Monday, August 2, 2010

MENGAPA ESQ DIHARAMKAN DI WILAYAH PERSEKUTUAN?

MENGAPA ESQ DI HARAMKAN DI WILAYAH PERSEKUTUAN? BERIKUT PERTUDUHANNYA DAN PENJELASAN KEPADA PERTUDUHAN TERSEBUT.


1. Mendukung fahaman liberalisme iaitu memahami dan menafsir nas-nas agama (Al Quran dan As Sunnah) secara bebas dan mendukung fahaman Pluralisme yg mengajarkan semua agama adalah sama dan benar.

Jawapan dari dakwaan mendukung fahaman liberal iaitu memahami dan menafsir nas-nas agama (Al Quran dan As Sunnah) secara bebas:

ESQ sama sekali bukan aliran liberal mahupun plural. ESQ malah mengajarkan tauhid yang sangat kuat berdasarkan rukun Islam, rukun Iman, dan ihsan.

ESQ tidak memahami dan mentafsir nas-nas agama (Al Quran dan As Sunnah) secara bebas kerana pemahaman dan penafsiran ayat-ayat Al Quran dan Hadis yang dilakukan oleh Dr Ary Ginanjar di buku dan modul Training ESQ sentiasa mendapat bimbingan dan nasihat daripada para tokoh dan ilmuan Islam di Indonesia (juga kemudiannya dikaji dan diteliti oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ di Malaysia). Walaupun pemahaman dan penafsiran yang dibuat oleh Dr Ary Ginanjar di dalam buku dan modulnya didakwa tidak merujuk kepada penafsiran para ahli tafsir atau kitab-kitab tafsir muktabar, namun pemahaman dan penafsiran yang dilakukan masih di dalam landasan yang dibenarkan oleh syarak. Sepanjang penelitian Panel Syariah dan Akidah ESQ, tidak ada penafsiran atau pemahaman yang boleh menyebabkan ESQ didakwa mendukung fahaman liberal atau Plural.

Dr Ary Ginanjar mendapat pendidikan agama secara tidak formal selama lebih dari 10 tahun daripada seorang ulama bernama KH Habib Adnan (Almarhum) yang pernah menjawat jawatan Ketua Majlis Ulama Indonesia (1974-2000) di Bali selama lebih dari 26 tahun. KH Habib Adnan juga dilantik sebagai penasihat MUI Pusat sehingga beliau meninggal dunia (2008).

Jawapan dari dakwaan mendukung fahaman Pluralisme yang mengajarkan semua agama adalah sama dan benar :

Dalam masyarakat Islam sekarang, ramai yang solat dan mengerjakan haji, namun miskin dari nilai-nilai kejujuran, tanggung jawab, disiplin dan lain-lain. Kerana itu ESQ mengembangkan pendidikan karakter yang berdasarkan akhlak mulia yang dinamakan 7 Nilai Dasar iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil, dan prihatin.

Sebagai sebuah institusi training, ESQ boleh diikuti oleh sesiapa saja, tidak mengira bangsa atau agama. Ia terbuka kepada sesiapa yang ingin belajar bagaimana membangunkan jati diri dan membina kepimpinan (individu dan syarikat) melalui nilai-nilai dari Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan. Hal itu sebagaimana dianjurkan dalam Al Quran bahawa Islam rahmatan lil alamin menjadi rahmat bagi semesta alam. Namun itu tidak bermakna ESQ mengajarkan semua agama sama dan benar. Di dalam Training ESQ, peserta akan diperlihatkan kebenaran dan keindahan agama Islam melalui pembuktian ayat-ayat Al Quran hingga terdapat peserta yang bukan Islam akhirnya memeluk agama Islam sewaktu atau setelah Training selesai.

Walaupun buku dan Training ESQ mengangkat kepentingan nilai-nilai Spiritual, tetapi nilai-nilai Spiritual yang diangkat itu tidak lari dari ajaran agama. Buku dan Modul Training ESQ diikat kukuh dengan ajaran dan akidah agama Islam iaitu dari Rukun Islam, Iman dan Ihsan dan menentang (secara ilmiah) ajaran Spiritual barat yang tidak memerlukan pegangan agama.

Di dalam buku ESQ (versi Indonesia cetakan 2001) di bawah Prolog, halaman xxxix, Dr Ary menulis ;

“Akan tetapi SQ dari barat itu atau Spiritual Intellegent tersebut belum atau bahkan tidak menjangkau ketuhanan. Perbahasannya baru sebatas tataran biologi atau psikologi semata, tidak bersifat transcendental. Akibatnya kita masih merasakan adanya ‘kebuntuan’ ”
‘kebuntuan’ itu adalah kerana konsep spiritual barat terputus dengan keimanan atau Tauhid kepada Allah yang Esa. Inilah kelemahan SQ dari barat yang sangat disedari dan berbeza dengan konsep ESQ yang di bawa oleh Dr Ary Ginanjar.

Di Indonesia Training ESQ sudah berlangsung selama 10 tahun dengan lebih dari 850 ribu alumni telah dihasilkan. Manakala di Malaysia, lebih dari 65 ribu alumni dalam masa 4 tahun ESQ berjalan. Alumni ESQ ini terdiri dari pelbagai golongan termasuklah para ulama dan cendikiawan Islam. ESQ sentiasa terbuka dengan teguran dan pembaikan. Selama 10 tahun Training ESQ berjalan, pelbagai pembaikan telah dibuat berdasarkan bimbingan, nasihat dan teguran para cendikiawan dan tokoh ulama Islam di Indonesia. Buku ESQ juga telah melalui banyak proses pembaikan semenjak ia diterbit pertama kali pada bulan Mei 2001 hingga sekarang.

Untuk menjaga supaya buku dan modul Training ESQ sentiasa di atas landasan syariah dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta pemahaman masyarakat setempat, ESQ Malaysia menubuhkan Panel syariah dan aqidahnya yang terdiri dari lima orang ulama berwibawa. Panel Syariah & Akidah ini dipengerusikan oleh Mantan Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman. Ahli Panelnya yang lain terdiri dari tiga orang Mantan Mufti iaitu YBhg. Tan Sri Abdul Kader Talip (Mantan Mufti Wilayah) YBhg. Dato’ Haji Nooh bin Haji Gadot (Mantan Mufti Johor) dan YBhg. Dato’ Setia Jaya Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah bin Haji Abd. Halim (Mantan Mufti Kedah) dan seorang Dekan Fakulti pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia iaitu YBhg. Dr Adnan bin Mohamed Yusoff. Panel ini diberi amanah untuk memantau, membimbing dan memastikan isi buku dan modul Training ESQ sentiasa tidak keluar dari landasan akidah dan syariah Islam. Masukan dan bimbingan dari Panel ini juga akan digunakan untuk membimbing training ESQ di seluruh dunia.


2. Mendakwa bahawa para Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian. Ini bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah SWT semata-mata (Al Isthifaiyyah) dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan (Al Kasbiyyah).

Di buku mahupun di dalam modul Training ESQ, tidak pernah mendakwa bahawa kenabian dan kerasulan itu sesuatu yang boleh diusahakan (Al Kasbiyyah). Kenabian dan kerasulan adalah mutlak pilihan Allah SWT (Al Isthifaiyyah).

Kisah Pencarian dan pengalaman para Nabi yang disampaikan di dalam Training ESQ, contohnya seperti kisah Nabi Muhammad SAW hanyalah kisah yang diangkat untuk memperlihat kepentingan usaha atau ikhtiar yang perlu dilakukan oleh manusia dalam mencari kebenaran dan keyakinan.

Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama di usia 40 tahun, namun sebelumnya Nabi Muhammad tidak hanya duduk diam di Makkah. Baginda berbolak-balik ke Gua Hira melakukan perenungan tentang erti kehidupan ini. Pemergian Nabi Muhammad ke Gua Hira’ adalah sebagai satu ikhtiar atau proses yang dituntun dan dibimbing Allah. Perjalanan para Nabi itu dikisahkan di dalam Al-Quran dan manusia biasa boleh mengambil hikmah pengajaran darinya bahawa manusia perlu berusaha dan berikhtiar mencari kebenaran dan keyakinan, tidak boleh hanya berdiam diri menunggu hidayah dari Allah. Hal ini di sampaikan supaya peserta didorong untuk meningkatkan keimanan dan keyakinannya sentiasa. Tidak hanya merasa cukup dengan agama yang diwarisi tanpa diyakini sepenuh hati.


3. Mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam, SQ adalah hasil penemuan seorang Yahudi, Danah Zohar manakala God Spot adalah hasil kajian seorang Hindu VS Ramachandran. Kedua-duanya penemuan ini disahkan dengan ayat Al Quran Al Hajj : 46

ESQ tidak mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam. SQ dan God Spot adalah satu penemuan sains, bukan ajaran kerohanian seperti yang didakwa. Rujuk maklumat lanjut tentang penemuan God Spot oleh saintis VS Ramachandran iaitu seorang pakar neurology dan Derector of the center For Brain and Cognition, Professor with Psychology Department and Neuroscience Program at the University of California. Penemuan sains God Spot boleh dilihat di http://cas.bellarmine.edu/tietjen/images/new_page_2.htm
Kedua-dua penemuan ini juga tidak disahkan dengan ayat Al Quran Al Hajj : 46, sebaliknya kedua penemuan ini yang mengesahkan kebenaran ayat Al Quran.

Sebagaimana kita semua mengetahui, bahawa umumnya ilmuan Barat tidak mengakui kewujudan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan God Spot oleh VS Ramachandran seorang saintis, pakar neurology, pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal juga sebagai Marcopolo of Neurology, telah menjelaskan secara ilmiah bahawa manusia secara semulajadi mencari dan ingin bertuhan. Penemuan tersebut menjadi asas Danah Zohar untuk merumuskan SQ atau kecerdasan spiritual.

Paparan penemuan sains God Spot dibuku dan training ESQ adalah untuk membuktikan kebenaran ayat Al Quran surat Adz- Dzariyat ayat 56, yang terjemahannya berbunyi “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku.”. Manusia secara semulajari (Fitrah) telah disiapkan Allah dengan keinginan untuk sentiasa mengabdi pada Allah. Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Apa yang penting difahami adalah konsep ESQ yang diperkenalkan oleh Dr Ary Ginanjar sangat berbeza dengan konsep SQ Danar Zohar. Perbezaan paling utama dan mendasar ialah SQ yang diperkenalkan oleh Danah Zohar tidak dihubungkan antara manusia dengan Allah SWT. Manakala ESQ yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar , bertunjang kepada keyakinan kepada Allah SWT dan ajaran Islam. Dr Ary menjelaskan hal ini di dalam bukunya ESQ : Rahsia Sukses Membangunkan Kecerdasan Emotional dan Spiritual ;

“Melalui buku ini (atas izin dan kurniaan Allah SWT), saya mengasaskan satu konsep pemikiran baru iaitu ESQ Model. Model ini bagi saya merupakan satu ‘spiritual engineering’ dalam usaha membangunkan character dan keperibadian berdasarkan nilai-nilai Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan” m/s 47

Sebagai kesimpulan, di dalam buku ESQ, mahupun training ESQ tidak sama sekali mencampuradukkan ajaran Islam dengan agama lain. Tunjang atau asas buku dan Training ESQ adalah Rukun Islam, Iman dan Ihsan. Teori atau penemuan sains yang dipaparkan adalah untuk menyerlahkan kebenaran Al Quran.


4. Menekankan konsep suara hati atau conscience sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama kristian.


Konsep suara hati dalam psikologi disebut conscience atau dalam ilmu pengurusan disebut inner value. Di dalam buku ESQ (versi bahasa Malaysia) makna Suara Hati diterangkan dengan jelas seperti berikut:

“Dan sememangnya di dalam diri manusia itu terdapat sifat-sifat yang (secara fitrah) sentiasa inginkan keindahan dan kemuliaan. Itulah hakikat sebuah jiwa yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia. Ia merupakan modal dan teras kejayaan. Maka gunakanlah suara hati tersebut.” (m/s 146)

ESQ menyampaikan kepentingan suara hati dan keperluan mengikutinya kerana ia adalah ajaran Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Bahawa di dalam jasad ada seketul daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain, dari Wabishah bin Ma’bad r.a, hadis riwayat Ahmad dan Ad Darimi yang bermaksud ; “Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu Baginda bertanya ‘Engkau datang bertanyakan erti kebajikan?’ Aku menjawab ‘Ya’, Sabda Rasulullah SAW lagi, ‘Tanyalah hati engkau’. ‘Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus memfatwakan sesuatu’ ”

Di dalam buku mastika Hadis (Mukaddimah dan Jilid 1, terbitan JAKIM 2007) di muka surat 165, jelas disebutkan tentang manusia dan keistimewaan semulajadinya iaitu ;

“Manusia dilahirkan dengan keadaan berakal fikiran, mempunyai mata hati dan daya kesedaran, sebagaimana ia mempunyai gharizah (naluri), pancaindera dan perasaan”.

Namun Suara hati (conscience) yang dijelaskan di dalam ESQ tidak dijadikan sumber rujukan utama seperti yang di dakwa. Kerana ia (suara hati yang dijelaskan di dalam Training ESQ) dilandasi oleh Al-Quran dan juga As-Sunnah. Malah di dalam buku ESQ diterangkan bahawa Al Quran adalah Pedoman Utama (Puncak). Contohnya seperti apa yang dijelas di dalam buku ESQ (versi Bahasa Malaysia, halaman 222) Dr Ary menerangkan ;

Bayangkan jika anda perlu membuat suatu keputusan penting tetapi keliru dengan pelbagai dorongan suara hati. Kadangkala anda menjadi bingung dan tidak mampu lagi memutuskan apa yang perlu didahulukan dan apa yang paling tepat. Contohnya anda diminta membuat keputusan untuk menyelesaikan suatu masalah. Anda diminta untuk bersikap penyayang dan pengasih, jujur, adil, tegas dan bijaksana. Beberapa pilihan diberikan kepada anda dan anda perlu membuat keputusan dengan segera. Kes yang anda hadapi adalah anda menangkap seorang pencuri yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli ubat untuk anaknya yang sedang sakit tenat. Wang yang dicuri itu adalah milik seorang perempuan tua yang sudah dua hari tidak makan. Pencuri itu pula merupakan seorang sepupu anda. Masalah bertambah rumit kerana anda sedang ditonton oleh ramai orang yang ingin mengetahui keputusan anda. Sementara itu, bapa saudara anda (ayah pencuri itu) menelefon anda dan meminta anda berusaha menyelamatkan anaknya. Saya tidak bermaksud meminta anda menjawab pertanyaan di atas, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa Al Quran akan memberikan bimbingan untuk mengatasi masalah-masalah yang memerlukan kebijaksanaan tanpa membebani manusia.
“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Walaupun orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin. Kerana Allah lebih tahu kemaslahatannya. Oleh itu janganlah kamu turuti nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Terjemahan Surah An Nisaa’ 4 : 135

Petikan di atas menjelaskan bahawa Al Quran adalah pedoman atau rujukan utama. Ini menafikan dakwaan bahawa ESQ menjadikan suara hati sebagai sumber rujukan utama. Di dalam buku dan Training ESQ, tidak sekadar menerangkan tentang suara hati tetapi juga di dedahkan bagaimana membezakan emosi dan suara hati supaya tidak berlaku kekeliruan.

Sebagai kesimpulannya, suara hati yang diajarkan di dalam buku dan Training ESQ adalah suara hati nurani yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah dan kerana itu rujukan utama yang diajarkan di ESQ adalah Al Quran dan As Sunnah, bukan suara hati.


5. Menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama, ini bertentangan dengan akidah Islam yg menetapkan bahawa Al Quran dan As Sunnah sebagai sumber rujukan utama


ESQ tidak menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama. Sumber rujukan utama adalah Al-Quran dan As Sunnah. Hal ini dijelaskan di dalam buku ESQ versi bahasa Malaysia muka surat 222, di bawah tajuk Al Quran Sebagai Pedoman Utama, ESQ versi Indonesia muka surat 188.

Di dalam ajaran Islam, logik atau penggunaan akal (dalil aqliah) boleh digunakan selagi tidak bercanggah dengan prinsip syarak. Dalam mempelajari ilmu tauhid kita menggunakan dua dalil iaitu naqliah (Al Quran dan Al Hadis) dan dalil aqliah (akal). Ini supaya manusia mampu berfikir dan memahami kebenaran. Dalam Al-Quran surat pertama diperintahkan adalah iqra’, membaca dan menggunakan fikiran. Lihat di dalam surah Al Imran 3 : 190 Allah berfirman yang bermaksud ;

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

Di dalam surah An Nisa’ 4 : 82 pula Allah berfirman, terjemahannya ;
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al Quran? Kalaulah Al Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya”.

Selain ayat di atas, terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam Al Quran, yang menyebutkan, “Apakah kamu tidak berfikir?” Ini adalah bukti Islam sangat menggalakkan manusia menggunakan akal dan fikiran. Namun akal fikiran itu perlu dilandasi oleh ajaran dari Al Quran dan As Sunnah yang tidak pernah ditinggalkan di dalam buku atau Training ESQ.


6. Mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik. Mengingkari mukjizat adalah kufur dengan ijmak ulamak kerana ia bermakna mengingkari nas-nas Al Quran dan Hadis Mutawatir yang mensabitkan mukjizat bagi para Nabi a.s.

Di dalam buku mahupun training ESQ tidak pernah mengingkari mukjizat. Malah di dalam training, melalui modulnya ESQ mencuba menunjukkan pelbagai fenomena supaya peserta meyakini dan percaya akan adanya mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para Rasul-Nya. Dalam training juga digambarkan tentang teori penciptaan alam semesta, tentang lempeng bumi yang senantiasa bergerak (continental drift) yang telah ditunjukkan dalam Al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu, sebagai mukjizat yang kebenarannya telah terserlah oleh ilmu pengetahuan moden.

Tuduhan ini mungkin timbul kerana petikan dari buku Haikal yg dimasukkan ke dlm buku ESQ (versi Indonesia terbitan 2001 ms 159)

“.. dan untuk memperkuatkan kenabiannya, ia tidak perlu harus bersandar pada apa yang dilakukan oleh mereka yang menyukai hal-hal ajaib”. Ia kemudian mengulas “Inilah petanda khusus bahawa nabi Muhammad SAW merupakan nabi penutup (terakhir), yang sesuai dengan zamannya kemudian, yang begitu mengetatkan logika dan suara hati – bukan mukjizat ajaib yang seringkali tak bias diterima akal yang sehat saat ini”.

Apa yang ingin disampaikan oleh Dr Ary dengan membawa petikan di atas bukanlah untuk memungkiri mukjizat tetapi menjelaskan bahawa Mukjizat nabi Muhammad yang diberikan Allah adalah Al Quran, sesuai atau tepat dengan keperluan umatnya (termasuk manusia zaman ini) yang sangat bergantung dengan logik dan mengutamakan ilmu pengatahuan.


7. Menggunakan kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir Al Quran. Rasyad Khalifah mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yg dinamakan “submission”. Teori Kod 19 dianggap lebih tinggi daripada Al Quran kerana mengikuti teori ini, ayat-ayat Al Quran perlu dibuang atau ditambah bagi menyesuaikan dengan Kod 19.

ESQ tidak pernah menggunakan Kod 19 Rasyad Khalifah untuk mentafsir Al Quran seperti yang didakwa. Di dalam buku ESQ (versi Bahasa Indonesia cetakan 2001) kenyataan tentang Kod 19 adalah diambil dari buku “Membumikan Al Quran” tulisan M. Quraish Shihab adalah dengan tujuan untuk menjelaskan mukjizat Al Quran bukan mentafsir Al Quran. Ia dipetik hanyalah untuk memperlihatkan kesempurnaan dan keaslian Al Quran yang terjamin sebagaimana firmanNya yang bermaksud ; “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” (Terjemahan dari Surah Al Hijr 15 : 9)

Petikan mengenai penemuan Rasyad Khalifah ini terdapat di dalam buku ESQ: New Edition (Versi Indonesia cetakan tahun 2001) pada muka surat 192 sepertimana berikut ;

“Saya ( penulis buku M. Quraish Shihab) tambahkan lagi, Rasyad Khalifah (w.1990 M) menurutnya - Angka 19 mempunyai rahsia yang berkaitan dengan Al Quran, termasuk dengan Bismillah itu sendiri. Dalam Al Quran, kata ism Allah, Ar Rahman dan Ar Rahim, mempunyai jumlah yang dapat dibagi habis dengan angka 19 itu. Ism 19 kali, Allah 2.698 kali (2.698 : 19 = 142), Ar Rahman 57 kali (57 : 19 = 3) dan Ar Rahim 114 kali (114 : 19 = 6). Bismillahirrohmanirrohim adalah pangkalan tempat muslim bertolak, yang mempunyai 19 huruf, demikian juga dengan ucapan : ‘Laa haula wa laa quwwata illa billaah’ (tiada daya untuk memperolehi manfaat dan upaya untuk menolak kesukaran kecuali dengan bantuan Allah).”

Menurut Dr Ary tujuan petikan itu adalah untuk menjelaskan Al Quran adalah satu mukjizat bagi Rasulullah SAW yang kekal sampai hari kiamat. Mukjizat ini tidak mampu ditolak oleh mana-mana saintis mahupun ahli matematik. Petikan yang diambil itu hanyalah untuk membuktikan hal itu, bukan seperti yang di dakwa untuk menafsir Al Quran. Dr Ary Ginanjar tidak pernah membaca buku Rasyad Khalifah, apatah lagi mempercayai atau mengamalkan ajaran Rasyad Khalifah.


8. Menyamakan bacaan Al Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan Bushido yg berasaskan ajaran Buddha

ESQ tidak menyamakan bacaan Al Fatihah dengan amalan Bushido. Apa yang diijelaskan di dalam buku dan Training ESQ adalah bagaimana Islam itu agama yang lengkap melebihi semua yang ada di muka bumi ini.

Dr Ary Ginanjar mempelajari bagaimana bangsa Jepun membangun karakter masyarakatnya. Ternyata salah satu caranya adalah dengan mengucapkan Bushido iaitu jujur, loyal, disiplin, berani, dan lain-lain secara berulang-ulang setiap hari. Metode pengulangan tersebut berjaya membentuk karakter masyarakat Jepun. Di dalam buku dan Training ESQ dijelaskan hal ini untuk membuka fikiran kita memahami salah satu hikmah (pasti hikmahnya terlalu banyak yang belum diketahui manusia) mengapa sembahyang yang diperintahkan Allah kepada umat Islam mempunyai bacaan-bacaan yang perlu dibaca berulang-ulang. Contohnya ayat dari surah Al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari, antara hikmahnya adalah agar nilai-nilai dalam ayat tersebut menjadi karakter dan mendarah daging kepada umat Islam.

Di dalam Training ESQ, di bawah modul ‘Learning Principle’ peserta didedahkan dengan kejayaan dan kehebatan Jepun membangunkan bangsanya. Disampaikan bahawa rahsia kejayaan Jepun adalah budayanya yang berasal dari Bushido. Namun kemudian disampaikan pula kejayaan Tamadun Islam Andalusia yang jauh lebih hebat dari Jepun. Dan rahsia kejayaan Tamadun Islam ini salah satunya adalah kehebatan ayat Al Quran yang dibaca berulang-ulang (Al fatehah).

Sesungguhnya, ESQ sama sekali tidak menyamakan bacaan al-Fatihah dengan Bushido. Tetapi Bushido adalah penghantar untuk menjelaskan kehebatan Al Fatehah.


9. Mendakwa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumus ZMP ini, ESQ mengiaskan bahawa mukjizat nabi Musa as diselamatkan daripada Firaun boleh juga berlaku kepada orang lain seperti yang berlaku kepada juruterbang kapten Abdul Razak. Kefahaman mukjizat seperti ini merupakan ajaran agama Hindu.

Di dalam buku mahupun Training ESQ, tidak pernah mendakwa kekuatan luar biasa seperti mukjizat yang diberikan kepada para Rasul boleh terjadi kepada manusia biasa melalui rumus ZMP.

Zero Mind Proses adalah kaedah penjernihan emosi untuk membuang belenggu-belenggu keburukan yang menutupi hati. Ia bukan bermaksud mengosongkan minda atau fikiran seperti meditasi atau amalan agama Hindu. Di dalam buku ESQ (versi Bahasa Malaysia, halaman 109) Dr Ary menjelaskan ;

“Ketujuh-tujuh belenggu di atas ; prasangka negatif, prinsip hidup, pengalaman, kepentingan, sudut pandang, pembandingan dan fanatisme merupakan perkara yang sangat mempengaruhi cara seseorang berfikir. Oleh sebab itulah ‘kemampuan’ melihat sesuatu secara jernih dan objektif perlu didahului dengan kemampuan mengenali faktor-faktor yang mempengaruhinya. Caranya adalah dengan mengembalikan manusia kepada fitrah hatinya iaitu membersihkan hatinya daripada belenggu-belenggu. Apabila manusia mampu melihat dengan ‘Mata Hati’, mereka mampu melihat dengan tepat, mengutamakan sesuatu dengan benar. Keputusan yang akan diambil merupakan keputusan yang benar jika kita melihat sesuatu secara objektif iaitu secara adil dan bijaksana sesuai dengan suara hati kita.”

Di muka surat 188, di jelaskan lagi ;

“Seperti yang telah saya bincangkankan di bahagian pertama (ZMP – Penjernihan Emosi), anda perlu merdeka terlebih dahulu daripada pelbagai fikiran yang membelenggu. Anda dan pengikut anda perlu sentiasa melakukan ZMP atau penjernihan emosi agar anda dan pengikut anda termasuk di kalangan golongan orang-orang yang memiliki pemikiran yang berlandaskan kebenaran (fitrah kebaikan).”

Di dalam Training ESQ kisah Kapten Rozak pernah diangkat untuk menunjukkan bahawa ketika manusia hanya berpasrah kepada Allah dan mengosongkan hati (menzerokan) dari ilah-ilah selain Allah, ketika itulah pertolongan Allah SWT datang.

Berlakunya perkara luar biasa kepada kapten Abdul Rozak adalah atas pertolongan (maunah) daripada Allah SWT . Bukan mukjizat. Dalam keadaan genting, iaitu kapal terbang yang dipandunya hampir terhempas apabila kedua-dua enjinnya mati, kapten Abdul Razak tidak mampu melakukan apa-apa melainkan menyerahkan bulat-bulat ketentuan itu kepada Allah dengan bertakbir sebanyak 3 kali hingga akhirnya, kapal terbang yang dipandunya dapat mendarat dengan selamat di atas permukaan tasik. Kesemua penumpang terselamat kecuali seorang crew yang meninggal dunia.

Dari kisah ini, peserta training diberi keyakinan supaya sentiasa membulatkan keyakinan dan menyerahkan keputusan kepada Allah setelah melakukan semaksimum usaha. Untuk membulatkan keyakinan dan menyerahkan diri kepada Allah, manusia perlu membuang belenggu-belenggu keraguan yang ada. Proses ini yang dinamakan Zero Mind Proses (ZMP). Apa yang cuba ditanamkan adalah ketauhidan pada Allah yang padu dan dengan hanya meminta pertolongan pada-Nya bukan mendakwa manusia boleh mendapat mukjizat seperti para nabi.

Kisah Kapten Abdul Rozak hanyalah satu kisah kecil di dalam modul Zero Mind Proses (ZMP), bukan inti kepada konsep ZMP. Di Training ESQ, penambahbaikan Modul Training sentiasa berlaku dari masa ke semasa.


10. Mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan “triple one”. Ini Adalah tafsiran bidaah dan sesat. Dalam konteks akidah, “triple one” digunakan oleh Kristian untuk menghuraikan konsep Trinity.

Di buku ESQ versi Indonesia, halaman 75, Dr Ary menulis ;

Sebagai kenang-kenangan Garuda Sugardo memberikan saya sebuah nombor cantik GSM yang berakhir nombor “triple one”

‘triple one’ yang ditulis di buku ESQ adalah nombor Hand Phone GSM Dr Ary Ginajar yang berakhir dengan nombor 2111 hadiah dari Bapak Garuda Sugardo atas prestasi Dr Ary Ginanjar.

Menurut Dr Ary, beliau merasakan nombor itu cantik karena berakhir dengan triple one (111). Ia bukan sebuah tafsiran atau keyakinan, ia hanya mengingatkan Dr Ary kepada kisah Bilal yang mengatakan Ahad…Ahad…Ahad... yang ertinya satu, satu, satu sewaktu ditindih batu. Hal ini sama sekali tidak ada kaitan dengan konsep “trinity.

No comments:

Post a Comment