Tuesday, September 7, 2010

YAYASAN TA'ALIM : "WAJARKAH ESQ DIHARAMKAN?"

PENJELASAN KEPADA KONTROVERSI DI FORUM ANJURAN YAYASAN TA’ALIM, 28 Ogos 2010.



Pada 28 Ogos 2010, bertempat di Dewan Serbaguna, masjid Wilayah Persekutuan, telah berlangsung satu Forum anjuran Yayasan Ta’alim yang bertajuk ‘‘Wajarkah ESQ Diharamkan?”. Panel yang terlibat di dalam Forum terbabit adalah Ustaz Adli Saat dari Yayasan Ta’alim dan Pak Amin Djamaluddin dari LPPI (Lembaga Penelitian dan Pengkajian Islam) Jakarta, Indonesia yang sebelum ini terlibat dalam kontroversi mempergunakan nama MUI (Majlis Ulama Indonesia) sedangkan pihak MUI menafikan kenyataan pak Amin Djamaluddin sebagai mewakili MUI.

Mengapakah Forum ‘Wajarkah ESQ di haramkan?’ ini dianjurkan? Walaupun pihak penganjur kelihatan ‘bersopan’ dengan menyediakan ‘kerusi’ Panel untuk diisi oleh wakil dari ESQ Leadership Center, tetapi wajarkah sebenarnya Forum sebegini dianjurkan? Mengapa perlu sebuah Panel membincangkan wajar atau tidak ESQ diharamkan setelah ia diharamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan dengan sangat jelas disokong oleh Yayasan Ta’alim yang sebelum ini telah menganjurkan juga sebuah Forum yang mengelirukan iaitu ‘ESQ Satu Penjelasan’. Apakah tujuan sebenar disebalik penganjuran Forum ini? Siapakah yang mahu diperlihatkan sebagai badan yang mempertikaikan keputusan Mufti? Siapakah yang ingin dijerat di dalam kontroversi ini?

Hakikatnya, pengharaman ESQ memang sebuah kontroversi yang tidak selesai. Dan tidak mungkin selesai dengan penganjuran Forum seperti ini. Mengapa? Kerana ia telahpun menjadi sebuah keputusan… keputusan yang sangat meragukan dan mendukacitakan ramai pihak. Untuk mengharamkan sesuatu perkara, perlukan satu proses yang sangat teliti, kerana ia akan menjadi rujukan dan pegangan masyarakat awam. Apatah lagi pengharaman ESQ yang merupakan sebuah Modul Training Pembangunan Modal Insan yang sangat Inovasi! Ia tidak sama seperti pengharaman YOGA atau Rokok, atau yang seumpama dengannya. Kerana ESQ bukan sebuah benda yang bersifat statik yang begitu mudah untuk dipertuduhkan apa saja tanpa perlu proses bela diri atau peluang menjelaskan kekeliruan yang timbul. Pandangan pakar yang arif tentang metodologi atau kaedah sebuah training perlu dipertimbangkan dalam menilai ESQ.

Siapakah sebenarnya ‘tim’ yang bertanggungjawab membuat keputusan pengharaman ini? Apakah ia keputusan secara bersama ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan atau sebuah keputusan individu? Kenyataannya, Pihak Pengurusan ESQ atau Dr Ary Ginanjar Agustian sebagai pengasas Modul dan Metode Training ESQ, tidak pernah dipanggil oleh untuk Proses Tabayyun atau membuat penjelasan kepada kekeliruan yang dirasakan oleh ‘tim’ pemantau dari jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Sedangkan jelas Firman Allah di dalam Surah Al Hujurat, ayat 6 yang bermaksud ;

“ Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita , maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatan itu.”

Siapakah yang terlibat dalam proses kajian untuk Jawatankuasa Perunding Hukum Syarah Wilayah dan berapa lamakah proses kajian ini telah dibuat? Apakah kesemua ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dipanggil bersidang dan merasa ‘puas’ dengan kajian yang dibuat, hingga akhirnya bersetuju secara bersama dan bertanggungjawab dengan keputusan mengharamkan ESQ? Kerana sesungguhnya, tanggungjawab ini bukan terpaksa mereka pikul di dunia, malah yang lebih berat, adalah pengadilan Allah di akhirat nanti.

Seperti yang semua sedia maklum, kajian berkaitan ESQ memang telah sedari awal di lakukan oleh Panel Kajian Aqidah di JAKIM yang diketuai oleh YBSS Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan. Namun, setelah dibentangkan di Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, usulan pengharaman ESQ telahpun ditolak kerana keraguan-keraguan yang timbul adalah sesuatu yang boleh diperjelaskan. Namun, apakah kerana gagal meyakinkan Majlis Fatwa Kebangsaan, maka ia dibawa ke Wilayah Persekutuan untuk dilaksanakan?. Persoalannya sekarang, apakah keputusan pengharaman ini keputusan individu atau keputusan sepakat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan? Apakah keputusan tidak memanggil Dr Ary Ginanjar atau Wakil ESQ membuat penjelasan di Wilayah Persekutuan sebelum fatwa dikeluarkan, juga keputusan individu? Kerana merasakan ESQ sama seperti Al Arqam atau Ajaran Ayah Pin?

ESQ tidak boleh disamakan dengan ajaran-ajaran sesat yang pernah diharamkan di Malaysia seperti Al Arqam atau Ajaran Ayah Pin. Kerana ajaran yang menyimpan di dalam Arqam dan Ayah Pin sangat jelas dan tidak menimbulkan perselisihan pandangan ulama. Tidak ada seorang Muftipun yang mempertahankan ajaran Al Arqam atau Ayah Pin. Apatah lagi ‘greenlight’ daripada Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaaan. Bermakna, kesesatan Al Arqam dan Ajaran Ayah Pin adalah sah dan nyata dan sangat berbeza dengan ESQ yang merupakan sebuah training 3 hari yang didalamnya penuh metode atau kaedah. Banyak rujukan dan kajian serta pendekatan dan penemuan. Inilah yang menjadi pertimbangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Yang menjadi kehairanan umum, mengapa keputusan pengharaman ini perlu diambil dalam keadaan tergesa-gesa sedangkan semua tahu ia sedang dikaji dan diteliti oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan? Memang benar, seperti yang termaktub di dalam undang-undang, untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah kuasa negeri, namun jangan kita lupa bahawa di bawah ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM NEGERI-NEGERI, SEKIRANYA ISU YANG BERLAKU MENYENTUH KEPENTINGAN NASIONAL, MAKA PANDANGAN MUZAKARAH PERLU DIRUJUK TERLEBIH DAHULU SEBELUM SEBARANG FATWA DIKELUARKAN OLEH NEGERI. Ini dinyatakan dengan jelas di dalam KENYATAAN MEDIA PENGERUSI JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA MENGENAI ISU KURSUS ESQ LEADERSHIP TRAINING yang ditandatangani oleh Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Bin Hj Husin (sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan), bertarikh 14 Julai 2010. Apakah di Wilayah hal ini tidak dipertimbangkan?

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan terdiri daripada 14 orang Mufti Negeri-negeri, 4 orang ahli akademik dan seorang ahli undang-undang yang berpengalaman. Ia juga dipengerusikan oleh seorang yang sangat berwibawa dan seorang pakar dibidang Usulluddin iaitu Prof. Tan Sri Syukor Bin Haji Husin, yang kini menjawat jawatan Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Semua hasil kajian Panel Aqidah Jakim dan Panel Pemantau (yang dilantik oleh Jakim) yang dianggap terperinci dan ilmiah itu telah dibentangkan di hadapan semua ahli Fajlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan ia telah diperbincangkan sebanyak 7 kali. Dari pembentangan dan kajian itulah Majlis memutuskan hal-hal yang menimbulkan keraguan itu boleh diperjelas dan diperbetulkan.

Di dalam Sighah/Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training, point (i.)

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli serta rumusan awal yang telah dibuat pada Muzakarah Khas pada 14 April 2010, Muzakarah berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan dijelaskan.”

Malah Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan bertindak dengan sangat adil apabila Pengasas ESQ sendiri iaitu Dr Ary Ginanjar Agustian telah diberi kesempatan menjelaskan apa-apa yang menjadi tuduhan dan keraguan. Hingga akhirnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah bersepakat memutuskan bahawa ESQ boleh diteruskan di Malaysia. Kenyataan Tan Sri Shukor berkaitan dasar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dapat difahami dengan jelas dari petikan Kenyataan Media beliau seperti di bawah ;

“Merujuk kepada isu kursus ESQ Leadership Training yang diasaskan oleh Dr Ary Ginanjar Agustian, suka saya memaklumkan bahawa MUZAKARAH TELAH MEMBINCANGKAN ISU INI SEBANYAK 7 KALI bermula pada April 2009 sehingga DIMUKTAMADKAN PADA 16 JUN 2010. Kajian telah dibuat oleh Jakim dan Panel Pemantau ESQ yang ditubuhkan oleh Jakim. Selain itu Muzakarah juga TELAH MENGADAKAN PERBINCANGAN DAN DIALOG dengan pihak pengurusan tertinggi ESQ yang dihadiri oleh DR ARY GINANJAR AGUSTIAN BERSAMA PANEL SYARIAH ESQ yang dipengerusikan oleh Dato’ Mustafa Abd. Rahman, mantan Ketua Pengarah Jakim”.

Dengan semua kenyataan di atas, apakah wajar ESQ diharamkan dengan hujahan bahawa kuasa mengeluarkan fatwa adalah merupakan kuasa negeri dan Muzakarah jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang secara berkala itu bukanlah Mesyuarat Fatwa dan keputusan ini tidak mengikat mana-mana negeri?. Apakah kerana tidak mempunyai kuasa dari sudut undang-undang, maka keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan ini tidak punya wibawa dan tidak perlu dihormati? Dan apakah kerana berpendirian bahawa ‘wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapat atau ijtihadnya, dan haram mengikut pendapat orang lain dengan meninggalkan pendapatnya’ menutup pintu muzakarah dan perjelasan?. Inilah yang perlu difahami apabila kita membicarakan isu wajarkah ESQ diharamkan.

Di dalam point terakhir, Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis fatwa Kebangsaan, beliau menyampaikan ;

“Suka juga saya memaklumkan bahawa dalam apa jua isu hukum hakam yang dibincangkan, Muzakarah lebih megutamakan pendekatan berbincang dan membuat keputusan secara jama’i”.

Dari hal di atas, apakah perlu penganjuran Forum ‘Wajarkah ESQ diharamkan?’ oleh Yayasan Ta’alim yang tidak jelas kedudukannya di dalam isu ini? Siapakah Yayasan Ta’alim untuk mempertikaikan wajar atau tidak ESQ diharamkan? Malah yang lebih mengeruhkan suasana, tindakan pihak Yayasan Ta’alim menjemput Pak Amin Djamaluddin menjadi Panel membicarakan isu ini. Siapakah Pak Amin Djamaluddin hingga di undang khas ke Malaysia membicarakan wajar atau tidak sebuah fatwa di keluarkan di Malaysia? Apakah kelayakannya untuk menilai kepentingan rakyat Malaysia? Apakah latarbelakangnya menangani ajaran sesat di Indonesia boleh di samakan dengan pengamalan undang-undang dan budaya di Malaysia? Sejauhmana beliau dihormati dan kewibawaannya di terima di Indonesia sendiri? Sedangkan tokoh-tokoh yang jelas berwibawa seperti tokoh MUI dan Nahdatul Ulama, begitu juga tokoh-tokoh veteran yang berpengalaman seperti Pak Hasyim Muzadi, KH Ali Yafie dan lain-lain lagi juga diperkecilkan dan tidak diterima untuk menyokong ESQ, mengapa seorang Pak Amin Djamaluddin boleh diangkat dan diterima di Malaysia?

Apakah hanya kerana ‘kelantangannya’ menentang ESQ ia dinilai berwibawa berbanding kelayakan akademik dan kemampuannya berbahasa Arab hingga mampu menguasai sebahagian ilmu seorang ‘kiyai’?. Bukankah kelayakan berbahasa Arab penting untuk Ustaz Adli (Yayasan Ta’alim) menilai wibawa seorang Mufti? (Seperti yang pernah beliau sampaikan kepada saya). Bagaimana pula untuk menilai seorang ‘kiyai’ dari luar yang ingin dijemput ke Malaysia? Tidakkah kefasihan berbahasa Arab menjadi antara penilaian juga? Tidakkah terfikir oleh Pihak Yayasan Ta’alim mengapa MUI sendiri menolak kenyataan Pak Amin Djamaluddin sebagai mewakili organisasi itu?. Mengapa pandangan badan yang berwibawa dan mewakili jutaan pengikutnya diketepikan, sebaliknya diangkat pandangan atau kajian seorang ustaz?

Soal wajar atau tidak ESQ diharamkan sudah tidak timbul lagi sekarang ini di Wilayah Persekutuan, kerana fatwa telah dikeluarkan. ESQ menghormati Fatwa ini dengan tidak lagi mengadakan Training atau sebarang kegiatan di dalam Wilayah Persekutuan.

Sebaiknya Yayasan Ta’alim menjadi orang tengah untuk meredakan masalah ini, bukan menambah kekeruhannya dengan menganjurkan Forum yang seolah sengaja melagakan pihak yang menyokong dan menentang ESQ. Malah yang lebih memburukkan keadaan, Yayasan Ta’alim berusaha mendatangkan seorang yang menurut mereka Kiyai dari Indonesia, khas untuk menceritakan hal-hal yang berbentuk fitnah dan pembohongan kepada ESQ (Hal ini akan di detailkan kemudian). Hal ini, telah menjatuhkan imej Yayasan Ta’alim sebagai sebuah badan dakwah bebas yang berwibawa dan dihormati sebelum ini.

Atas penganjuran Forum ini juga, telah menimbulkan pelbagai salah faham dan kekeliruan kepada masyarakat. Telah masuk kepada kami belbagai persoalan yang memerlukan penjelasan. Di bawah ini kami muatkan beberapa persoalan yang datang. Semoga penjelasan yang diberikan akan mengurangkan salah-faham dan fitnah yang tersebar meluas kepada masyarakat umum yang menjadi keliru dengan isu ini.



PERSOALAN 1 :

Menurut pihak penganjur (Yayasan Ta'lim), mereka mengiklankan kehadiran Panel dari ESQ kerana mereka secara rasmi telah menjemput pihak ESQ untuk menghantar wakil ke forum tersebut. Namun pihak ESQ yang memutuskan untuk tidak menghantar Panel walaupun setelah dua kali dihantar surat undangan.


PENJELASAN :

Menghantar undangan tidak bermakna undangan itu akan diterima hingga dengan mudah boleh disebarkan iklan penglibatan Panel ESQ di dalam Forum ini. Ini adalah kesilapan yang perlu diakui oleh pihak penganjur Forum iaitu Yayasan Ta’alim. Sebagai pihak yang terlibat dengan dakwah dan kesucian agama Islam, Yayasan Ta’alim seharusnya tampil berani dan jujur menjelaskan bahawa mereka tersilap mengiklankan kehadiran Panel dari ESQ sebelum mendapat persetujuan dari pihak ESQ Leadership Center.

Benar Pihak ESQ Leadership Center Sdn Bhd telah mendapat jemputan untuk menjadi antara Panel di dalam Forum di atas. Namun pihak ESQ telah membalas jemputan itu dengan surat pemberitahuan bahawa ESQ tidak dapat terlibat di dalam Forum terbuka seperti itu, atas permintaan pihak berwajib. Kerana desakan dari pihak Yayasan Ta’alim, pihak ESQ telah merujuk pihak berwajib sekali lagi (melalui telefon). Pihak ESQ telah menjawab sekali lagi surat undangan Yayasan Ta’alim dengan keputusannya tetap mendukacitakan. Pihak Berwajib meminta ESQ tidak terlibat dengan forum terbuka kerana akan mengundang lebih banyak kontroversi dan kekeliruan. Apakah hal ini dijelaskan dengan adil oleh Yayasan Ta’alim kepada peserta yang datang?

Untuk pengetahuan semua, Pihak ESQ sebenarnya, tidak dibawa berbincang terlebih dahulu dengan penganjuran dan tajuk Forum tersebut. Pihak Yayasan Ta’lim tidak menunggu pengesahan atau persetujuan Pihak ESQ sebelum mengiklankan penglibatan pihak ESQ di dalam Forum tersebut. Kerana itu, ini adalah menjadi kesalahan Pihak Yayasan Ta’alim, mengiklankan sesuatu yang belum pasti hingga ramai peserta yang datang merasa ‘tertipu’ dengan tidak adanya Panel dari ESQ.

Tindakan pihak Yayasan Ta’alim mempertikaikan kehadiran beberapa orang dari ESQ Leadership Center juga sangat mendukacitakan. Walaupun ESQ tidak dapat hadir sebagai Panel, apakah yang boleh menyekat atau mempertikaikan kehadiran mereka hadir sebagai peserta? Hal siapakah yang sedang dibicarakan? Bukankah berkaitan ESQ? Mengapa kehadiran mereka diperlekeh dan dipersendakan? Semoga pihak Pengurusan Yayasan Ta’alim yang aktiviti sehariannya mendidik masyarakat kearah nilai agama yang benar dan mulia, juga mengamalkan apa yang mereka perkatakan.



PERSOALAN 2 :

Benarkah menurut Ustaz Adli, Pak Ary menafsirkan Fitrah sebagai God Spot dan suara hati dan Pak Ary tidak bersetuju maksud fitrah itu Islam. Menurut Ustaz Adli, semua ulama tafsir mentafsirkan fitrah sebagai Islam, tiada yang kata ia suara hati. Kata Ustaz Adli kelas tafsir Pak Ary tidak ikut... lebih kepada tafsir sesuka hati.


PENJELASAN :

Hal ini jelas salah dan sebuah tuduhan terburu-buru. Dari penelitian dan kajian saya terhadap pemikiran Dr Ary Ginanjar, penafsirannya kepada Fitrah tidak bercanggah atau berlawanan dengan penafsiran majoriti ulama iaitu Fitrah itu adalah Keperluan kepada Allah. Apa yang disampaikan oleh Dr Ary Ginanjar sebagai God Spot dan suara hati itu hanyalah huraian kepada makna Fitrah berTuhan dan Islam sesungguhnya. Tuduhan mengatakan Dr Ary tidak bersetuju maksud Fitrah itu Islam dan menafsirkannya sebagai God Spot dan Suara Hati adalah penafsiran saudara Adli Saad sendiri, bukan kata-kata Dr Ary Ginanjar. Apa yang disampaikan oleh Dr Ary Ginanjar bahawa Ilmu Islam itu luas bukan menolak tafsiran yang dipegang oleh saudara Adli Saad, sebaliknya meminta saudara Adli Saad berfikiran terbuka dan mengkaji dengan luas dan dalam, apakah penemuan God Spot dan apakah tanda kewujudan suara hati dan perkaitannya dengan Islam dan Keperluan (tunduk/patuh manusia) kepada Allah.

Secara ringkas, saya cuba menerangkan apakah maksud Dr Ary Ginanjar tentang FItrah dan perkaitannya dengan God Spot dan suara hati.

Semua kita sedia maklum bahawa, hakikatnya manusia sebelum lahir ke dunia, telah berjanji untuk tunduk dan menerima Allah sebagai Tuhannya. Ini kita ketahui melalui Al Quran, di dalam Surah Al A’raf , ayat 172 yang bermaksud ;

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan FirmanNya) : ‘Bukankah Aku Tuhanmu? Mereka semua menjawab : “Benar, (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Namun, bagaimana menjelaskan ayat ini hingga semua manusia meyakini dan mengakui bahawa mereka hakikatnya sentiasa ingin tunduk dan patuh kepada Allah yang menjadikannya? Termasuk kepada mereka yang tidak beriman, juga kepada mereka yang sangat mengutamakan logik? Iaitu peserta-peserta Training yang datang ke ESQ untuk mencari jawapan bagaimana mencapai kejayaan. Mereka adalah manusia yang mahukan bukti dan logik kerana pendidikan yang mereka terima dari kecil telah mencorakkan mereka begini. Golongan ini tidak sama seperti yang saban hari di hadapi oleh kebanyakan ustaz-ustaz di masjid. Namun, bukankah ini tugas para ilmuan dan ulama serta para ustaz? Mendekatkan yang jauh kepada Allah? Bukankah Allah memerintahkan tugas memahamkan manusia kepada kebenaran perlu dilakukan dengan cara yang hikmah? Berbahas menggunakan ‘bahasa’ yang mereka fahami sebagai usaha meyakinkan mereka kepada kebenaran? Inilah yang cuba di lakukan oleh Dr Ary Ginanjar. Walaupun beliau bukan seorang ulama tetapi tidak terlepas tanggungjawab membawa manusia kembali kepada kebenaran Islam.

Penemuan wujudnya saraf-saraf di otak yang bertindak balas dengan hal-hal berkaitan ketuhanan oleh seorang saintis yang kemudian menamakannya dengan “God Spot” sedikit sebanyak dapat membantu menjelaskan hal ini. Dengan ditemuinya “God Spot” di otak manusia menjelaskan bahawa manusia secara semulajadi memerlukan Tuhan dan tidak akan menemui kebahagian selagi tidak menemui jawapan kepada makna hidup yang sebenarnya. Inilah yang dimaksudkan dengan Fitrah (Perlu kepada Allah) yang dengan penemuan sains, menyerlahkan hal ini. Dari penemuan sains, saraf yang dinamakan ‘God Spot’ itu, yang ada di dalam diri setiap manusia dan akan menyebabkan manusia memiliki dorongan kepada kebenaran dan kebaikan dalam proses mengenal Allah. Dorongan kepada kebaikan dan kebenaran (sebagai proses mengenal Allah) yang dimiliki oleh manusia ini dinamakan oleh Dr Ary Ginanjar sebagai suara hati.

Namun God Spot baru sebatas kemampuan lahirian manusia untuk memikirkan tentang keperluan dan dorongan kepada Tuhan. Kerana itulah manusia yang telah disiapkan dengan fitrah bertuhan ini, kemudiannya diutuskan pula oleh Allah para Nabi dan Rasul sebagai penunjuk jalan kepada agama kebenaran dan menolak cara-cara yang salah dalam mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun kini tiada lagi Nabi dan Rasul, namun untuk kita, Allah telah menjanjikan Al Quran sebagai pedoman yang akan dijaga kesuciannya hingga ke akhir zaman. Dari Al Quran lah (beserta As Sunnah) manusia mendapat jawapan kepada semua persoalan. Kerana itu di dalam buku ESQ, Dr Ary menjelaskan bahawa Al Quran adalah Pedoman Utama (Puncak) kepada manusia (rujuk halaman 222, buku ESQ dibawah tajuk Al Quran Sebagai Pedoman Utama).

Di dalam model ESQ sendiri, Dr Ary meletakkan 6 Prinsip Rukun Iman sebagai teras atau panduan kepada Fitrah Bertuhan (suara hati) yang ada pada diri manusia. Suara hati yang ada pada manusia haruslah berprinsip kepada Tauhid iaitu beriman kepada Allah yang Esa, beriman kepada malaikat, beriman kepada Rasullullah, beriman kepada Al Quran, beriman kepada hari kemudian dan menerima dengan ikhlas qado dan qadar Allah. Dengan 6 Rukun Iman ini, perlu pula dilahirkan dalam aksi nyata iaitu dengan melaksanakan dengan penuh keimanan 5 Rukun Islam, iaitu Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Inilah ESQ Model yang diajarkan oleh Dr Ary Ginanjar kepada peserta trainingnya. Apa yang disampaikan di training ESQ tidak sebatas suara hati sahaja seperti yang digambarkan oleh kebanyakan penceramah yang menentang ESQ.

Sesungguhnya di manakah pertentangan penafsiran Dr Ary Ginanjar tentang Fitrah seperti yang di dakwa? Tafsiran ulama terdahulu adalah benar dan jelas. Cuma yang di lakukan oleh Dr Ary Ginanjar adalah memperjelaskan lagi penafsiran itu untuk kaum ‘moden’ yang saat ini sangat jauh dari agama dan perlu dibawa kembali ke landasan yang benar. Sekiranya penafsiran Dr Ary jauh menyimpang dan salah, mengapakah ianya di support oleh para Mufti kita? Termasuk Tan Sri Harussani, Dato’ Hasan (Mufti Penang), Dr Adnan Mohammed Yusoff, Dekan Fakulti Pengajian Al Quran dan As Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia dan ramai lagi para ilmuan yang cukup tinggi ilmu dan akhlaknya.

Masalah timbul kerana Dr Ary Ginanjar bukan seorang ulama tetapi menjelaskan hal yang ada hubungkaitnya dengan agama sehingga pelbagai persepsi negatif timbul. Sehingga secara terbuka saudara Adli Saat boleh mendakwa Dr Ary Ginanjar tidak mengikuti kelas tafsir dan kerana itu membuat tafsir sesuka hati… sesungguhnya di Malaysia sekarang rakyatnya boleh menilai dengan baik. Siapa sebenarnya yang membuat tafsiran jumud dan siapa yang sebenarnya yang berusaha sungguh-sungguh untuk menjelaskan agama yang benar ini sehingga diterima oleh akal dan hati manusia. Tidak semua manusia yang tidak meyakini Al Quran kerana memang mereka mahu menolak Al Quran, tetapi ramai di antaranya kerana mereka tidak diperkenalkan dengan benar kepada Al Quran dan Islam oleh para ustaz dan pendakwah yang kecenderungannya lebih kepada menghukum dari mendidik. Harap difikirkan baik-baik hal ini.



PERSOALAN 3 :

Bagaimana dengan komen Ustaz Adli, anggukan universal bukan berasal dari Tuhan seperti yang didakwa ESQ. Contoh: Tengok movie sedih, semua orang menangis - mungkin dari Tuhan kesedihan. Letak wanita bogel, semua orang seronok - anggukan universal dari Tuhan? Apa komen anda?


PENJELASAN :

Kenyataan ini jelas sekali yang Ustaz Adli tidak memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Dr Ary Ginanjar sebagai Anggukan Universal. Melihat filem sedih, menyebabkan semua orang menangis, hingga kesedihan dikatakan dari Tuhan. Itu salah tafsiran. Kesedihan bukan Anggukan Universal kerana ia bukan suara hati, tetapi kesedihan adalah emosi. Begitu juga apabila melihat wanita bogel seperti yang di contohkan oleh saudara Adli, menyukainya bukan suara hati tetapi emosi. Bagaimana membezakan emosi dan suara hati? Inilah yang saudara Adli tertinggal di dalam kajiannya.

Di buku ESQ, ada bab khas menjelaskan hal ini. Suara Hati adalah dorongan kebaikan dari Allah yang harus dilandasi oleh Al Quran sebagai pedoman atau rujukan utama. Manakala emosi hanyalah hal yang berkaitan suka atau tidak suka.
Contoh, melihat wanita bogel. Jika hati yang beriman, emosinya akan merasa tidak selesa dan bersalah. Ini menandakan ada suara hati yang terganggu hingga mendorong ia bertindak antaranya suara hati melindungi imannya iaitu dengan segera ia memalingkan wajahnya ke arah lain. Atau suara hati melindungi hingga dia segera mencari kain bagi menutupi wanita bogel yang mungkin dibuka pakaiannya secara paksa oleh orang lain. Dari manakah datangnya suara hati ini? Inilah sesungguhnya hidayah dari Allah supaya manusia sentiasa dibimbing ke arah yang benar. Modal dorongan kebaikan ini, perlu diperkukuh dengan berpegang kepada Rukun Iman dan Rukun Islam. Hingga akhirnya barulah akan membuahkan akhlak Islam yang sebenar. Hal ini dijelaskan panjang lebar di dalam buku ESQ juga di training ESQ supaya peserta tidak keliru seperti saudara Adli Saad.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Dr Ary Ginanjar sebagai Anggukan Universal?
Anggukan Universal adalah kesamaan antara manusia dalam menerima nilai-nilai kebaikan itu sebagai kebaikan, walaupun berlainan budaya, bangsa, agama atau latarbelakang pendidikan. Nilai-nilai kebaikan itu hakikatnya bersifat universal namun berasal dari sumber yang satu iaitu pencipta kepada semua manusia itu sendiri iaitu Allah SWT.

Inilah sesungguhnya bukti manusia telah berjanji untuk tunduk patuh kepada Allah. Walau fizikal, akal mereka tidak, namun hati seluruh manusia tunduk dan mengakui kebenaran nilai-nilai mulia itu. Sarjana dan pengkaji barat gagal menjelaskan atau menjawab dari manakah sebenarnya nilai-nilai universal ini berasal. Namun ia dapat dijelaskan oleh Islam melalui Al Quran. Menurut Dr Ary Ginanjar, semua suara hati manusia terarah kepada nilai-nilai kebaikan yang dapat dipelajari dari 99 nama/sifat dari Asmaul Husna. Di dalam bukunya, ESQ Emotional Spiritual Quotient, Versi Malaysia, hal 69 Dr Ary menjelaskan ;

Jawapan-jawapan dari suara hati tersebut kelihatan punya perkaitan dengan sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al Quran (Asmaul Husna) seperti Maha Penolong, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Berilmu, Maha Mengetahui, Maha Suci, Maha Memelihara, Maha Menghitung, dan Maha Melindungi. Merujuk kepada Surah As Sajadah ayat ke 9, bermaksud, “Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya (manusia) dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya…” Ertinya sifat-sifat mulia itu juga ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Contoh-contoh yang dikemukakan di atas adalah bertujuan untuk menyedarkan semua manusia bahawa sebenarnya mereka memiliki suara hati yang sama; suara hati universal yang diciptakan Allah untuk manusia. Inilah yang disebut conscience yang terakam di dalam God Spot. Inilah yang disebut kesedaran spiritual atau kesedaran fitrah.

Hati manusia seolah terikat untuk sentiasa mahu mengikuti dan merindui sifat-sifat mulia Allah sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud ;

“Hanya kepada Allah-lah sujud patuh segala yang ada di langit dan dibumi, sama ada dengan kemahuan sendiri mahupun dengan terpaksa; (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.” Surah Ar Ra’d (Guruh) ayat ke 15.

Kecenderungan manusia untuk menyukai sifat-sifat kebaikan seperti kasih sayang, keadilan, kejujuran, tanggung jawab, keindahan, adalah bukti bahawa manusia telah melakukan perjanjian dengan Allah untuk tunduk patut kepada Allah, sebelum mereka dilahirkan sebagaimana ayat Al-Quran surah al-A’raf (7): ayat 172.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zurait anak-anak Adam (keturunan) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya) “Bukankah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Ya, kami bersaksi!”

Kesimpulannya, anggukan universal adalah istilah yang cuba menjelaskan bahawa sesungguhnya, kebaikan yang ada pada diri manusia itu, adalah bersumber dari dorongan Allah SWT, bukan dari diri manusia itu sendiri. Kerana itu dalam Islam, kita dianjurkan selalu memulangkan semua kebaikan kepada Allah dengan mengatakan, “yang baik itu dari Allah, yang lemah dan salah itu dari diri saya sendiri...”

Bagi menjelaskan kebingunan tentang bagaimana suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun, dengan satu kenyataan bahawa suara hati yang dimiliki oleh manusia bukan menjamin akidah yang benar yang dimiliki oleh mereka. Walaupun semua manusia dikurniakan suara hati dorongan kepada kebaikan dan kebenaran, namun tidak semua manusia berada di landasan yang benar. Suara hati hanya dorongan supaya manusia mencari penciptanya iaitu Allah SWT.

Ini jelas di dalam sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim).
Hanya setelah mereka mengakuinya dan mngucapkan pengakuan itu serta hidup berpandukan dan beriman kepada Rukun Iman yang 6, dan menjalankan Rukun Islam yang 5 dan Ihsan, barulah Akidah mereka benar dan akan mendapat keselamatan hidup yang dijanjikan Allah di dunia dan akhirat.



PERSOALAN 4 :

Menurut Ustaz Adli, Pak Ary quote hadith Wabishoh - Nabi s.a.w. suruh Wabishoh tanya hati. Menurut Ustaz Adli, hadith ini hanya boleh dipakai dalam perkara kehidupan biasa yang samar, bukannya dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah khusus. Bagaimana komen anda?


PENJELASAN :

Dari Wabishah bin Ma’bad r.a, hadis riwayat Ahmad dan Ad-Darimi yang bermaksud :

“Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu Baginda bertanya ‘Engkau datang bertanyakan erti kebajikan?’ Aku menjawab: ‘Ya’, Sabda Rasulullah SAW lagi, ‘Tanyalah hati engkau’. ‘Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus memfatwakan sesuatu’.”

Dari Hadis di atas jelas bahawa dosa itu sesuatu yang tidak akan mendatangkan ketenteraman di hati. Ini termasuklah dosa besar atau kecil. Jika menurut saudara Adli, hadis ini hanya boleh dipakai dalam perkara kehidupan biasa yang samar, bukannya dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah khusus, apakah menjauhi dosa perkara yang samar?

Sesungguhnya hati telah dibekalkan oleh Allah sebuah kecerdasan untuk mengesan kebaikan dan keburukan. Tidak mengira hal kecil atau besar. Hati dapat mengesannya. Banyak ayat Al Quran dan Hadis yang menjelaskan hal ini.
“Allah mengilhami sukma keburukan dan kebaikan, beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya, dan rugilah siapa yang mengotori hatinya” Terjemahan Surah As Syam ayat 8-10.

Begitu juga di dalam hadis sahih oleh Tirmizi dengan lafaz bermaksud ;
“Daripada Abi Al Hawra’ al-Sa’di bertanya kepada Al Hassan bin Ali r.a “Apakah yang kamu hafal daripada Rasulullah SAW?” Al Hassan berkata, “Saya hafaz daripada Rasulullah SAW bahawa sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan di dalam hati dan kepalsuan adalah keraguan di dalam hati”.
Kerana itu menurut Dr Ary Ginanjar, suara hati yang benar pasti berlandaskan (tidak boleh bercanggah) dengan Al Quran dan As Sunnah. Begitu juga apabila berhadapan dengan beberapa dorongan dari suara hati, kita perlu kembali kepada Al Quran sebagai pedoman. Ini di jelaskan oleh Dr Ary Ginanjar di dalam buku ESQ (Versi Malaysia, hal 222) di bawah tajuk Al Quran sebagai pedoman utama (Puncak).



PERSOALAN 5 :

Menurut saudara Adli Saad, tidak ada cara untuk mengetahui kebenaran melainkan dengan apa yang diwahyukan dan diajar oleh pada Rasul. Sesiapa yang mendakwa ada cara lain (seperti hati yang suci) boleh dapatkan kebenaran maka selayaknya puak ini dibunuh langsung tanpa perlu disuruh bertaubat.


PENJELASAN :

Dari hadis yang di bawa di atas, bukankah ia di ajarkan oleh Rasulullah? Bukankah Rasulullah mengajarkan tanyakan hati? Apakah hukumnya menolak hadis? Siapakah sebenarnya yang lebih layak di tolak? Golongan yang menerima suara hati atau yang menolak Hadis?

Hati yang bersih adalah pintu kebaikan, namun perlu dijelaskan di sini, tidak cukup hanya dengan hati yang bersih, pastilah dengan tuntutan dan panduan dari Al Quran dan As Sunnah. ESQ tidak mengajarkan hanya berpegang kepada suara hati, kerana itu modul ESQ berasaskan Ihsan, Rukun Iman dan Rukun Islam. Bukan hanya suara hati yang diajarkan di buku dan training ESQ tetapi ia hanya satu dari modul yang banyak dan saling berkaitan.

Di dalam Islam, kita diajar tidak boleh memahami agama separuh-separuh, ia perlu dipelajari dan diterima secara menjeluruh. Begitu juga dalam kita menilai dan mahu menjatuhkan hukum kepada sesaorang atau pemikiran. Telitilah keseluruhannya. Jangan yang dinilai hanya modul 1 atau 2 tetapi 20 modul lain yang saling berkaitan tidak diperkirakan. Memang benar dengan satu ayat atau perbuatan, boleh merosakkan iman. Tapi untuk menghukum orang lain, tidak boleh dengan satu ayat sebagai bukti. Diperlukan hakim, saksi dan pembelaan…



PERSOALAN 6 :

Apakah benar yang dibentang oleh Pak Amin Djamaluddin bahawa modul Al-Asma Al-Husna ESQ di Indonesia penuh dengan analogi sesat. Contoh: Al-Razzaq dianalogi sebagai pedagang rojak, Al-Khafidh sebagai Kofi Annan, Al-Baadii' sebagai body builder, Al-Sabur sebagai makan nasi dan bubur. Menurut Pak Amin modul ini alhamdulillah sudah tidak diguna lagi kerana ia terlampau jelek, banyak lagi istilah yang teruk yang ada.


PENJELASAN :

Pertama kenyataan Pak Amin Djamaluddin bahawa modul Al Asmaul Husna yang dimaksudkan itu adalah susunan Dr Ary Ginanjar adalah salah. Ia bukan susunan Dr Ary Ginanjar dan tidak ada kena mengena dengan ESQ.

Hal ini berlaku apabila seorang dari alumni ESQ, (Pak Sutisnawan) mahu memperkenalkan kaedah menghafal Asmaul Husna cara cepat yang diciptakannya kepada alumni ESQ. Kaedah itu beliau namakan SMASH (Super Memory Asmaul Husna – mengguna kaedah mind map). Namun setelah Dr Ary Ginanjar meneliti dan mengkaji metode dan modulnya, Dr Ary tidak bersetuju dan telah menghentikan sebarang kerjasama dengan beliau, bermula 2006 hingga saat ini. Hal ini telah dijelaskan oleh Dr Ary Ginanjar kepada Pak Amin Djamaluddin sewaktu pertemuan mereka di dalam bulan Julai yang lepas. Sewaktu Pak Amin membentangkan hal itu di Forum ‘Wajarkah ESQ di haramkan?’ adalah di dalam pengetahuannya bahawa buku itu bukan sebenarnya susunan Dr Ary Ginanjar. Namun atas niat apa beliau terus mengaitkannya dengan Dr Ary Ginanjar, hanya Allah yang tahu.


PERJELASAN 7 :

Menurut saudara Adli, ESQ ibarat kereta yang sedang bergerak tiba-tiba ada masalah, pemandu call pomen minta betulkan tetapi tidak mahu berhenti, minta pomen betulkan sambil kereta bergerak. Bila polis tahan kerana kereta ada masalah, pemandu tetap tak mahu berhenti tapi beritahu polis kereta tak perlu stop sebab sebelah pemandu dalam kereta tu ada pomen. Sepatutnya pemandu hentikan kereta dan hantar bengkel, dah ok baru gerak semula. Boleh bagi komen pada kenyataan ini?


PENJELASAN :

Kerana kenyataan di atas mentamsilkan ESQ ibarat kereta, saya cuba menjawabnya dengan tamsilan kereta juga.

Yang mengatakan ‘kereta’ itu rosak dan perlu di repair adalah golongan tertentu sahaja tetapi ramai yang telah memastikan ‘kereta’ itu baik dan boleh bergerak dengan laju dan membawa manfaat kepada ramai umat. Malah mereka yang memastikan ‘kereta ‘ini bagus dan baik adalah mereka-mereka yang pakar di bidang enjin kereta. Malah mereka tidak hanya melihat dari jauh, mereka datangi ‘kereta’ yang dikatakan rosak ini dan meneliti enjin kereta satu persatu dan menaiki ‘kereta’ itu sendiri untuk memastikan ia benar-benar baik dan selamat dinaiki. Tidak seperti mereka yang mendakwa ‘kereta’ ini rosak. Walaupun ada yang datang dan menaiki kereta ini tetapi penuh dengan ragu-ragu dan persepsi. Malah yang lebih buruk, yang mengatakan ia rosak dari maklumat orang lain atau hasil penelitian dari jauh serta hanya.

ESQ datang ke Jakim dan meminta nasihat bukan kerana merasa ‘kereta’nya rosak tetapi kerana untuk memastikan ‘keretanya’ ok sahaja. Maklumlah kereta import dari Indonesia. Tidak sama dengan kereta import dari Jepun atau Amerika. Namun nasihat yang ditunggu tak kunjug tiba, yang ada hanyalah tuduhan yang membawa kepada pengharaman ‘kereta’ itu dari bergerak.

Untuk pengetahuan semua, ‘kereta’ itu tidak pernah ditahan polis. Sebaliknya dilarang dari masuk sebuah kawasan. Kerana menghormati larangan ‘polis’ itu, kereta ini tidak memasuki lagi ke kawasan yang dilarang itu sekarang. Sedangkan di negeri lain, kereta itu dibenarkan bergerak bebas. Malangnya, ada pihak-pihak tertentu yang terus berusaha, masuk ke negeri-negeri yang membenarkan dan berusaha menabur berbagai kekeliruan tentang kereta ini. Mahu tidak mahu, ‘kereta’ ini terpaksa juga bercakap dan membuat penafian dengan kenyataan bahawa keretanya tidak rosak. Malah ‘kereta’ ini melantik 5 panel syariah untuk memastikan dia benar-benar tidak rosak seperti yang didakwa. Alhamdulillah dengan adanya 5 panel Syariah, kereta yang telah dipastikan tidak rosak itu malah diupgrade pula. Mana-mana yang kurang cantik, diperkemas dan diperindahkan lagi… hingga siap untuk dieksport ke mana saja negara di dunia ini.

Moga-moga ‘kereta’ Import dari Indonesia ini, yang mendapat sentuhan ‘Malaysia’ akan tidak lagi dipandang rendah berbanding ‘kereta’ yang jelas di import dari Negara-negara penyokong Yahudi… yang tidakpun pernah mendapat pengikhtirafan mana-mana ulama di Malaysia. Semoga mata hati kita semua dibuka seluas-luasnya untuk melihat hakikat bahawa masyarakat di Malaysia sangat memerlukan alternatif dan solusi kepada masalah hidup, lebih daripada mereka memerlukan hukuman dan fatwa.



PERSOALAN 8 :

Benarkah Pejabat ESQ ada membuat panggilan dan sms kepada alumni ESQ supaya jangan hadir ke forum ini kerana fitnah semata?.


PENJELASAN :

Apa yang saya lihat sendiri, ramai alumni ESQ yang hadir di Forum kelmarin. Dan apabila saya tanyakan, tidak ada yang memberitahu mendapat panggilan atau sms dari mana-mana staff ESQ yang menghalang mereka dari hadir. Apa yang ada hanyalah pemberitahuan bahawa Panel ESQ tidak ada di Forum tersebut seperti yang telah diiklankan oleh Pihak Yayasan Ta’alim.



PERSOALAN 9 :

Benarkah Pengganti dan murid Pak Adnan (guru Pak Ary), iaitu Pak Sigit yang mengepalai MUI-Bali sekarang ini tidak setuju dengan pembawaan ESQ oleh Pak Ary dan mendakwa Almarhum Pak Adnan pernah berpesan agar Pak Ary Ginanjar tidak boleh menjadi imam solat dan membaca doa?


PENJELASAN :

Hal ini merupakan kekeliruan yang sangat jelas dan boleh menjadi fitnah yang sangat dilarang di dalam agama. Supaya hal ini tidak hanya didengar dari pihak ketiga, kami telah menghubungi Pak Sigit Sunaryanto sendiri di Bali. Beliau adalah murid kanan dan paling dekat dengan Almarhum Kiyai Habib Adnan yang pernah menjadi Ketua MUI di Bali.

Apabila hal ini ditanyakan kepada beliau, beliau kedengaran sangat terkejut dengan kenyataan itu dan langsung menafikannya. Menurut beliau, sejauh berkomunikasi dengan Pak Amin Djamaluddin melalui telefon sebanyak 3 kali dan pertemuan langsung 2kali di pejabat MUI, beliau samasekali tidak menyampaikan hal seperti itu.

Seingat beliau, apa yang pernah beliau sampaikan kepada Pak Amin Djamaluddin berkaitan dengan ESQ dan Pak Ary Ginanjar adalah, tidak semua hal beliau sependapat dengan ESQ namun beliau sangat sedar yang tidak mungkin semua hal yang beliau inginkan mampu dilaksanakan oleh ESQ. Hal ini beliau nyatakan kerana 2 sebab iaitu yang pertama bahawa perbezaan pendapat adalah sesuatu yang biasa terjadi tetapi itu tidak menghalang kita dari bersatu dan bersaling bantu di dalam hal yang baik. Sebab kedua beliau nyatakan hal itu adalah untuk menjelaskan bahawa pada dasarnya Pak Ary Ginanjar adalah seorang yang sangat terbuka terhadap masukan dan pandangan orang lain, namun sehebat manapun dia, sebagai manusia pastilah mempunyai keterbatasan-keterbatasan yang tidak mungkin dapat memuaskan keinginan atau kehendak semua orang atau pihak.

Menurut beliau lagi, Almarhum Pak Adnan sewaktu hidupnya, sangat menyayangi dan juga mendokong apa yang dilakukan oleh Pak Ary Ginanjar. Kenyataan yang mengatakan pesanan Almarhum Pak Habib Adnan bahawa Pak Ary tidak boleh menjadi imam solat dan membaca doa bukanlah kerana tidak layak seperti yang difahami Pak Amin Djamaluddin. Tetapi adalah kerana kebimbangan Almarhum Pak Adnan bahawa nanti Pak Ary di posisikan sebagai seorang ulama atau kiyai, sedangkan beliau adalah seorang Pembimbing atau Trainer di bidang Pembangunan Modal Insan yang cuba membawa Iman, Islam dan Ihsan menjadi solusi kehidupan di dunia Pengurusan dan Perniagaan.

Semoga penjelasan langsung dari Pak Sigit ini dapat menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang timbul hasil dari penerangan Pak Amin Djamaluddin yang kelihatan sangat tidak hati-hati di dalam mengeluarkan kenyataannya. Apakah ciri seorang Kiyai begini? Wallahualam.


KESIMPULAN KESELURUHAN:

Secara keseluruhan, banyak hal yang berkaitan dengan isu ESQ bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi yang lebih banyak dan seriusnya adalah salah faham dan persepsi. Apa yang ditentang terhadap ESQ dan juga pemikiran Dr Ary Ginanjar itu kebanyakannya adalah bayangan dan tafsiran orang-orang yang tidak mengenali ESQ secara dekat.

Dengan membaca buku dan mendengar beberapa pandangan orang yang merasa tahu tentang ESQ sudah menyebabkan mereka merasa cukup untuk menghukum dan menilai ESQ. Di mana sikap hati-hati, Tabayyun, serta kesungguhan memahami yang diajarkan oleh Rasulullah kepada kita hingga dengan mudah ESQ dibicara seperti membicarakan ‘gosip-gosip’ yang murah dan mudah. Sedangkan isu yang dipertuduhkan sangat berat dan yang dinafikan juga adalah pandangan para ulama dan mufti yang berwibawa. Moga Allah mengampuni kita semua di atas ‘keringanan’ kita menghukum sebelum menasihati dan mendidik. Dan semoga Allah segera mempersatukan hati kita semua dalam mencari titik temu yang dapat menjernihkan hal ini.

Sekiranya anda masih mempunyai persoalan dan kekeliruan berkaitan Forum di atas, bolehlah ditanyakan di blog ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment