Monday, August 16, 2010

APAKAH ARY GINANJAR MEMPUNYAI KREDIBILITI MENGAJARKAN RUKUN ISLAM, IMAN DAN IHSAN?

BEBERAPA PERTANYAAN KAMI DAPATKAN BERKAITAN KREDIBILITI DR ARY GINANJAR MENYAMPAIKAN SESUATU YANG BERSIFAT ILMU AGAMA. DI SINI KAMI SAJIKAN PENJELASAN YANG MEMERLUKAN PERTIMBANGAN DAN PENILAIAN DARI PEMBACA SENDIRI...


1. Dr Ary Ginanjar, pengasas ESQ model adalah seorang motivator dan businessman yang tidak mempunyai kepakaran yang diiktiraf dalam bidang ilmu agama. Bagaimana beliau mampu mengajarkan nilai Islam, Iman dan Ihsan?

Dr Ary Ginanjar adalah penerima Dr. Honoris Causa (HC) di dalam bidang Pembinaan karakter dari Universiti Yogjakarta. Beliau pernah dianugerahkan sebagai salah seorang dari 7 tokoh perubahan (Agents of Change) 2005 di Indonesia oleh Majalah Republika (31 Dec 2005). Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai salah seorang The Most Powerful People and Ideas in Business in 2004 oleh SWA magazine (20 Dec 2004). Apa yang disampaikan di dalam Training ESQ bukanlah perbahasan ilmu agama. Yang disampaikan adalah modul-modul untuk pembinaan karakter menggunakan pendekatan Ihsan, Iman dan Islam sebagai alternatif kepada model-model pembentukan karakter (Pembangunan Modal Insan) dari barat. ESQ komited untuk mengangkat Model Pembentukan karakter melalui dasar utama Al Quran dan Al Hadis untuk diguna pakai di dalam dunia pengurusan, kepimpinan, pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Sesuai peranan para ulama sebagai pembimbing umat, Dr Ary Ginanjar sebagai pengasas ESQ Model dan penulis buku ESQ, sentiasa merujuk kepada tokoh-tokoh agama yang disegani sebelum, buku dan training ESQ dijalankan. Sepanjang Training ESQ berlangsung (sekitar 10 tahun di Indonesia) Modul ESQ terus diperbaiki hasil dari perbincangan dan pandangan para tokoh agama dan masyarakat. Bagi meneruskan tradisi ini, di Malaysia ESQ sejak awal (Julai 2008) telah memohon nasihat JAKIM tetapi tidak mendapat bimbingan seperti yang diharapkan. Ia berakhir dengan kontroversi seperti apa yang berlaku saat ini, yang semakin hari semakin membingungkan. Dengan pelbagai komen dan tuduhan, ia kini bukan lagi dilihat sebagai sebuah perbincangan ilmiah tetapi lebih kepada usaha untuk membunuh imej dan wibawa Dr Ary Ginanjar dan ESQ Leadership Center. Training ESQ yang telah membawa perubahan kepada puluhan ribu rakyat Malaysia dan membantu proses transformasi syarikat-syarikat besar di Malaysia, tetap dianggap sebagai sebuah training dari ’luar' yang dipandang penuh prajudis.

Walaupun ESQ telah mempunyai 5 orang Panel Syariah dan Akidah dari tokoh ulama tempatan, tetapi kradibiliti mereka telah dengan sengaja diragui dan dipertikaikan secara tidak adil dan terancang. Tidak pernah sebelum ini di Malaysia, sebuah syarikat Training/Motivasi melantik 5 orang Panel Syariah dan Aqidah yang terdiri dari Mantan-Mantan Mufti, Mantan Pengarah JAKIM dan seorang Dekan Fakulti Quran dan Sunnah di sebuah Universiti. Apakah sebenarnya kredibiliti Dr Ary Ginanjar yang diragui, atau kredibili ulama-ulama senior ini yang tidak lagi dipeduli? Hanya kerana mereka dilantik oleh sebuah 'syarikat' seolah-olah ulama-ulama ini sudah tidak lagi dianggap 'alim dan amanah. Apakah logiknya 5 orang ulama tempatan yang disegani selama ini, seolah sanggup 'menggadai' perjuangan mereka puluhan tahun menjaga umat Islam di Malaysia selama ini, hanya kerana 'upah' dari ESQ? Sesungguhnya, inilah yang sepatutnya menjadi tanda-tanya kita semua... Marilah kita umat Islam di Malaysia berfikir dan merenung. Mengapa 5 orang ulama ini menyokong dan berjuang membela ESQ yang berasal dari seberang? Ada apa pada ESQ yang mereka lihat tetapi tidak terlihat oleh yang menentang?

Bagaimana pula dengan Mufti-Mufti yang tidak ada apa-apa kepentingan di ESQ. Mengapa mereka begitu support dan menggalakkan ESQ dijalankan di negeri-negeri mereka? Seperti Tan Sri Harussani (Mufti Perak), Dato' Hassan (Mufti Pulau Pinang), Mufti Kedah, Johor, Pahang dan Serawak? Apakah pandangan mereka tidak lagi diambil kisah?. Apakah ulama-ulama yang begitu berwibawa ini menjadi turun wibawanya hanya kerana mereka menyuarakan sokongan kepada ESQ? Persoalannya, mengapa mereka menyokong ESQ diteruskan? Apakah mereka tidak sebijak dan sealim para penyelidik yang 'mengharamkan' ESQ? Apakah mereka tidak dapat mengesan 'kesesatan' ESQ sekiranya ada? Sebenarnya... Kredibiliti siapakah yang sedang dijatuhkan?

Bahkan keputusana dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia juga, seolah tidak dipedulikan dan tidak mempunyai 'nilai' untuk dipegang. Pelbagai komen diberikan oleh 'Pegawai Penjelidik' kepada wibawa seorang Pengerusi jawatankuasa Fatwa. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang selama ini ditubuhkan dengan tujuan menyelaraskan fatwa-fatwa, kini diletakkan sebagai sebuah jawatankuasa yang tidak mempunyai kuasa dan otoriti apa-apa. Sedangkan hal ini jelas disebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan, Prof Tan Sri Dato' Dr Abdul Shukor Hj Husin di dalam Kenyataan Medianya bertarik 14 Ogos, di point ke 7 beliau menyatakan "Di sini ingin saya menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Muzakarah tidak mempunyai kuatkuasa dari segi undang-undang dan hanya bersifat pandangan hukum, terpulanglah kepada negeri untuk menerima pakai atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enekmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan Muzakarah perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri. Matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum hakam yang dikeluarkan di Malaysia".

Apakah yang sebenarnya sedang berlaku sekarang ini? Jika dahulu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diwujudkan dengan hasrat menselaraskan fatwa-fatwa terutama yang bersifat nasional, tetapi untuk kes ESQ, ia seolah sudah 'berubah'. Negeri-negeri seolah digalakkan dan 'direstu' membuat keputusan atau fatwa masing-masing. Apakah sememangnya ini dasar yang ingin dipertahankan atau dasar yang berubah khusus untuk menangani isu ESQ? Di mana kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Ugama Islam malaysia?

Jelas di sini, apa yang berlaku bukan soal meragukan kredibiliti Dr Ary Ginanjar untuk menyampaikan nilai Islam, Iman dan Ihsan, tetapi kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang telah memutuskan membenarkan ESQ berjalan. Seolah, pertimbangan dari 'Pegawai Penyelidik' dan beberapa orang ahli akademik lebih tinggi dan tepat berbanding ilmu, kematangan, wibawa, pengalaman dan keikhlasan Pengerusi jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan kesemua ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang dilantik dan dipilih dengan sangat teliti dan hati-hati, serta mewakili negeri-negeri dengan penuh amanah dari Allah. Mari kini renungkan bersama...

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Dr Ary Ginanjar iaitu membawa ilmu Iman, Islam dan Ihsan ke dunia pengurusan Modal Insan dan pentadbiran, adalah sebuah usaha seperti yang dikehendaki oleh Rasulullah dalam hadisnya, ”Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat...”. Hujah mengatakan Dr Ary Ginanjar tidak mempunyai kredibiliti berbicara soal agama, adalah tertolak dengan sendirinya apabila ia disupport oleh ulama-ulama yang sangat berwibawa. Seharusnya semua umat Islam perlu digalakkan bercakap hal agama, kerana itulah hal yang paling mulia untuk diperkatakan tidak mengira apa latarbelakang mereka. Para ulama menjadi pembimbing dan tempat rujuk bagi membetulkan jika berlaku salah tafsir. Di dalam Islam, setiap inci kehidupan adalah persoalan agama dan perlu difahami, dibicarakan dan diamalkan oleh semua. Para ulama dimuliakan kerana mempunyai keistimewaan dengan kelebihan ilmunya yang berperanan membimbing ummat. Terutama di saat pelbagai masalah gejala sosial melanda masyarakat kita. Ahli agama yang mempunyai ilmu sarat di dada, saatnya turun gelanggang mendekati rakyat dan mencari pendekatan paling berkesan bagaimana untuk membaikai keadaan ini segera. Tenaga pakar dalam bidang pembinaan karakter seperti Dr Ary Ginanjar, seharusnya menjadi 'kawan' untuk menyelesaikan masalah ummat. Ilmu Islam yang benar dan mulia, yang selama ini tersimpan di dada dan di sijil-sijil para ulama harus masuk segera ke hati-hati rakyat yang kering dan kontang. Bukankah ciri para pewaris nabi itu sangat tawadhuk dan merendah diri. Mereka ibarat air yang mengalir membasahi bumi yang kontang. Menghilangkan dahaga para musafir pencari kebenaran. Lebih banyak ilmu, lebih merunduk ke bumi... seperti Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang mengambil keputusan atas pertimbangan berikut " ahli-ahli Muzakarah bersetuju mengambil pendekatan berbincang, mendidik dan memperbetulkan apa jua keraguan yang ditimbulkan daripada terus menghukum..." (Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan)


2. Jadi sesungguhnya apakah ESQ membawa ajaran atau ideologi baru?

ESQ Training tidak membawa ajaran atau ideologi baru. Asas modul ini adalah 5 rukun Islam, 6 Rukun Iman, dan Ehsan dan bagaimana mengaplikasi semua hal ini dalam kehidupan.

Penggunaan istilah-istilah baru seperti ’God Spot’, ’conscience’, ’Zero Mind Prosess’, ’Mission Statement, ’Character Building’, dan lain-lain lagi adalah hanya sebagai jambatan menyampaikan nilai-nilai Islam, Iman dan Ihsan kepada para tokoh korporat dan pembisness tulen yang selama ini tidak tertarik kepada nilai-nilai agama untuk dibawa ke dunia pengurusan dan pembangunan Modal Insan.

Apa yang baru di dalam training ini adalah pendekatannya (metodologi). Manusia hari ini terdedah dengan kemajuan teknologi yang sangat dahsyat. Untuk mendekati mereka juga, harus mnggunakan teknologi yang sesuai dengan zaman. Di training ESQ, di gunakan sepenuhnya kecanggihan multimedia sistem bunyi 10,000 watt, 3-5 LCD screen 3x4 meter supaya ia benar-benar dapat menyentuh perasaan dan mengugah pemikiran peserta. Di samping peralatan, ESQ juga menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran yang diikhtiraf dunia keberkesanannya seperti Quantum Learning, Neuro Linguistic Programming (NLP) dll. Semua teknik atau pendekatan ini melalui proses R&D yang teliti dan menelan belanja jutaan ringgit demi menjamin keberkesanan training. Semua teknik ini penting digunakan supaya ESQ menjadi training yang menarik untuk diikuti hingga para peserta mampu duduk di dalam dewan, mendengar tentang kebenaran Al Quran dan keindahan Islam selama 3 hari.

(Hal ini akan dibahaskan lebih mendalam di dalam Jawapab & Penjelasan kepada tuduhan dan Fitnah oleh Aizam Masoud.



3. Apakah Teknologi canggih yang digunakan akan membuatkan peserta hayal atau terpukau untuk jangkamasa tertentu sahaja?

Di training selama 3 hari, peserta mendapat kesedaran tentang makna hidup dan apa yang perlu mereka lakukan untuk menjadi manusia yang berjaya dan bahagia. Ketenangan dan kebahagiaan yang kebanyakan dari peserta rasakan selama 3 hari di training adalah apabila mereka menemui makna sebenar kehidupan dan keyakinan yang masuk menjunam ke hati akan keberadaan dan keesaan Allah. Hidup yang selama ini terpisah IQ, EQ dan SQ (akal, hati dan jiwa) menyebabkan mereka tidak bahagia dan sering rasa ketidakpuasan. Setelah training, ketiga kecerdasan itu akan digabungkan dan kecerdasan Spiritual (Kerana Allah) akan menjadi pusatnya. Mereka akan terdorong untuk terus mencari ilmu demi kebahagian dan kejayaan, tetapi kali ini dengan niat sebagai pengabdian kepada Allah. Berpandu kepada Al Quran dan Sunnah.

Sejauh mana keberkesanannya, tergantung kepada pengamalan dan penghayatan mereka setelah training kepada nilai-nilai Rukun Iman dan Islam. Nilai-nilai ini harus diyakini dan dipegang teguh hingga ke akhir hayat. Proses pembersihan hati dan fikiran iaitu Zero Mind Proses juga perlu berjalan berterusan. Tiga hari training bukan jaminan peserta akan berubah seumur hidupnya. Tetapi 3 hari training adalah sebuah perubahan paradigma dan permulaan sebuah perjalanan pembaikan diri menjadi manusia lebih baik dan dekat kepada Allah SWT dan menjadi manusia yang gigih berusaha memajukan agama dan negaranya.



4. Mengapa ESQ menggunakan nombor 165 seolah ia nombor yang berkat?

165 adalah singkatan dari 1 Ihsan kepada Allah Yang Maha Esa, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam.

Ia bukan nombor yang berkat atau nombor tuah tetapi hanya singkatan yang boleh memudahkan peserta mengingati nilai Ihsan, Iman dan Islam yang menjadi asas ajaran Islam dan diambil menjadi model pelatihan ESQ. Di hari pertama, nilai Ihsan disampaikan. Peserta melalui Outer Journey untuk menanamkan keyakinan (keimanan) kepada Allah dalam setiap saat kehidupan. Inner Journey bagi merasai keberadaan Allah di setiap waktu. Melakukan Zero Mind Prosess (ZMP) untuk membersihkan hati dari belenggu-belenggu yang menutupi kebersihan hati. Di hari kedua training, 6 prinsip dibangunkan dari nilai 6 Rukun Iman iaitu meletakkan Allah sebagai tujuan hidup, Malaikat mencatat segala amalan, nabi & Rasul sebagai teladan, Al Quran sebagai pedoman, hari kemudian tempat tujuan dan Ikhlas sebagai sikap apabila berhadapan dengan takdir yang tidak terdugakan. Di hari ketiga pula 5 langkah pelaksanaan dibangunkan dari nilai 5 Rukun Islam iaitu Langkah 1, penyataan Misi melalui nilai syahadah, Langkah 2 Pembentukan Karakter melalui nilai solat, langkah 3Pengawalan Diri melalui nilai Puasa, Langkah 4 mengeluarkan Potensi & kerjasama melalui nilai zakat dan langkah 5 Total Action melalui Nilai Haji. Nombor tidak mampu membawa keberkatan atau tuah. Apa yang mampu mengubah manusia adalah hidayah dari Allah. Apa yang dilakukan di training ESQ adalah usaha memberi kefahaman, menanam keyakinan dan menjelaskan aplikasi dari nilai Ihsan, Iman dan Islam untuk diguna pakai dalam setiap inci kehidupan manusia.



5. Jika ESQ hanyalah sebuah metodologi, mengapa perlu di dalam Training ESQ mencampur adukkan ilmu Islam dengan ilmu barat?

Ilmu yang benar semuanya adalah bersumber dari Allah SWT. Dan kayu ukur kepada semua ilmu yang benar itu adalah Al Quran dan Hadis. ESQ Training yang merupakan pelatihan Modal Insan berteraskan Ihsan, Iman dan Islam tidak mungkin lepas dari menggunakan atau merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Teori barat atau penemuan Sains yang diguna pakai di dalam Training ESQ hanyalah untuk menyerlahkan kebenaran yang dibawa oleh Al Quran. Contohnya seperti istilah ’God Spot’ untuk membantu menghuraikan bagaimana manusia itu dilahirkan dengan fitrah bertuhan. Ia bukan sebuah ideologi tetapi metodologi supaya para peserta yang terdedah dengan sains sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi dapat memahami dengan cepat kebenaran-kebenaran Al Quran yang ingin disampaikan.



6. Apakah ESQ sebenarnya badan dakwah atau sebuah entiti perniagaan?

ESQ leadership Center Sdn Bhd adalah sebuah entiti perniagaan yang telah diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965 pada 18 September 2006. Ia dibiayai sepenuhnya oleh ESQ Leadership Center Sdn Bhd tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan atau mana-mana pihak dari dalam mahupun luar negara. Ia ditubuhkan dengan cita-cita untuk membentuk identiti mulia masyarakat yang berpegang kepada nilai Ihsan, Iman dan Islam. Training ESQ dijalankan bermula dari peringkat kanak-kanak, remaja, mahasiswa, dewasa dan korporat. Kos penyelenggaraan Training yang tinggi menyebabkan ia perlu dikenakan biaya supaya dapat terus bertahan meneruskan operasinya tanpa perlu tergantung dengan belas ihsan para penderma atau tabung-tabung bantuan kerajaan. Setiap yang menyertai training dikenakan bayaran sesuai dengan kemudahan, kelengkapan training dan penyelidikan bahan-bahan training yang disediakan.

Kesan latihan ini ke atas pembentukan karakter terbukti sangat signifikan untuk tujuan penyatuan ketiga-tiga kecerdasan manusia dan mengeluarkan nilai-nilai intrinsik seperti kerjasama, kejujuran, keprihatinan, disiplin dan sebagainya di kalangan warga kerja, pelajar, anak-anak, rumahtangga dan masyarakat keseluruhannya. Apakah ia boleh ditafsirkan sebagai satu dakwah, tergantung kepada definis dakwah itu yang dipegang oleh individu itu sendiri. Tidak ada gunakan sesebuah badan mengaku berdakwah jika tidak berkesan kepada masyarakat yang didakwahnya. Mengaku sebagai badan dakwah tidaklah sepenting melakukan kerja atau tanggungjawab berdakwah. Samaada ESQ berdakwah atau tidak, hanya kesan dari training yang boleh menjawabnya. Menyedarkan dan memperbaiki masyarakat adalah jauh lebih penting dan utama dari mengaku atau ingin diiktiraf sebagai pendakwah.

7 comments:

  1. kalau nak belajar rukun iman semua tu, apa ke nak bazirkan duit sampai ribu2? baik bayar ustaz-ustaz pondok yang buat kerana Allah, dan jemput mereka datang ke organisasi tuan-tuan untuk mengajar..tak habis pun RM1000. Diorang ni memang dedikasikan hidup untuk agama, dan bukan nya gunakan agama untuk keuntungan macam sesetengah manusia tu..

    ReplyDelete
  2. pendekatan islam yang amat mudah, kalau ada was-was kita tinggalkan lah..pendapat mufti KL tak boleh di pandang ringan, beliau lagi layak bagi ilmu serta merujuk kepada apa yg di wartakan (sila baca fatwa tu kenapa di haramkan), dan ESQ pula bayar mufti2 cari makan ni untuk defend diorang..pendekatan mudah, ada dua pendapat sekarang ni, dan yang bawak pembaharuan tu kita tinggalkan lah,sebab di khuatiri sesat..

    ReplyDelete
  3. saudara SupaNoo8, terima kasih atas komennya. Itu pilihan masing-masing, untuk kebaikan diri sendiri. belanja duit banyak-banyak untuk ilmu agama memang bukan budaya kita. Tapi kalau untuk tiusyen sekolah anak, tukar kereta baru, beli perabot, hp, tak apa ribu-ribu. soal agama, cari yang free saja.. itulah yang menjadikan training esq ni lain dari yang lain. Mengapa orang sanggup bayar ribu-ribu untuk belajar iman, islam dan ihsan? Apa bezanya yang free di masjid2? itu yang kena cari jawapannya... Memang betul yang was-was elok ditinggalkan. Tapi siapa yang tak was-was, bagus la pergi suapaya jelas dan nyata. Ilmu tu perlu dicari baru bertambah. kalau seorang yang was-was dengan Allah, perlu ditinggalkan atau ditambah ilmu hingga yakin dan pasti? Fikirkan sempena ramadhan yang mulia ini.

    ReplyDelete
  4. itu lah orang melayu kita. tak sanggup untuk menghabiskan duit untuk ilmu agama. Malah dituduh lagi mengambil kesempatan. Jangan jadikan isu bayaran sebagai yang utama. Mmg untuk belajar hanya rukun iman, rukun islam dan ihsan tak perlu keluarkan duit yang banyak. Tapi, hanya ke masjid, jmpa ustaz2.. Ramai ke golongan korporat sekarang yang rajin untuk ke masjid, jumpa ustaz2? Mungkin ESQ ini mampu mnjadi medan untuk mereka2 ini mendalami apa yang asas itu..

    ReplyDelete
  5. Sesaorang pernah bertanya kepada saya, kenapa 'bodoh' sangat, sanggup membela dan bekerjasama dengan orang indon untuk kaut duit orang malaysia dan bawa balik negara mereka?! Saya hanya tersenyum dan menjawab... berapa nilai iman rakyat Malaysia? Jika ada yang datang dan membawa metode/pendekatan yang mampu mengubah manusia kembali kepada Allah, manusia yang masih mengira duit untuk menggunakannya itulah manusia yang 'jahil' lagi kikir!

    Dakwaan mengatakan esq mengaut duit bawa pulang ke Indonesia sepatutnya difikir dulu... bagaimana dengan ribuan syarikat luar yang melabur di Malaysia? Apakah mereka tak diboikot? Bagaimana pula dengan syarikat gergasi malaysia yang membuat untung jutaan billion di Indonesia?

    Tentang masalah akidah, itu hanya tuduhan. Cuba bawa bukti berapa orang rosak akidah lepas training esq atau baca buku esq berbanding dengan orang yang kembali mendekatkan diri kepada Allah. Memang ada yang menganggap training esq 'tak berkesan' tapi tidak menjadikan dia tambah buruk.

    esq hanya sebuah metodologi yang disalah ertikan sebagai sebuah ideologi... namun lebih ramai yang menfitnah, lebih ramai yang datang ingin tahu sendiri. Lebih banyak mengkritik, lebih kemas buku esq serta modul dan pelaksanaan trining... kerana saya melihat esq sentiasa mengambil pendekatan, ambil yang baik, buang yang buruk dan teruskan menyampaikan 165 kepada orang yang sudi mengikutinya... bagi yang tak mahu, anda mempunyai hal dan pilihan untuk menolaknya. Tiada paksaan dalam mengikuti training ini.

    ReplyDelete
  6. itulah dia org melayu malaysia ni, banyak yg suka komplen dari bagi pendapat yang membina. Sendiri x suka, tak payah pegi, 3 hari training, makan minum tanggung, takkan nak bagi free. Berbuka puasa dkt hotel yg harga yang tak menasabah, tak de pulak nak bising2 mcm langau kat sini. Sebab tak suka esq, pendapat seorang mufti tu la yg dicanang, kenapa tak kaji pendapat mufti yg lain2 tu

    ReplyDelete
  7. Islam itu diturunkan untuk membawa rahmat untuk sekelian alam, jadi tiada persoalan, kenapa Indonnesia, kenapa tidak Malaysia, kenapa bukan Arab dan sebagainya. Dan memanglah berhala dizaman ini adalah WANG, kita menghalalkan segalanya kerana WANG. Nak bayar untuk menambah ilmu untuk diri sendiripun berkira, kalau boleh nak FREE, tanpa kita sedar rezeki kita tu SIAPA yang berikan. Tidakkah pernah terfikir niat kita tu, YANG MAHA MEMBERI ITU lebih tahu apa yang tersirat didalam hati kita. Jangan mudah takabbur dengan melontar fitnah dengan mudah, sepertimana yang dipesan oleh usahawan yang memperjuangkan jihad ekonomi katanya"orang yang telah jelas visinya untuk akhirat, tidak akan menompok harta untuk dirinya sendiri"
    Jadi pada sesiapa yang merasa duit yang dalam tangannya perlu dijaga sebaik mungkin, tidak boleh untuk membeli ilmu..anda telah tersilap. Mungkin duit yang kita bayar untuk ilmu itu berpecah kepada banyak pelaburan lain yang kita tidak mampu untuk mengesannya dan Insya Allah akan berlipat ganda kembali semula kepada kita. Alhamdullilah, ini pengalaman saya..

    ReplyDelete