darinya.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud ;
“Hakim terdiri dari tiga golongan. Dua golongan hakim masuk neraka dan segolongan hakim lagi masuk surga. Yang masuk surga ialah yang mengetahui kebenaran hukum dan mengadili dengan hukum tersebut. Bila seorang hakim mengetahui yang haq tapi tidak mengadili dengan hukum tersebut, bahkan bertindak zalim dalam memutuskan perkara, maka dia masuk neraka. Yang segolongan lagi hakim yang bodoh, yang tidak mengetahui yang haq dan memutuskan perkara berdasarkan kebodohannya, maka dia juga masuk neraka.” (HR. Abu Dawud dan Ath-Thahawi)
Rasulullah Saw bersabda ; “Disejajarkan kesaksian palsu dengan bersyirik kepada Allah.” Beliau mengulang-ulang sabdanya itu sampai tiga kali”. (Mashabih Assunnah)
“Sesungguhnya aku mengadili dan memutuskan perkara antara kalian dengan bukti-bukti dan sumpah-sumpah. Sebagian kamu lebih pandai mengemukakan alasan dari yang lain. Siapapun yang aku putuskan memperoleh harta sengketa yang ternyata milik orang lain (saudaranya), sesungguhnya aku putuskan baginya potongan api neraka.” (HR. Aththusi)
Wallahualam.
ESQ Satu Penilaian
Apa saja persoalan yang anda terfikir tentang ESQ, Mungkin jawapannya ada di sini... Selamat membaca
Sunday, October 24, 2010
Thursday, September 23, 2010
SIAPA AIZAM MASOUD?
Pada 3 Ogos, saudara Aizam Masoud menulis di laman blog peribadinya di bawah tajuk ‘ESQ lagi’. Penulis adalah seorang Pegawai Penyelidik Jakim yang sangat berminat dengan hal-hal berkaitan ESQ. Bermula sebagai pegawai yang dihantar mengikuti Training ESQ, Aizam kemudian menjadi salah seorang pegawai penyelidik yang bertanggungjawab membuat kertas laporan yang mencadangkan ESQ dihalang di Malaysia. Hairan bin ajaib juga apabila meneliti tindakan, sikap dan tulisan saudara Aizam. Sewaktu beliau dihantar mengikuti Training ESQ, tidak ada sedikit juga komen yang disampaikan kepada pihak ESQ. Apabila ditanya oleh pihak ESQ kepada pihak Jakim, jawapannya hanyalah ‘tunggu, kertas laopran sedang dibuat.. Namun tunggu punya tunggu, akhirnya kertas laporan ESQ terus diibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan dengan cadangan pengharaman.
7 kali Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan bersidang dan membincangkan isu ESQ. Setelah pihak Panel Kajian Aqidah Jakim membentangkan kajian dan penemuan mereka berkaitan ESQ dan usulan pengharaman, Pihak Majlis Muzakarah belum menerima sepenuhnya usulan itu. Entah angkara siapa, atau mahu siapa… atau kemarahan siapa… kertas laporan yang bersifat ‘sulit’ ini telah upload ke internet di bawah blog yang bernama ‘ESQSESAT’. Mungkin orang yang bertindak mengupload kertas ‘sulit’ ini merasa tidak sabar untuk mendedahkan penemuan-penemuan yang menurutnya bukti ‘kesesatan ESQ’ namun tidak mendapat persetujuan pihak yang berotoriti.
Masyarakat kecoh seketika dengan kemunculan blog dan isinya ini. Siapakah yang yang bertindak berani mendahului Majlis fatwa Kebangsaan malah Jakim sendiri dengan mendedahkan ‘rahsia’ kerajaan ke blog tanpa identiti ini? Sesungguhnya jika kita serius mengkaji, pasti mudah mencari ‘orangnya’… siapakah yang memiliki kertas kerja atau laporan ini melainkan beberapa pegawai di Jakim? Tapi mengapa isu ini didiamkan begitu saja? Satu dokumen sulit milik kerajaan (Jakim) dengan mudah di upload ke internet, dengan beberapa penyelewengan fakta dan tuduhan serius kepada ESQ, namun tidak ada apa-apa tindakan dibuat…
Ramai menyangkakan ini ‘bala’ untuk ESQ, namun sebenarnya bagi pihak ESQ ia telah menjawab pertanyaan selama ini… apa yang tidak kena di mata Jakim terhadap ESQ.. Setelah puas mereka minta pembaikan dan nasihat, tidak pernah sekali diberikan secara ‘rasmi’ tapi diberikan dengan cara begini… walau kelihatan tidak sopan dan tidak bertanggungjawab, ia tetap diambil sebagai bahan untuk pembaikan oleh pihak ESQ. Dari laporan ‘haram’ inilah ESQ menjadi jelas, apa sebenarnya yang menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Semua persoalan itu dibincangkan oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ.
Majlis Muzakarah Kebangsaan telah meminta satu Panel pemantau luar dilantik pula untuk ‘memantau’ ESQ. Selama 6 bulan pelbagai kajian dilakukan oleh panel pemantau yang hasilnya kemudian di bentangkan di Majlis Muzakarah fatwa Kebangsaan. Untuk melengkapkan penelitian, Pihak Muzakarah Majlis fatwa Kebangsaan telah bertindak adil dengan memanggil Dr Ary Ginanjar selaku pengasas ESQ untuk datang menjawab segala kekeliruan dan persoalan yang ada. Dari situlah akhirnya Majlis Muzakarah fatwa Kebangsaan telah muktamad membuat keputusannya membenarkan ESQ diteruskan di Malaysia dengan tanggungjawab memperbaiki kekeliruan yang timbul diserahkan kepada Panel Syariah dan Akidah ESQ.
Keputusan ini disangkakan akan mengakhiri semua kemelut dan kontroversi yang dihadapi oleh ESQ. Tapi kenyataannya tidak… Pihak Panel Pemantau yang telah tamat tempoh perkhidmatannya, rupanya masih bekerja… begitu juga dengan saudara Aizam Masoud, Pegawai penyelidik Jakim yang terus bergerak mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Buktinya pada 10 Ogos 2010, saudara Aizam dan Prof Zakaria Stapa telah ke Selangor untuk membentangkan kajian mereka kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Apakah tidak ada rasa hormat kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan? Walaupun Selangor atau mana-mana negeri di Malaysia bebas untuk mengkaji dan mengeluarkan fatwa sendiri berhubung isu ESQ, namun sebagai Pegawai yang bekerja di Jakim dan telah menyerahkan laporannya dan telah diputuskan oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan, apa hak saudara Aizam bercakap di negeri lain? Bukankah ini menunjukkan rasa tidak hormat kepada Majlis fatwa Kebangsaan yang dianggapnya tidak ada hak dari sudut undang-undang untuk membuat fatwa? Apakah kerana itu Majlis fatwa Kebangsaan tidak wajar dihormati pendirian dan keputusannya? Sebagai Pegawai Jakim apakah hal ini tidak melanggar etika seorang pegawai yang diberi gaji oleh kerajaan?
Memang mengelirukan.
Sesungguhnya, siapakah sebenarnya saudara Aizam bin Masoud? Beliau bukan seorang mufti, apatah lagi mantan Mufti yang telah terbukti menaburkan jasa menjaga kesucian Islam di Malaysia. Apakah beliau seorang ‘pakar’ agama? Bukan juga kerana beliau bukan Professor yang mendapat Phd atau Doktor di mana-mana bidang agama. Jadi siapa beliau? Mengapa beliau begitu berani bersuara mempertikaikan sesuatu yang telah disidangkan 7 kali oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan juga telah diteliti dengan halus oleh 5 orang Panel yang terdiri dari ‘pakar’ agama, mantan Mufti dan mantan Pengarah Jakim sendiri? Apakah yang membezakan ilmu beliau dengan ilmu 5 orang Panel Syariah dan Akidah ESQ yang begitu sungguh-sungguh menjalankan amanah yang telah diberikan kepada mereka? Begitu juga dengan Mufti-Mufti yang telah mengikuti training ESQ seperti Tan Sri Harussani (Mufti Perak), Dato’ Hasan (Mufti Penang), Mufti Negeri Sembilan, Mufti Johor, Mufti Kedah, Mufti Serawak dan beberapa orang Timbalan Mufti yang begitu menyokong dan mahu ESQ terus berperanan menyedarkan masyarakat di Malaysia? Apakah yang membezakan ilmu saudara Aizam dengan mereka ini? Jika bukan ilmu apa? ‘keikhlasan?’ Ya… mungkin ini isunya kerana ada suara-suara yang tidak bertanggungjawab ada yang mempertikaikan keikhlasan dan kejujuran Panel Syariah dan Akidah ESQ kerana mereka dianggap dibayar oleh ESQ supaya membenarkan semua ajarannya. Apakah logik keikhlasan 5 orang Panel Syariah diragui? Apakah mungkin 5 orang yang sangat berwibawa dan dihormati kerana ilmu dan jasa mereka di dalam agama, sepakat untuk ‘menggadaikan’ kejujuran dan amanah semata-mata kerana ‘duit’? Bagaimana dengan Mufti yang menyokong tetapi tidak ada apa-apa kaitan dengan ESQ? Apakah mereka juga diragui kejujurannya?
Kelihatannya, saudara Aizam memang benar-benar mahu mengharamkan ESQ. Timbul persoalan, mengapa beliau beriya-iya mahu ESQ diharamkan? Jika ada masalah, mengapa tidak diperbaiki saja? Sukar sekali memahaminya. Namun akhirnya kehairanan ini terjawap juga… rupanya ada ada tuduhan yang lebih ‘dahsyat’ dari apa yang dibicarakan selama ini. Rupanya ada persepsi negatif yang membelenggu pemikiran saudara Aizam… yang menyebabkan beliau memandang ESQ dengan begitu sinis dan ‘bahaya’. Semuanya terjawab di dalam tulisan saudara Aizam bertarikh 3 Ogos dengan tajuk ‘ESQ lagi’.
Tulisan beliau penuh dengan andaian dan kesimpulan sendiri… bukan fakta atau sesuatu yang mempunyai bukti. Beliau merasakan telah benar-benar mengenali ESQ atau Dr Ary Ginanjar tapi hakikatnya beliau hanya melihat ESQ dari sudut apa yang beliau mahu lihat. Bukan kajian yang objektif dan menyeluruh. Apabila beliau meletakkan punca masalah pada Dr Ary Ginanjar sebagai pengasas ESQ, sejauhmana beliau berusaha mengenali sungguh-sungguh peribadi dr Ary Ginanjar? Hingga berani melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Berhati-hatilah dalam menuduh atau menjatuhkan hukum, kerana salah menghukum tuduhan itu akan berbalik kepada yang menuduh.
Di bawah ini kami perjelaskan satu persatu kekeliruan Saudara Aizam. Semoga ia boleh menjadi penjelasan kepada mereka yang benar-benar ingin mencari kebenaran dan ingin tahu jawapan kepada semua isu yang saudara Aizam bangkitkan.
KEKELIRUAN 1 :
Dari tulisan Aizam :
Penyelewengan ESQ dalam mentafsirkan nama-nama Allah SWT yang Maha Baik. Perkara ini bertepatan dengan ayat 74 di dalam surah al—Nahl berbunyi:
فلا تضربوا لله الأمثال
Bermaksud: “Maka janganlah kamu menjadikan perumpamaan-perumpamaan bagi Allah”.
Ayat ini menjadi hujjah kepada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah seperti yang terkandung di dalam Sifat 20 yang mengajarkan kepada kita bahawa Allah SWT itu bersifat ‘al-mukhalafah lil hawadith’ iaitu ‘bersalahan daripada segala yang baharu’. Tetapi ESQ mengajar sebaliknya apabila cuba mengiyaskan semua sifat-sifat makhluk dengan nama-nama Allah. Kesannya, ada di kalangan alumni ESQ yang memahami bahawa gunung itu tinggi kerana Allah itu Maha Tinggi, alam itu luas kerana Allah itu Maha Luas, bunga itu cantik kerana Allah itu Maha Cantik dan pelbagai lagi.
PENJELASAN :
Di dalam Surah At Taubah ayat 128 yang bermaksud ;
“Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami , (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, pengasih dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.”
Rasulullah itu adalah uswatunhasanah untuk kita semua. Pada diri bagindalah terlihat akhlak dan contoh tauladan yang menjadi kayu ukur sifat yang mulia untuk dicontohi oleh umat Islam keseluruhannya. Di dalam ayat di atas, jelas memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW adalah wakil Allah yang diutuskan dari golongan manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti pengasih dan penyayang iaitu sifat Raufur Rahim. Bukankah sifat Raufur Rahim (pengasih dan penyayang) itu sifat-sifat Allah? Bagaimana Rasulullah juga memilikinya jika manusia dilarang dari menyerupai sifat-sifat Allah?
Ini baru dua dari banyak lagi sifat-sifat Rasulullah yang lain seperti adil, pemurah, pemaaf, pelindung, gagah, sabar dan sebagainya. Bukankah sifat-sifat ini juga adalah sifat-sifat Mulia Allah yang dapat kita fahami di dalam Asmaul Husna. Namun tentulah nilai kasih sayang manusia tidak sama sama dengan nilai kasih sayang Allah. Begitu juga dengan adil, pemaaf, pelindung, gagah dan sebagainya. Kerana manusia hanya mampu berkasih sayang sedangkan Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh manusia, tidak akan dapat menyamai apatah lagi menandingi sifat-sifat Mulia Allah kerana apa yang dimiliki oleh manusia itu hakikatnya adalah dari kurniaan dan ciptaan Allah juga. Bukan dimiliki oleh manusia secara sendiri.
Jika manusia dilarang dari meniru sifat-sifat Allah, sifat siapakah yang patut diikuti? Sedangkan seperti yang dijelaskan di atas, Rasulullah sendiri mencontohi sifat-sifat Allah. Apakah hukumnya jika manusia bersifat sabar, Adil, Pemurah, Pemaaf, Pengasih, Penyayang? Apakah pada diri saudara Aizam tidak ada sifat-sifat ini? Jika ada, apakah kebaikan sifat-sifat itu bukan dari Allah? Jika bukan dari Allah, dari siapakah? Apakah pada diri Saudara Aizam tidak ada sifat pengasih, penyayang, pemaaf, sabar, pemurah, adil? Bukankah itu semua sifat Allah? Mengapa saudara Aizam ‘menyamai’ sifat-sifat Allah ini? Jika saudara Aizam mendakwa itu bukan sifat Allah, sifat siapakah? Apakah sifat saudara Aizam sendiri? Tiada kaitannya dengan Allah?
Jika begitu, bagaimana dengan orang bukan Islam yang juga ada yang sabar, adil, pemurah dan penyayang? Apakah kebaikan itu dari diri mereka sendiri? Bukan dari Allah? Cuba saudara Aizam renungkan dalam-dalam… bukankah semua kebaikan itu dari Allah?
Begitu juga dengan seluruh alam semesta yang diciptakan oleh Allah, termasuk gunung yang tinggi, dunia yang luas dan bunga yang indah. Apabila kita meyakini semua ini adalah makhluk ciptaan Allah, memandang hasil ciptaan akan langsung menghubungkan ingatan kita kepada penciptanya iaitu Allah Yang Maha Agung. Gunung yang tinggi dan dunia yang luas tidak akan mampu menjelaskan Maha Tinggi dan Maha Luas nya Allah. Tetapi, apabila melihat gunung yang tinggi dan alam yang luas, kita akan mengingati segala sifat-sifat indah dan mulia penciptanya iaitu Allah Al ‘Ali (Yang Maha Tinggi) dan Allah Al Wasit (Yang Maha Luas). Ia bukan menyamakan ketinggian gunung atau keluasan bumi dengan Allah atau menyamakan bumi dan gunung dengan Allah tetapi memandang alam ini akan mengingatkan kita kepada Allah Yang Maha Pencipta. Ia akan menyebabkan kita terus berzikir dengan nama-nama Allah yang indah.
Seperti kisah alumni yang disebut oleh saudara Aizam, apa yang disampaikan oleh alumni tersebut sebenarnya, berlainan dari apa yang diulas oleh Aizam. Alumni yang dimaksudkan adalah saudara Muqarrobin, pendaki muda Negara yang telah berjaya mendaki hingga ke puncak gunung Everest. Beliau menyampaikan, apabila beliau berjaya menawan puncak gunung yang paling tinggi di dunia, beliau sangat tersentuh dan menangis. Beliau tersentuh dan menangis kerana menyedari bahawa beliau berada di atas gunung yang paling tinggi yang diciptakan oleh Allah dan dari sana beliau dapat melihat keluasan alam ciptaan Allah… kekaguman beliau tidak lagi kepada ketinggian gunung atau keluasan alam, tetapi beliau merasa sangat tersentuh dan insaf kerana mengingati Pencipta Gunung itu iaitu Allah Al A’ly Yang Maha Tinggi. Melihat alam yang luas dari puncak gunung itu, beliau langsung mengingati Penciptanya iaitu Allah Al Wasi’, Allah Yang Maha Luas… beliau sama sekali tidak menyamakan zat Allah dengan zat gunung, alam atau sebagainya.
Hal yang berlaku ini sama sekali tidak menyamakan benda atau makhluk seperti Allah tetapi sebagai satu pengakuan bahawa semuanya adalah ciptaan Allah. Jika kita kagum kepada ciptaan, tentulah kita sebenarnya lebih patut kagum kepada penciptanya iaitu Allah jauh lebih hebat dari ciptaanNya. Ini akan menjadikan manusia sentiasa ‘tunduk’, dekat dan ingat kepada Allah. Setiap yang di pandang akan menyebabkan manusia insaf dan mengingati Penciptanya iaitu Allah.
Yang diingati pada Allah itu adalah sifatNya, bukan zat. Apakah hal ini salah? Jika ya, di mana salahnya? Apakah manusia tidak boleh mengingati Allah apabila hatinya tersentuh melihat ciptaan Allah? Bukankah manusia itu dianjur untuk mengingati Allah sebanyak-banyaknya. Mengingati Allah dengan melihat ciptaanNya seperti Firman Allah dalam surah Al Imran ayat 190-191 yang bermaksud ;
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”
Apakah saudara Aizam mahu supaya semua yang dilihat jangan dihubungkan dengan Allah kerana bimbang akan menyerupakan Allah dengan sesuatu yang baharu? Mungkinkah itu yang berlaku kepada saudara Aizam?
Sifat 20 adalah ilmu yang muncul sebagai satu metodologi para ulama ataupun suatu kaedah utk menepis pemahaman ketuhanan yang sesat. Ia adalah sebagai salah satu usaha para ulama untuk menyelamatkan akidah umat Islam akibat serangan ahli falsafah seperti yang telah dinaqalkan oleh al imam Al Ghazzali dalam Tahafut Al-Falasifah (kecelaruan ahli falsafah)
Namun, sifat Allah tidak hanya terbatas kepada 20 sahaja. Bagaimana dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahimnya Allah yang tidak dijelaskan di dalam sifat 20? Mengenal Allah melalui sifat-sifatNya yang ada di dalam Asmaul Husna adalah sesuatu yang diajarkan di dalam Al Quran dan sangat digalakkan oleh ulama Islam termasuklah oleh Imam Al Ghazali.
Contohnya, penghayatan Asma’ Husna dalam pembentukan karekter telah dihuraikan secara meluas oleh al-Ghazali dalam kitab tersohornya al-Maqsad al-Asna Fi Syarh Asma’ Allah al-husna. Malah dalam kitab ini terdapat satu tajuk khusus yang menerangkan bahawa kesempurnaan seorang hamba dan kebahagiaannya ialah dengan berakhlak dengan akhlak Allah dan menghiaskan diri dengan makna sifat-sifatNya serta nama-namaNya mengikut kadar yang sesuai dengan hakNya. (lihat; al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad, t.th., al-Maqsad al-Asna Fi Syarh Asma’ Allah al-Husna, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Hlm. 6.)
Semoga saudara Aizam faham bahawa di ESQ, peserta sentiasa di dorong untuk mengingati Allah dengan memahami serta menghayati semua sifat-sifatNya yang terdapat di dalam Asmaul Husna hingga Allah terasa sangat ‘dekat’ kerana sentiasa diingat. Peserta sama sekali tidak diajar menyamakan diri mereka atau makhluk ciptaan Allah dengan Allah SWT. Jika benar itu yang diajarkan oleh ESQ, masakan ia didiamkan atau dibiarkan oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ dan para Mufti yang silih berganti datang ke training ESQ. Belum lagi para ustaz yang boleh dikatakan setiap kali training berlangsung ada ramai para ustaz dan pensyarah di bidang agama yang datang mengikutinya. Apakah mungkin hal ini disembunyikan jika memang ada? Fikirkan dalam-dalam.. apakah mungkin yang salah faham itu saudara seorang tetapi saudara dengan bebasnya menyebarkannya kepada khalayak ramai yang tidak tahu apa-apa hingga memandang serong kepada ESQ? Bukankah ini fitnah dan fitrah lebih kejam dari membunuh?
KEKELIRUAN 2 :
Aizam menulis ;
Ini adalah hasil daripada ajaran ESQ yang mengatakan bahawa ‘seluruh alam mewakili sifat Allah’. Lihatlah betapa dangkalnya ajaran ini kerana ia tidak berpijak kepada kaedah mantiq yang betul, bagaimana mungkin gunung dan alam yang mempunyai isipadu, had dan mengambil ruang boleh dikatakan menyamai sifat Allah SWT yang qadim? Malah gunung dan alam itu akan hancur apabila tiba masanya manakala bunga pula akan layu. Ini menunjukkan bahawa sifat alam ini ‘hadith’ (baharu) dan tidak kekal (fana’) sedangkan Allah SWT itu bersifat baqa’ (kekal) dan tidak binasa.
PENJELASAN :
Sesungguhnya ESQ sama sekali tidak berbicara tentang zat Allah. Tetapi yang dibicarakan adalah sifat-sifat –Nya yang mulia. Allah dikenali melalui sifatNya, bukan zat yang tidak akan ada sedikitpun dapat dibayangkan apatah lagi disamakan oleh manusia dengan segala yang ada dimuka bumi ini. Saudara Aizam harus dapat membezakan antara zat dan sifat Allah. Jangan keliru memandang atau memahaminya. Zat atau fizikal Gunung, alam, bunga, semuanya akan hancur binasa kerana ia semua adalah makhluk ciptaan Allah. Namun yang mengingatkan manusia kepada Allah bukan zat atau fizikal yang bersifat ‘fana’ ini, tetapi sifatnya.
Bukan tanah, pasir dan batu gunung yang menjadi longgokan tinggi itu yang membuatkan Muqarrobin menangis. Bukan pasir, Pokok, gunung-gunung yang tegak berdiri dan tanah yang terbentang membuat Muqorrobin terharu, bukan kelopak bunga dan warnanya yang membuatkan manusia gembira, tetapi sifat tinggi, luas dan indah yang mengingatkan manusia kepada Allah Yang Maha Pencipta, yang telah menciptakan ini semua yang membuatkan hati manusia bergetar dan menangis. Pergunakanlah hati dalam memahami hal ini. Manusia mengingati Allah dengan hati kerana Allah dikenal memalui sifat-sifatNya, bukan zat atau fizikal. Kerana itu setiap yang dipandang di alam ini boleh mengingatkan manusia kepada Allah dan keagunganNya.
Hayatilah Firman Allah dalam surah Al A’raf ayat 179-180 yang bermaksud ;
“Dan sungguh, akan Kami isi neraka jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak digunakannya untuk mamahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti hewan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah. Dan Allah memiliki Asmaul Husna (nama-nama yang terbaik), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asma’ul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahertikan nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”
Allah itu dikenal dan diingat bukan hanya di dalam lembaran buku dan tesis, tetapi seluruh alam ini jika dilihat dengan hati akan menambah insaf dan tawaduk manusia kepada Yang Maha Agung iaitu Allah SWT. Peserta training ESQ tidak pernah samasekali diajak membahaskan tentang zat Allah. Yang diperkenalakan adalah sifat-sifatNya melalui nama-nama Allah yang diperjelaskan satu persatu di dalam Al Quran. Pergunakanlah hati Aizam untuk memahami hal ini… hati yang hidup dengan zikir mengingati Allah.. dan tanpa sangka buruk yang akan menghijab Aizam dari memandang baik sesuatu yang datangd ari orang lain.
KEKELIRUAN 3 :
Menurut saudara Aizam lagi :
Jadi persoalan, bagaimana pula dengan makhluq-makhluq seperti iblis, syaitan, haiwan liar, segala jenis penyakit yang kesemuanya adalah perkara-perkara buruk (pada zahirnya)… adakah ia juga mewakili sifat-sifat Allah yang Maha Baik itu? Apakah bentuk aqidah yang diajarkan oleh ESQ ini sebenarnya?
PENJELASAN :
Sesungguhnya dalam setiap penciptaan Allah itu terdapat sesuatu yang boleh menimbulkan keinsafan dan kesedaran di hati manusia untuk memikirkankannya. Contohnya penyakit, haiwan liar dan sebagainya. Siapakah yang menciptakannya? Pastilah Allah. Hati yang hidup, akan dapat sentiasa menghubungkan setiap ciptaan Allah dengan penciptaNya.
Siapakah yang menciptakan penyakit di alam semesta ini? Walaupun manusia sakit kerana pelbagai sebab, namun hakikatnya ianya berlaku semuanya diatas keizinan Allah. Melihat pelbagai penyakit-penyakit yang wujud sekarang ini, akan menyebabkann kita kembali mengingati Allah Yang Maha Menentukan (Al Muktadir). Walaupun ada ketikanya, kita telah berusaha menjaga kesihatan tetapi diberikan juga sakit. Inilah bukti Allah itu berkuasa dan Maha Menentukan. Begitu juga dengan sembuh. Walaupun manusia wajib berusaha untuk sihat, namun hakikatnya siapakah yang menyembuhkan setiap penyakit? Ubat atau Allah? Pastilah Allah. Penyakit-penyakit yang ada akan menyebabkan manusia terus mendekat kepada Allah Yang Maha Menyembuhkan. Penyakit juga adalah sebagai peringatan dari Allah supaya manusia sentiasa menjaga diri dari bahaya dan ini akan sentiasa mengingati manusia kepada Allah Yang Maha Melindungi.
Begitu juga dengan haiwan liar. Yang merasakan haiwan itu liar adalah manusia tetapi hakikatnya itu adalah habitatnya yang diciptakan oleh Allah Yang Maha mengetahui untuk mereka dapat terus bertahan di dalam hutan yang penuh cabaran. Semua diciptakan Allah penuh keseimbangan dan kesempurnaan. Dari binatang liar ini kita boleh mengingatkan pelbagai keunikan dan kehebatan ciptaan Allah Yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui dan Bijaksana.
Berkaitan dengan iblis dan syaitan, inilah contoh apabila mengambil sifat Allah yang dilarang iaitu Sifat Allah Al Mutakabbir. Sifat-sifat Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengingatkan manusia supaya tidak boleh meniru atau mencontohi sifat Allah Al Mutakabbir kerana ia akan menjadikan manusia sombong dan merasa diri sentiasa benar dan pandai. Inilah satu-satunya sifat Allah yang dilarang dari diikuti. Walaupun ilmu banyak dan ibadah hebat, iblis akhirnya dimurkai Allah dan dibuang dari syurga kerana memakai pakaian Allah iaitu sifat Allah Al Mutakabbir. Perlu saudara Aizam ingat, Iblis tidak mahu mencontohi sifat-sifat mulia Allah yang tidak dilarang dari dicontohi seperti kasih sayang, pemaaf, melindungi dan sebagainya sebaliknya Iblis meniru sifat Allah yang dilarang iaitu Al Mutakabbir. Ini seharusnya perlu sentiasa menjadi sempadan buat kita semua. Ikutilah dorongan dari sifat-sifat Allah yang mulia, namun tinggalkan lah sifat sombong dan merasa hanya diri yang pandai kerana ia tidak seharusnya dimiliki oleh manusia. Sifat Al Mutakabbir hanya boleh dimiliki oleh Allah SWT.
Sebagai kesimpulannya, marilah kita hayati kata-kata kata-kata Iman Al Ghazali ini ;
“Semua yang kita lihat dan rasa dengan deria kita menjadi saksi yang tidak dapat dibantah berkenaan adanya Tuhan – batu dan bongkahan, pohon-pohon, makhluk-makhluk hidup, langit, bumi dan bintang-bintang, dataran dan lautan, api dan udara, ketentuan dan kebetulan. Sungguh, kita sendiri adalah ketua saksi padanya. Tetapi sebagaimana halnya kelawar yang melihat hanya pada malam hari dan tidak dapat melihat pada siang hari kerana kelemahan penglihatannya, yang silau disebabkan cahaya matahari, begitu juga fikiran manusia yang terlalu lemah bagi melihat keagungan Tuhan secara utuh.”
KEKELIRUAN 4 :
Menurut saudara Aizam juga :
ESQ juga mengajarkan bahawa manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT hasil daripada suara hati yang sedia wujud di dalam fungsi ketiga otak manusia yang dinamakan God Spot. Suara hati ini menurut ESQ adalah fitrah yang telah ditiupkan dengan 99 nama Allah SWT ketika Allah SWT meniupkan roh-Nya ke dalam diri manusia. Menurut ESQ suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun.
Oleh kerana itu, ESQ mengatakan manusia itu berkasih sayang kerana sifat Allah itu yang Maha Pengasih, manusia itu adil kerana Allah itu Maha Adil, manusia itu berwawasan kerana nama Allah itu al-Aakhir dan pelbagai lagi. Bermaksud kesemua sifat manusia yang benar-benar mengikuti suara hatinya yang fitrah itu adalah merujuk kepada 99 nama Allah SWT yang sedia wujud di dalam God Spot tersebut.
PENJELASAN :
Hakikatnya manusia sebelum lahir ke dunia, telah berjanji untuk tunduk dan menerima Allah sebagai Tuhannya. Ini terbukti di dalam Al Quran, Surah Al A’raf , ayat 172 yang bermaksud ;
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan FirmanNya) : ‘Bukankah Aku Tuhanmu? Mereka semua menjawab : “Benar, (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Namun, bagaimana menjelaskan hingga semua manusia meyakini dan mengakui bahawa mereka hakikatnya sentiasa ingin tunduk dan patuh kepada Allah yang menjadikannya? Penemuan wujudnya saraf-saraf di otak yang bertindak balas dengan hal-hal berkaitan ketuhanan oleh VS Ramachandran yang kemudian menamakannya dengan “God Spot” sedikit sebanyak dapat membantu menjelaskan hal ini. Dengan ditemuinya “God Spot” di otak manusia menjelaskan bahawa manusia secara semulajadi memerlukan Tuhan dan tidak akan menemui kebahagian selagi tidak menemui jawapan kepada makna hidup yang sebenarnya.
Inilah yang dimaksudkan dengan Fitrah bertuhan (Sarafnya dinamakan ‘God Spot) yang ada di dalam diri setiap manusia akan menyebabkan manusia memiliki dorongan kepada kebenaran dan kebaikan. Dorongan kepada kebaikan dan kebenaran yang akan dimiliki oleh manusia ini dinamakan oleh Dr Ary Ginanjar sebagai suara hati. Semua suara hati manusia terarah kepada nilai-nilai kebaikan yang dapat dipelajari dari 99 nama/sifat dari Asmaul Husna. Di dalam bukunya, ESQ Emotional Spiritual Quotient, Versi Malaysia, hal 69 Dr Ary menjelaskan ;
Jawapan-jawapan dari suara hati tersebut kelihatan punya perkaitan dengan sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al Quran (Asmaul Husna) seperti Maha Penolong, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Berilmu, Maha Mengetahui, Maha Suci, Maha Memelihara, Maha Menghitung, dan Maha Melindungi. Merujuk kepada Surah As Sajadah ayat ke 9, bermaksud, “Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya (manusia) dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya…” Ertinya sifat-sifat mulia itu juga ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Contoh-contoh yang dikemukakan di atas adalah bertujuan untuk menyedarkan semua manusia bahawa sebenarnya mereka memiliki suara hati yang sama; suara hati universal yang diciptakan Allah untuk manusia. Inilah yang disebut conscience yang terakam di dalam God Spot. Inilah yang disebut kesedaran spiritual atau kesedaran fitrah.
Inilah sesungguhnya bukti manusia telah berjanji untuk tunduk patuh kepada Allah. Walau fizikal, akal mereka tidak, namun hati seluruh manusia tunduk dan mengakui kebenaran nilai-nilai mulia itu yang hakikatnya adalah dorongan mencontohi sifat-sifat Allah yang dapat kita pelajari di dalam Al Quran dan dinamakan dengan Asmaul Husna. Hati manusia seolah terikat untuk sentiasa mahu mengikuti dan merindui sifat-sifat mulia Allah sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud ;
“Hanya kepada Allah-lah sujud patuh segala yang ada di langit dan dibumi, sama ada dengan kemahuan sendiri mahupun dengan terpaksa; (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.” Surah Ar Ra’d (Guruh) ayat ke 15.
Namun God Spot baru sebatas kemampuan lahirian manusia untuk memikirkan tentang keperluan dan dorongan kepada Tuhan. Kerana itulah manusia yang telah disiapkan dengan fitrah bertuhan ini, kemudiannya diutuskan pula oleh Allah para Nabi dan Rasul sebagai penunjuk jalan kepada agama kebenaran dan menolak cara-cara yang salah dalam mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun kini tiada lagi Nabi dan Rasul, namun untuk kita Allah telah menjanjikan Al Quran sebagai pedoman yang akan dijaga kesuciannya hingga ke akhir zaman. Dari Al Quran lah (beserta As Sunnah) manusia mendapat jawapan kepada semua persoalan. Kerana itu di dalam buku ESQ, Dr Ary menjelaskan bahawa Al Quran adalah Pedoman Utama (Puncak) kepada manusia (rujuk halaman 222, buku ESQ dibawah tajuk Al Quran Sebagai Pedoman Utama).
Di dalam model ESQ sendiri, Dr Ary meletakkan 6 Prinsip Rukun Iman sebagai teras atau panduan kepada Fitrah Bertuhan (suara hati) yang ada pada diri manusia. Suara hati yang ada pada manusia haruslah berprinsip kepada Tauhid iaitu beriman kepada Allah yang Esa, beriman kepada malaikat, beriman kepada Rasullullah, beriman kepada Al Quran, beriman kepada hari kemudian dan menerima dengan ikhlas qado dan qadar Allah. Dengan 6 Rukun Iman ini, perlu pula dilahirkan dalam aksi nyata iaitu dengan melaksanakan dengan penuh keimanan 5 Rukun Islam, iaitu Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Inilah ESQ Model yang diajarkan oleh Dr Ary Ginanjar yang tidak sebatas suara hati sahaja.
Bagi menjelaskan kebingunan Saudara Aizam tentang bagaimana suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun, dengan satu kenyataan bahawa suara hati yang dimiliki oleh manusia bukan menjamin akidah yang benar yang dimiliki oleh mereka. Walaupun semua manusia dikurniakan Fitrah bertuhan tetapi tidak semuanya di landasan yang benar. Ini jelas di dalam sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim).
Dari hadis di atas, jelas bahawa semua manusia memiliki Fitrah bertuhan kepada Allah, namun kerana ibu bapa (persekitar dan pendidikan) manusia menjadi kafir dan menolak Islam. Hal ini menjelaskan mengapa terdapat manusia-manusia yang boleh kita kategorikan berperangan baik dan sangat suka menolong, bersih, adil dan sebagainya namun kerana akidah yang salah, semua kebaikan itu tidak ada nilainya di sisi Allah kerana kebaikan yang dilakukan bukan sebagai pengabdikan kepadaNya.
Berkenaan kenyataan Aizam tentang “ESQ mengatakan manusia itu berkasih sayang kerana sifat Allah itu yang Maha Pengasih, manusia itu adil kerana Allah itu Maha Adil, manusia itu berwawasan kerana nama Allah itu al-Aakhir dan pelbagai lagi. bermaksud kesemua sifat manusia yang benar-benar mengikuti suara hatinya yang fitrah itu adalah merujuk kepada 99 nama Allah SWT yang sedia wujud di dalam God Spot tersebut. “
Mari kita merujuk pada Surat Al-Qashash ayat 77 yang mengatakan bahawa “Berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu”. Allah memiliki sifat-sifat yang tercermin dalam Asmaul Husna, manusia harus menghormati sifat tersebut tapi bukan untuk menandingi-Nya.
Allah memiliki sifat kasih sayang, manusia juga harus memiliki sifat kasih sayang pada sesama. Tapi kasih sayang manusia tidak akan sebanding dengan Allah Yang Maha kasih sayang. Allah Maha Adil, dan manusia juga harus bersifat adil pada sesama manusia.
Sekarang kita bertanya, apakah kita tidak boleh adil, kerana itu adalah sifat Allah Al Adl? Apakah kita tidak boleh memiliki sifat kasih sayang, kerana itu adalah sifat Allah Ar Rahmaan? Jika kita tidak boleh menyamai sifat itu kerana ia sifat Allah, kita harus belajar dari sifat siapa? Ssungguhnya ini bukanlah menyaingi sifat Allah, kerana Adil-nya Allah tidak tertandingi, namun manusia harus adil kepada sesama, semampu manusia. Dan bagaimana bentuk sifat-sifat ini perlu diamalkan, seperti bagaimana berkasih sayang, bagaimana untuk adil, bagaimana untuk pemaaf dan sebagainya yang harus kita praktikkan, semua kembali kepada Al Quran sebagai panduan. Inilah yang akan membezakan suara hati orang Islam dan bukan. Suara hati orang yang bukan Islam, mereka tetap ada dorongan membuat kebaikan tetapi tanpa panduan. Sedangkan untuk umat Islam, suara hati haruslah berpandukan Al Quran dan As Sunnah. Ia dijelaskan di dalam buku dan juga Training ESQ (buku ESQ, versi Malaysia, halaman 222). Untuk yang masuk training tak penuh, atau baca buku mencari salah, mungkin tak akan menemui hal ini...
Kecenderungan manusia untuk menyukai sifat-sifat kebaikan seperti kasih sayang, keadilan, kejujuran, tanggung jawab, keindahan, adalah bukti bahawa manusia telah melakukan perjanjian dengan Allah untuk tunduk patut kepada Allah, sebelum mereka dilahirkan sebagaimana ayat Al-Quran surah al-A’raf (7): ayat 172.
Walaupun manusia tidak beriman, tetai secara fitrah mereka tunduk kepada sifat Allah iaitu mereka menyukai dan merindui sifat pengasih, penyayang, adil dan sebagainya. Inilah bukti bahawa sujud, semua makhluk di langit dan di bumi, termasuk bayang-bayang mereka seperti firman Allah yang bermaksud ;

Apakah Saudara Aizam sendiri berusaha untuk tidak mencontohi sifat-sifat Allah? Tidak mahu kasih sayang, tidak mahu adil, dan lain-lain kerana tidak mahu menyamai sifat-sifat Allah? Apakah kemungkinan akan berlaku kepada manusia yang mengelak dari mencontohi sifat-sifat Mulia ini? Sifat siapakah yang akan dicontohinya? Hati-hati...
Sesungguhnya, kebaikan yang kita lakukan adalah dorongan dari Allah... kerana itu manusia tidak boleh sombong dan angkuh dan mendakwa kebaikan dari diri sendiri. Kerana itu setiap kali lepas bercakap, orang Islam akan mengatakan, “yang baik itu dari Allah, yang lemah dan salah itu dari diri saya sendiri...” Bagaimana dengan saudara Aizam?
KEKELIRUAN 5 :
Aizam menambah :
Akibatnya kesemua nama-nama Allah SWT termasuk yang mempunyai makna-makna khusus bagi-Nya seperti al-Mutakabbir, al-Khaliq, al-Muhyi, al-Mumit diterjemahkan sesuai dengan sifat-sifat manusia. Alasannya kerana manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT.
PENJELASAN :
Sifat Allah yang tidak boleh ditiru hanyalah Al Mutakabir kerana ada hadis Qudsi yang melarangnya.
“Sifat Kibriya (Kebesaran) itu adalah selendangKu dan sifat Azhamah (Keagungan) itu adalah pakaianku. Sesiapa mencabutnya daripadaku, Aku akan mempersoalkannya dan Aku tidak peduli”. Ibnu Majah melalui Ibnu Abbas. Dan ESQ tidak pernah mengajarkan pesertanya mencontohi sifat ini.
Namun sifat-sifat Allah yang lain, tidak pernah ada larangan untuk mencontohinya sesuai dengan kapasiti dan kemampuan seorang manusia yang bukan mahu menandingi sifat Allah.
Al Jabbar adalah sifat Allah Yang Maha Berkehendak (Memaksa). Dalam Surah Al Fussilat, ayat 11, Allah berfirman ;
“Kemudian Dia menuju langit dan langit itu masih merupakan asap, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi: Datanglah kamu keduanya menurut perintahKu dengan rela ataupun terpaksa. Keduanya menjawab, “Kami datang dengan rela.”
Sifat Allah Al Jabbar adalah sifat Allah yang tegas menentukan kepastian sesuatu perkara supaya terus berjalan demi kebaikan dan keseimbangan. Seperti pergerakan bulan, bumi dan matahari sebagai tanda tunduk patuh kepada kehendak Allah. Untuk manusia yang mencontohi sifat Al Jabbar, adalah manusia yang sentiasa disiplin dan menjaga hukum-hukum Allah. Sifat tegas dan disiplin yang dilakukan oleh manusia dengan penuh kasih sayang dan demi kepentingan dan kemaslahatan, bukan kerana sifat sombong, angguh atau mementingkan diri sendiri.
Bagi sifat Al Khaliq pula, adalah bermaksud Yang Maha Pencipta. Manusia tidak mungkin dapat mencipta seperti Allah tetapi manusia perlu kreatif dan boleh mempunyai kemampuan mereka dan mencipta produk-produk baru dan sebagainya. Dorongan dari sifat Al Khaliq akan menjadikan manusia sentiasa kreatif dan inovatif. Dan apabila mencipta sesuatu, manusia jadi tidak sombong kerana mengingati Allah Yang Maha Pencipta, dengan mencipta sesuatu yang bermanfaat, manusia sebenarnya didorong mengingati Allah dan berzikir mengingatiNya. Bayangkan jika manusia mencipta tanpa mengingati Allah Al Khaliq, manusia mungkin akan sombong dan bangga diri hingga lupa kepada yang Maha Pencipta.
Begitu juga sifat Allah Al Muhyi iaitu Yang Maha Menghidupkan. Manusia tidak mungkin menghidupkan orang yang mati, tetapi manusia harus belajar untuk mengidupkan jiwa orang yang mati, kita perlu pelajari bagaimana menghidupkan jiwa manusia supaya sentiasa semangat dan ikhlas kerana Allah. Nama Allah Al Muhyi memberi inspirasi kepada manusia supaya sentiasa menghidupkan hatinya. Selain berzikir dengan Nama Al Muhyi supaya sentiasa hidup hati, kita juga akan terdorong untuk sentiasa berusaha menghidupkan jiwa orang-orang di sekitar kita kepada kebaikan dan kebenaran.
Sifat Al Mumit pula adalah bermakna Yang Maha Mematikan. Manusia tidak mungkin boleh mematikan dirinya mahupun orang lain. Namun di dalam diri manusia ada kebaikan dan keburukan. Sifat buruk pada diri manusia itu harus di matikan. Sifat2 iblis harus dimatikan. Caranya adalah dengan berzikir dengan Al Mumit dan selalu berusaha membersihkan diri dari dosa dan kesalahan.
Sesungguhnya hal ini bukan sesuatu yang baru. Bukan ESQ yang pertama mengajak manusia mencontohi sifat-sifat Allah. Malah ia sudah dimulai sejak zaman Al Ghazali. Malah ulama-ulama dan tokoh-tokoh cendikiawan Islam di Malaysia sendiri banyak membicarakan hal ini. Mengapa ESQ yang dipermasalahkan oleh Aizam dengan pelbagai tanggapan negatif dan ulasan yang menyimpang?
KEKELIRUAN 6 :
Aizam menerangkan :
Kaedah ESQ ini juga amat jelas menyalahi kaedah mantiq yang betul, jika benarlah manusia yang mengikuti suara hati itu dikatakan mengikuti fitrah sifat-sifat Allah SWT, bagaimana pula dengan sifat-sifat manusia seperti makan dan minum, berkahwin, tidur, bernafsu dan lain-lain. Adakah sifat-sifat ini juga mewakili sifat-sifat Allah SWT kerana ia juga fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia. Ia bukan hasil daripada emosi atau fikiran. Malah kaedah literal ESQ yang mengatakan kerana manusia itu berasal daripada Allah SWT maka sifat manusia itu menyamai sifat Allah SWT adalah dangkal kerana ia menyalahi nas dan akal yang sejahtera.
PENJELASAN :
Fitrah terbahagi 2 – Fitrah fizikal dan Fitrah spiritual. Fitrah lahir manusia seperti makan minum, berkahwin, tidur dan sebagainya sama sekali tidak pernah disamakan oleh ESQ dengan Allah. Mana mungkin hal ini dilakukan kerana jelas ia bertentangan dengan syarak.
Apa yang disebutkan oleh ESQ sebagai Fitrah yang dijadikan oleh Allah yang menyebabkan manusia rindu dan ingin mendekat kepada Allah adalah Fitrah secara spiritual. Fitrah spiritual manusia merindui sifat-sifat kasih sayang, keadilan dan sebagainya hingga manusia terdorong mencontohi Asmaul husna.
Kenyataan Saudara Aizam yang mengatakan “Malah kaedah literal ESQ yang mengatakan kerana manusia itu berasal daripada Allah SWT maka sifat manusia itu menyamai sifat Allah SWT” adalah satu kenyataan yang tidak bersumber dan mungkin hanyalah tafsiran saudara Aizam sendiri yang boleh mengelirukan orang ramai. ESQ tidak mengatakan sifat manusia menyamai sifat Allah tetapi manusia terdorong untuk mengikuti sifat-sifat Allah kerana dorongan suara hati yang dijadikan oleh Allah sebagai tanda manusia pernah berjanji/bersaksi untuk patuh kepada Allah sesuai dengan firman Allah di dalam surah Al A’raf ayat 172.
KEKELIRUAN 7 :
Aizam membuat ulasan di tulisannya :
ESQ sebenarnya terperangkap dengan jerangkap ‘spiritual quotient’ yang digagaskan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall. Ia didokong oleh hipotesis yang dibuat oleh VS Ramachandran kononnya terdapat fungsi ‘pencarian tuhan’ di dalam otak manusia. Padahal al-Qur’an sendiri telah mengatakan bahawa ‘otak manusia yang sejahtera’ jika berfikir secara rasional sememangnya akan menemui siapakah penciptanya. Oleh itu, di dalam al-Qur’an manusia disuruh berfikir dan bertafakkur tanpa perlu menunggu penemuan Barat ini.
PENJELASAN :
Benar sekali pandangan Aizam bahawa ‘otak manusia yang sejahtera’ jika berfikir secara rasional sememangnya akan menemui siapakah penciptanya. Oleh itu, di dalam al-Qur’an manusia disuruh berfikir dan bertafakkur tanpa perlu menunggu penemuan Barat ini.
Namun malangnya, realiti kebanyakan dari masyarakat sekarang tidak begitu saudara Aizam. Jika saudara Aizam terjun ke dunia realiti masyarakat, pergilah melihat ke dataran merdeka, di jalan bukit bintang, di Hard Rock Café, di gedung-gedung tinggi yang di isi oleh para korporat, di KLCC yang penuh manusia yang pelbagai rupa dan ragam, akan jelas terlihat bahawa kebanyakan otak manusia sudah tidak lagi rasional kerana mereka sudah tidak mengenal Allah dan Rasul. Mereka juga buta Al Quran. Yang mereka kagum dan terima adalah teori-teori dari barat dan penemuan-penemuan sains. Dari sekolah rendah mereka di dedahkan dengan pelbagai teori dan penemuan sains yang dianggap benar dan penting. Al Quran hanya menjadi subjek kecil itupun lebih berorentasikan peperiksaan dan hafalan. Bukan kefahaman, perbincangan dengan pendekatan yang mudah dan menarik hati. Hingga akhirnya mereka jauh dari Al Quran dan Allah. Tidak ramai yang direzkikan ilmu seperti saudara Aizam. Yang ramai adalah mereka yang tidak mencintai dan meyakini Allah saat ini, terutama generasi muda harapan bangsa.
Kerana itu ESQ membawa istilah ‘spiritual quotient’ dan menyebutkan nama-nama yang mereka kenal seperti Danah Zohar dan Ian Marshall. Dan penemuan sains oleh saintis VS Ramachandran. Apabila orang seperti ini yang bercakap, lebih mudah untuk diterima akal bagi mereka. Hingga tanpa mereka sedar, keyakinan mereka telah dibalikkan. Dari kekaguman kepada barat dan sains, ESQ membawa mereka mengenal Allah di sebalik itu semua. Allah yang menciptakan saraf otak, bukan VS Ramachandran yang hanya menemuinya. Allah yang membuat manusia mencari dirinya, bukan Danah Zohar atau Ian Marshall yang hanya membenarkannya. Namun saintis barat hanya terbatas kepada penemuan, yang menjelaskannya dengan terang dan nyata pastilah Allah melalui Al Quran. Di sinilah baru manusia akan sujud tersungkur menangis bersyukur kerana baru ‘kenal’ dengan Allah dan baru merasa sangat indahnya Al Quran. Kerana itu di dalam training ESQ ramai orang menangis dan ada juga yang meraung… bukan kerana mereka sedih mengenang ibu, tetapi baru menyedari bahawa sifat kasih sayang ibu itu adalah dari Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Mereka menangis kerana di usia 50 tahun, baru tahu apa yang dimaksudkan Allah itu dekat, malah lebih dekat dari urat nadi di leher manusia itu sendiri. Sudah bercucu, baru benar-benar meyakini keesaan Allah dan kebenaran Al Quran yang selama ini telah beberapa kali khatam dibaca dengan dengung dan lagu tetapi tidak pernah difahami apatah lagi diyakini sepenuh hati.
Al Quran itu terlalu agung. Otak manusia diciptakan Allah untuk mengkagumi hal ini, namun bagaimana kaedahnya? Aizam harus duduk dan merenung, menggunakan ‘otak yang rasional’ untuk berfikir bagaimana mendekatkan golongan muda kepada agama. Mendekatkan golongan korporat kepada Iman dan Islam. Bagaimana mendekatkan golongan tidak percaya Allah kepada Al Quran yang mampu menjadi solusi hidup. Ramai dari kita yang bijak pandai ini, mampu membuatkan orang terpegun dengan ilmu dan kefasihan kita apabila berbicara atau berdebat tetapi tidak dapat membuatkan manusia tunduk dan bergetar apabila mengingat pemilik sebenar ilmu itu iaitu Allah SWT. Ini menurut saya adalah lebih besar faedahnya dari mencari salah dan silap ESQ…
KEKELIRUAN 8 :
Aizam menyatakan :
Hakikatnya, teori ESQ lahir dalam keadaan worldview Barat yang tidak percayakan tuhan dan berselirat dengan falsafah materialisme. Epistemologinya juga jelas hanya berasaskan kepada falsafah Barat dan hipotesis sains. Logiknya bagaimana mungkin ia boleh menjadi tafsiran kepada Islam?
PENJELASAN :
Apa yang dituduhkan oleh Aizam ini sangat bertentangan dari yang sebenarnya. Aizam tidak mempunyai pengetahuan sedikitpun kepada asal usul atau sejarah bagaimana ESQ ini lahir. Beliau tidak pernah mewawancara atau menyelusuri perjalanan hidup Dr Ary Ginanjar sehingga buku ESQ ditulis dan mengapa kemudiannya ia dibuat dalam bentuk Training. Bagaimana beliau boleh menyimpulkan ESQ sebagai hasil dari keadaan worldview Barat yang tidak percayakan tuhan dan berselirat dengan falsafah materialisme? Bagaimana juga beliau boleh menyimpulkan Epistemologi ESQ adalah berasaskan kepada falsafah Barat dan hipotesis sains? Semua itu hanya berdasarkan andaian dan kedangkalan kajian beliau.
Sesungguhnya buku ESQ ditulis sejak dari tahun 1999, sebelum Danah Zohar menerbitkan bukunya, Spiritual Quotient. Bukti-bukti penulisan tangan Dr Ary Ginanjar di atas kertas terpakai yang berjumlah lebih dari 2000 keping masih boleh dilihat di Jakarta.
Sesungguhnya ESQ lahir dari pencarian hidup Dr Ary Ginanjar akan makna sebenar kehidupan. Hal ini beliau tuliskan di dalam bukunya ;
“Saya pernah mempelajari ajaran Islam dari seorang tokoh ulama Bali, HS Habib Adnan. Saya merasakan bahawa ilmu yang diajarkan oleh beliau sangat berkesan kerana saya diberi kebebasan untuk berfikir (dengan bimbingan beliau). Sehingga pada akhirnya, saya mendapat hidayah daripada Allah SWT, untuk menerima ajaran Islam secara sedar dan yakin, tanpa dipaksa atau didoktrinkan. Saya seperti mendapat ‘kekuatan’ dahsyat untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dari berbagai gambaran fenomena kehidupan yang selama ini terpisah-pisah.
Ajaran Islam yang saya fahami itu telah banyak memberikan sumbangan dalam hidup saya, khususnya dalam perniagaan yang saya mula dari bawah. Sehingga saya berkeyakinan bahawa agama tidak hanya semata-mata hanya ritual ibadah tetapi di setiap inci persoalan manusia ; ekonomi, sosial, politik dan kebudayaan, mampu dibimbing oleh ajaran Islam.
Islam bukan hanya peraturan dan hokum-hakam, tetapi juga ilmu, cinta kasih dan yang paling besar bagi saya ialah kecenderungan Emosi (EQ), bahkan kecerdasan Spiritual (SQ) ternyata mampu bersumber dari Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan yang merupakan dasar agama Islam.
Setelah bertahun-tahun berada dalam ‘pencarian’ jati diri, dengan melalui pelbagai pengalaman selama berada di dalam dunia perniagaan juga dengan pengkajian ilmu – gabungan sejumlah buku ilmiah moden sebagai rujukan, akhirnya saya sampai kepada kesimpulan bahawa Emosional Quotient dan Spiritual Quoitent terbukti mengikuti konsep Rukun Iman dan Rukun Islam yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang lalu.” (Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 7-8)
Pada asalnya, tiada istilah God Spot ditengah ESQ Model. Yang ada adalah perkataan FITRAH. Namun Dr Ary Ginanjar pada ketika itu berhasrat untuk menggunakan semua istilah di dalam Model nya di dalam bahasa Inggeris supaya mudah dibawa ke peringkat antarabangsa. Namun setelah puas dicari, tidak ada istilah bahasa Inggeris yang dapat menjelaskan makna Fitrah dengan tepat.
Pada tahun 2000, sewaktu buku ESQ telah siap ditulis dan dibawa kepada Kiyai Habib Adnan di Bali, Ary Ginanjar telah diberikan oleh sesaorang buku Danah Zohar yang menceritakan tentang Spiritual Quotient. Melalui buku inilah Dr Ary menemukan istilah ‘God Spot’ sebuah penemuan sains yang boleh menjelaskan bahawa manusia itu sedari asal kejadiannya sudah disiapkan dengan keperluan kepada Tuhan. Namun penemuan ini diangkat oleh Danah Zohar tetapi tidak menghubungkannya dengan Tuhan. Sebelum buku ESQ diterbitkan, Dr Ary telah mengambil sedikit dari petikan buku Danah Zohar untuk dimuatkan di dalam bukunya. Selain penemuan God Spot itu dipakai sebagai istilah untuk menjelaskan konsep Fitrah yang gagal dicari perkataan lebih sesuai, ia juga untuk menjawab SQ Danah Zohar yang tidak menjelaskan kepentingan Tauhid.
Sesungguhnya ingin diingatkan kepada saudara Aizam, supaya lebih berhati-hati di dalam membuat tuduhan dan ulasan. Semua ini tidak berakhir di dunia. Malah setiap yang ditulis dan diucapkan, akan dipertanggungjawab di akhir kelak. Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, jangan menjadikan ilmu itu kemudahan untuk menghukum dan menjatuhkan salah kepada orang yang tidak anda kenali. Sebaliknya jadikanlah ilmu itu pakaian yang dapat mendekatkan manusia kepada Allah.
KEKELIRUAN 9 :
Aizam menulis :
Penulis tidak fikir ESQ akan berjaya diislamkan. Ini kerana ia adalah satu ‘ideologi’ bukan ‘metodologi’. Ia sama dengan usaha sesetengah orang yang cuba untuk mengislamkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, komunisme dan lain-lain. Jika ada juga yang cuba untuk mengislamkannya maka akan lahirlah muslim sekular, muslim liberal, muslim kapitalis dan lain-lain. Islam adalah Islam. Epistemologinya adalah bersumberkan wahyu bukan akal, falsafah atau dapatan sains. Hal ini berlaku kepada Ary Ginanjar. Dia tidak pernah berjaya mengislamkan ESQ sebaliknya Islam pula yang terpaksa disesuaikan dengan ESQ.
PENJELASAN :
Dr Ary Ginananjar tidak pernah berhasrat untuk mengislamkan ESQ kerana ESQ adalah satu konsep yang lahir dari Rukun Iman, Islam dan Ihsan. Sama ada ia ditafsir sebagai ideology atau metodologi terpulang kepada sesiapa yang bebas menafsirkannya. Apa yang penting untuk beliau sampaikan adalah konsep ESQ iaitu Emosional dan Spiritual Quotient telah dijelaskan oleh Rasulullah 1400 tahun yang lalu apabila Baginda yang mulia mengajarkan tentang Rukun Iman dan Islam. Semuanya ada di dalam Al Quran dan As Sunnah.
Untuk meyakinkan hal ini kepada masyarakat, beliau membawa pendekatan yang dekat dengan mereka iaitu hujah akal, penemuan dan teori sains. Supaya apa yang mereka yakini (iaitu ilmu dan teori barat) akhirnya berubah kepada keimanan kepada Allah dan Al Quran. Ini adalah kaedah yang diusulkan oleh Allah di dalam firmannya yang bermaksud ;
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” QS An Nahl 125-126
ESQ tidak pernah perlu diIslam atau disesuaikan dengan Islam. Kerana ia lahir dari keyakinan menyampaikan rukun islam, iman dan ihsan di dalam setiap inci kehidupan manusia moden saat ini.
KEKELIRUAN 10 :
Menurut Aizam lagi :
Kita tidak pernah mendengar bahawa ihsan itu God Spot atau suara hati atau 99 nama Allah atau tiupan roh Allah. Apa yang kita tahu ‘ihsan’ itu adalah satu martabat tertinggi dalam beribadah. Sama ada seseorang itu mencapai maqam musyahadah atau muraqabah. Syarat ibadah tentulah seseorang itu beriman dan menganut Islam. Ia adalah maqam yang amat eksklusif dan bukan inklusif. Tetapi ESQ telah MEMBARATKAN pengertian ‘ihsan’ dengan mendakwa ia adalah ‘spiritual quotient’ yang berlaku kepada semua manusia tanpa mengira apa jua anutan agama. Ia dianggap sesuatu yang universal dan inklusif hatta kepada mereka yang tidak beragama. Apa yang berbeza hanyalah pada metodologi bagaimana untuk mereka mencapai ‘spiritual quotient’ itu. Ia mungkin dicapai dengan solat, yoga, meditasi, pertapaan atau mendengar muzik kerana ia adalah sesuatu yang ‘built-in’ di dalam diri manusia dan tidak terikat kepada ritual keagamaan untuk memperolehinya.
PENJELASAN :
Maqam Ihsan yang dibicarakan dan digambarkan oleh saudara Aizam itu adalah maqam yang tinggi, manakala apa yang dibicarakan oleh ESQ hanyalah asas memahaminya. Bagaimana mahu kita bicara soal yang tinggi-tinggi sedangkan yang sebatas asas belum dapat difahami dan diamalkan. Kerana itu di ESQ disampai 1 Value, tidak disebut Ihsan. Nilai-nilai yang baik, adalah asas kepada Ihsan namun bukan maqam Ihsan saudara Aizam. Perlu diingat ESQ Training adalah HR Training, bukan kelas pengajian agama atau kelas tasawuf.
Allah menyiapkan manusia dengan Fitrah bertuhan. Manusia hakikatnya memerlukan Tuhan di dalam hidup mereka. Walaupun mereka mengakuinya atau tidak, hakikatnya mereka tetap disiapkan “hardware” untuk mengakui wujudnya Tuhan yang menciptakan alam ini dan perlu disembah. Handware ini adalah fungsi otak yang dinamakan oleh saintis sebagai ‘God Spot’.
Setelah manusia mempunyai ‘persediaan’ secara semulajadi ini, Allah datangkan para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan kebenaran. Untuk kita, umat akhir zaman Allah utuskan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang menyampaikan siapakah Tuhan yang sebenarnya dan apakah agama yang lurus itu. Walaupun Rasulullah telah tiada, tetapi Al Quran yang ditinggalkannya adalah pedoman hingga ke akhir zaman.
Walaupun ESQ menyampaikan bahawa semua manusia mempunyai abiliti untuk memikirkan kepada keperluan bertuhan dan memerlukan keyakinan itu untuk hidup yang sempurna, mereka perlu disampaikan tentang agama yang benar itu adalah Islam dan Tuhan yang benar itu adalah Allah. Inilah yang dilakukan oleh ESQ mengikut caranya. Setelah menjelaskan erti pencarian manusia akan makna hidup, ESQ membawa jawapan yang semuanya adalah dari Al Quran dan Hadis Rasulullah. Penemuan sains dan teori barat hanya untuk menyerlahkan kebenaran Al Quran yang menjadi sumber kebenaran.
Pertama yang disampaikan di training ESQ adalah keyakinan yang dalam kepada Allah, Rasulullah dan Al Quran. Keyakinan yang padu ini akan menjadi asas kepada semua yang lain. Kemudian baru di ESQ dibicarakan soal suara hati dan Zero Mind Prosess. Kemudian ia dibimbing oleh 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam. ESQ Training harus dilihat secara menyeluruh, barulah akan terlihat ke mana peserta ingin dibawa.
Saudara Aizam harus keluar dari kepompong dunia ilmiahnya yang hanya bergelut bercerita tentang ilmu-ilmu Islam yang tinggi tetapi tidak dibawa merendah hingga masuk ke hati manusia. Sebagai penilaian saya, inilah kelemahan dari ramai pengkaji kita. Orang lain telah berbuat dan telah berbuah usaha mereka, tetapi kita masih menkaji dan mencari di mana salah yang boleh dijumpai oleh pekerjaan orang-orang ini. Alangkah baiknya jika saudara Aizam mencari bagaimana untuk melengkapkan kekurangan ESQ yang sangat terlihat di mata saudara Aizam. Jika menurut saudara Aizam ia sesuatu yang tidak boleh diperbaiki, maka hormatilah para ulama yang menyatakan sokongan dengan tegas kepada ESQ.
Apa yang boleh dilakukan menurut saya, dengana ilmu Aizam yang banyak itu cubalah digunakan untuk meyakinkan orang-orang untuk menerima Allah sebagai Tuhan. Cuba bayangkan apabila Aizam perlu memberi training kepada manusia-manusia yang majoritinya datang adalah untuk mencari rahsia kejayaan dunia, hidup kaya dan dihormati manusia? Tidak pernah membaca Al Quran dan tidak pernah meyakini rukun iman dan islam. Apatah lagi memahami makna Ihsan seperti yang dihuraikan oleh saudara Aizam di atas tadi. Apakah yang mungkin Aizam sampaikan kepada mereka hingga mereka akhirnya mahu duduk 3 hari di dalam dewan training dan akhirnya pulang dengan membawa keyakinan bahawa Allah itu Esa dan Al Quran itu benar, Rasulullah itu utusan Allah dan Al Quran itu bukan buatan manusia.
Fikirkan juga bagaimana untuk membiayai semua perbelanjaan dan kos penyelenggaraan. Bukan hanya mengadakan seminar demi seminar dari peruntukan jutaan ringgit duit kerajaan yang hakikatnya adalah duit rakyat juga. Biar setimpal, peruntukan yang diberikan oleh rakyat kepada badan-badan agama dengan hasil kesedaran yang dapat dirasakan oleh rakyat yang semakin hari semakin terdedah dengan pelbagai masalah dan pengaruh yang tidak sihat. Dari gejala social, zina, buang anak, mat rempit, hingga kepada rasuah, ponteng kerja, tidak berdisplin, merompak, rogol, menipu, hingga kepada rosak akidah dan keyakinan kepada Allah.
Bagaimanakah untuk mengatasi semua masalah ini? Inilah medan perjuangan ESQ… yang perlu Aizam kaji dengan hati yang ikhlas dan terbuka. Selain mengukur ESQ dengan ilmu Aqidah dan Feqah, bukalah juga kitab uslub dakwah. Moga Hidayah Allah tercurah di hati Aizam.
KEKELIRUAN 11 :
Saidara Aizam menulis lagi ;
Sebab itulah, Ary telah menyenaraikan peneraju syarikat-syarikat besar seperti Walt-Disney, Starbucks, Body Shop, Visa International, Nokia, Matsushita dan lain-lain sebagai tokoh-tokoh sufi korporat yang telah berjaya mencapai ‘spiritual quotient’ sehingga menepati nama-nama Allah SWT yang telah menjadi fitrah dalam diri mereka. Jenis sufi dan tasawwuf apakah yang diajar oleh Ary Ginanjar ini?
PENJELASAN :
Semua syarikat besar di atas disebutkan oleh Dr Ary Ginanjar sebagai contoh syarikat-syarikat yang berbasiskan spiritual kerana mereka berpegang kepada nilai-nilai yang baik. Ia sebagai bukti, dengan berpegang kepada nilai-nilai baik di dalam syarikatnya, manusia boleh berjaya di dunia. Ini bagi menolak pendapat yang mengatakan untuk maju manusia harus melupakan semua nilai-nilai yang baik.
Namun ESQ tidak mengajarkan hanya berpegang kepada nilai-nilai. Di dalam ESQ Model jelas bahawa nilai-nilai yang baik itu perlu diikat dengan 6 Prinsip iaitu beriman kepada 6 Rukun Iman. dan 5 langkah yang diambil dari 5 Rukun Islam. Inilah kunci kejayaan dan kebahagian manusia untuk kehidupan di dunia dan akhirat.
KEKELIRUAN 12 :
Akhirnya Aizam membuat kesimpulan :
Terus terang penulis katakan, ESQ adalah satu trend halus untuk menerapkan faham ‘perennial philosophy’ ke dalam penganut agama seluruh dunia. Faham ini masuk dengan pelbagai kaedah seperti melalui Global Theology, Global Ethic dan lain-lain. Kesemua faham ini pada zahirnya cuba mencari persamaan nilai yang universal antara semua manusia. Asas kepada ideology ini adalah manusia bersatu pada titik spiritualnya yang disebut sebagai ‘metaphysical unity’ atau kesatuan metafizik (esoteric). Inilah sebenarnya inti pluralisme agama. Amat silap jika sesetengah pihak beranggapan bahawa pluralisme agama itu hanyalah apabila seseorang mengatakan ‘agama itu semuanya sama’. Malah sememangnya ‘perennial philosophy’ itu mengiktiraf agama-agama itu berbeza tetapi hanya pada level eksoteriknya (zahirnya) tetapi kesemuanya menuju atau bertawaf kepada paksi yang sama pada level esoteriknya (batinnya). Lebih daripada itu, ‘perennial philosophy’ juga tidak pernah menyekat penganut mana-mana agama mengamalkan agamanya, apa yang penting penganut agama-agama itu menerima bahawa mereka semua bertemu akhirnya pada titik yang sama. Itulah ‘spiritual quotient’ yang dimaksudkan. Kesimpulannya, inilah rupa paras ESQ yang sebenar…lihatlah worldview kelahirannya dan epistemology yang mencetuskannya… anda akan kenal apa ESQ yang sebenar!
PENJELASAN :
Inilah sebenarnya tujuan penulisan saudara Aizam yang penuh kekeliruan ini; Ingin membawa pembaca kepada satu rumusan iaitu pertuduhan melulu bahawa ESQ adalah satu ideologi yang mahu menyamakan semua agama dan mendokong fahaman Pluralisme. Sesungguhnya ini satu fitnah yang besar dari hujah yang sangat dangkal dan lemah.
Untuk mengetahui keyakinan dan pegangan sesaorang, apatah lagi aqidah sesaorang yang mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, berpuasa penuh di bulan Ramadhan, membayar zakat dan mengeluarkan sedekah serta menunai haji, tidak cukup pengetahuan yang tinggi di bidang falsafah dan teori ‘perennial philosophy’ atau yang seumpamanya. Ini adalah kaedah yang sesat. Mengambil ilmu barat, dan mengukurnya kepada orang Islam lain untuk menentukannya salah atau benar keimanannya adalah kaedah yang tidak pernah digunakan oleh mana-mana ilmuan Islam. Bukan begini cara Islam mengukur atau menilai sesaorang. Apakah perbuatan Dr Ary Ginanjar yang bercanggah dengan nilai Iman, Islam dan Ihsan? Apa tindakan beliau yang bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah? Dari situlah baru pertuduhan boleh dilakukan kepada beliau.
Mengapa ilmu barat yang menjadi ukurannya? Seperti apa yang saudara Aizam tuduhkan kepada Dr Ary Ginanjar, sebenarnya itulah yang dilakukan oleh saudara Aizam. Dr Ary tidak mengambil teori barat untuk membenarkan Islam tetapi saudara Aizam mengambil pengetahuannya terhadap ilmu-ilmu sesat barat untuk menyesatkan Dr Ary Ginanjar…
Dengan penjelasan kepada semua kekeliruan di atas, jelas Dr Ary Ginanjar tidak pernah menyamakan Islam dengan semua agama yang lain. Dr Ary Ginanjar mengakui Islam adalah agama yang benar dan tidak ada agama yang lebih benar dari Islam. Nilai-nilai kebaikan yang ada pada manusia yang bukan Islam, bukan membenarkan agama mereka tetapi membenarkan bahawa semua kebaikan itu adalah bersumber dari Allah SWT sama ada mereka mengakuinya atau tidak.
Dan ingin ditegaskan di sini, bahawa nilai-nilai kebaikan yang ada pada umat yang tidak mengEsakan Allah, tidak akan menjamin keselamat hidup mereka di akhirat walaupun kelihatan di dunia mereka berjaya. Hal ini perlu dijelaskan kepada masyarakat yang sering keliru mengapa umat bukan Islam maju dan ada kalanya, nilai-nilai kebaikan yang mereka pegang lebih teguh berbanding sebahagian umat Islam yang pengotor, penipu, hasad dengki, tidak saling bekerjasama dan sebagainya. Kita lihat saja kecurian selipar yang berlaku setiap hari di masjid. Apakah kerana sikap umat Islam yang salah ini melambangkan kesalahan ajaran Islam? Apakah kerana kebaikan yang diamalkan oleh umat bukan Islam, membuktikan kebenaran agama mereka? Tidak sama sekali. Inilah jawapan yang cuba Dr Ary Ginanjar sampaikan, bahawa semua nilai kebaikan itu adalah tanda bahawa manusia itu diciptakan oleh Allah. Semua manusia tanpa mengira agama, bangsa menyukai pada nilai-nilai kebaikan yang sama. Ia bukti, nilai-nilai itu diciptakan oleh Tuhan yang satu iaitu Allah. Hal ini jelas di dalam ayat-ayat Al Quran yang beliau bawa sebagai hujah.
Apabila umat Islam tidak mengamalkannya, kita tidak akan merasai indahnya. Tetapi orang yang mengeluarkan nilai-nilai kebaikan yang diberikan Allah, mereka akan mendapat manfaatnya. Tetapi itu saja tidak cukup. Kerana itu ESQ mengajarkan 165. Tidak sekadar 1 yang diperjuangkan tetapi 6 iaitu Nilai 6 Rukun Iman dan Nilai 5 Rukun Islam. Yang kesemuanya wajib di imani dan diamalkan. Dengan nilai Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan barulah lengkap keIslaman sesaorang sebagai jaminan keselamatan dunia dan akhirat.
Untuk mengenali siapa atau apa ESQ sebenarnya, lihatlah kepada hasil training ESQ yang membawa pesertanya kembali mentauhidkan Allah dengan sepenuh keyakinan, beriman dengan 6 Rukun Iman dan beramal dengan 5 rukun Islam. Lihatlah kepada peserta-peserta non Muslim yang ada pada akhirnya menyakini kebenaran Al Quran dan beriman dengan Allah dan menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah. Mengaitkan ESQ dengan ajaran ‘perennial philosophy’ dan seumpamanya hanyalah andaian-andaian yang berpunca dari rasa ragu dan sangsi yang tidak disusuli dengan kajian lebih mendalam dari hati yang tulus ikhlas mencari kebenaran.
Dr Ary Ginanjar tidak memberi hidayah kepada manusia, tetapi yang memberi hidayah dan petunjuk hanyalah Allah. Apa yang beliau lakukan hanyalah usaha untuk memperlihatkan, memperjelaskan dan menyerlahkan segala kebenaran Al Quran hingga manusia tunduk dan menerimanya dengan sepenuh hati, bukan dipaksa atau di doktrinkan. Sesungguhnya ini adalah kerja keras yang telah beliau lakukan dan ia dapat dirasakan oleh mereka yang dekat dengannya. Seperti yang sering beliau sampaikan di training ESQ, bahawa semua ini beliau lakukan bukanlah kerana merasa lebih tahu dari yang lain tetapi inilah cara beliau bertaubat kepada Allah.
Sekian, semoga saudara Aizam dan mereka yang meragui ESQ akan mendapat penjelasan. Tujuan penulisan ini adalah untuk menghilangkan keraguan-keraguan yang mungkin timbul kepada alumni ESQ yang telah meyakini nilai-nilai Islam, Iman dan Ihsan sebagai solusi hidup mereka. Supaya mereka tidak meninggalkan nilai-nilai ini hanya kerana keraguan yang dicetuskan kepada peribadi Dr Ary Ginanjar oleh mereka yang sesungguhnya langsung tidak mengenali beliau.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu melihat apa yang telah kamu lakukan untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” Maksud Surah Al Hasyr (Pengusiran) ayat 18.
Yang baik dan benar itu dari Allah, yang salah itu adalah dri kelemahan dan kesilapan saya sendiri dan sentiasa terbuka untuk teguran dan pembaikan. Terima kasih.

Subscribe to:
Posts (Atom)