Friday, August 13, 2010

PENJELASAN KEKELIRUAN PROF ZAKARIA STAPA

10 OGOS 2010 - Prof Zakaria Stapa (Ketua Panel Pemantau) dan Ustaz Aizam Masoud (Pegawai Penyelidik Jakim) telah mengadakan pembentangan dan penerangan berkaitan dengan ESQ di Pejabat Pejabat Mufti Negeri Selangor.

Di dalam Pembentangan itu, Prof Zakaria Stapa, telah menyampaikan hasil daripada pemantauan dan kajian yang dilakukan, Pihak Panel telah mendapati beberapa penemuan yang didapati boleh mengelirukan yang memerlukan penjelasan dan ada perkara-perkara yang boleh bertentangan dengan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum menjelaskan kekeliruan dan persoalan, terlebih dahulu ramai yang keliru dengan status kedua mereka ini. Prof Zakaria Stapa adalah Ketua Panel Pemantau ESQ yang dilantik oleh Jakim, tetapi bukankah Panel Pemantau telah dibubarkan sebaik mereka menyerahkan kertas laporan yang telah dibentangkan di Majlis Muzakarah Fatwa? Apakah Prof Zakaria Stapa masih bergerak aktif pada satu badan yang telah dibubarkan dan hasilnya telah diputuskan? Begitu juga dengan Ustaz Aizam Masoud. Beliau hanyalah Pegawai Penyelidik di Jakim yang ditugaskan membuat penjelidikan berkaitan ESQ. Hasil kajian telah dibentangkan di Majlis Fatwa dengan cadangan untuk mengharamkan ESQ (bukan memperbetulkan) dan usulan itu telahpun ditolak. Kertas Laporan Panel Kajian yang ditolak ini seharusnya menjadi rahsia kerajaan tetapi, entah bagaimana boleh muncul di blog esqsesat. Dan kini, Ustaz Aizam kembali aktif bergerak ke negeri untuk membuat penerangan tentang ESQ. Atas kapasiti apa dan atas arahan siapa? Memang mengelirukan..

Berikut penjelasan dan jawapan untuk persoalan yang ditimbulkan ;


PERKARA 1 :

Mengandungi unsur Pluralisme Agama seiring dengan pandangan Danah Zohar berdasarkan ungkapan daripada trainer ESQ iaitu: Being spiritual is different from being religious.


HURAIAN PERKARA 1 :

Di dalam pernyataan di atas, ESQ dianggap mengandungi unsur Pluralisme Agama seiring dengan pandangan Danah Zohar. Tuduhan ini adalah kerana ungkapan seorang Trainer ESQ iaitu ”Being spiritual is different from being religious” (Maksudnya : Menjadi Spiritual adalah berbeza dari menjadi beragama)

Dari kata-kata trainer ESQ ini, pihak Panel pemantau telah merumuskan ia mempunyai persamaan dengan pandangan Danah Zohar yang percaya seseorang manusia boleh meningkatkan kecerdasan kerohanian (spiritual) tanpa memerlukan pegangan agama. Menurut mereka lagi ungkapan ini boleh mengelirukan dan boleh memberikan tafsiran bahawa agama tidak penting dan tidak diperlukan dalam kerohanian. Pandangan ini juga mereka samakan dengan konsep Transcendent Unity of Religion (TUR) ( Sumber : Kertas Kajian Penal Pemantau ESQ) – Sumber : Kertas Laporan Kajian oleh Panel Pemantau


PENJELASAN PERKARA 1:

ESQ tidak pernah menyokong fahaman Danah Zohar bahawa manusia boleh meningkatkan kecerdasan kerohanian (spiritual) tanpa memerlukan pegangan agama. Fahaman Danah Zohar seperti itu tidak pernah dipersetujuan, digunakan atau disampaikan di dalam training mahupun buku ESQ.

Hal berkaitan dengan Danah Zohar yang pernah dipetik dan dimuatkan di buku ESQ adalah penemuan kecerdasan manusia yang ketiga iaitu Spiritual Quotient (Kecerdasan Spiritual). Petikannya seperti berikut ;

Kecerdasan Spiritual (SQ) merupakan penemuan ilmiah baru, yang diperkenalkan oleh Danah Zohar (Harvard University) dan Ian Marshall (Oxford University) melalui kajiannya yang sangat konprehensif. Beberapa bukti ilmiah tentang penemuan kecerdasan Spiritual dipaparkan oleh mereka di dalam buku SQ, Spiritual Quotient, The Ultimate Intelligence (London, 2000).
Dua antara penemuan-penemuan itu adalah, pertama penyelidikan ahli psikologi/neurologi, Michael Persinger pada awal tahun 1990-an, dan yang lebih baru adalah pada tahun 1997 apabila seorang pakar neurologi, VS Ramachandaran dan pasukannya dari California University, menemui kewujudan saraf yang berfungsi sebagai pusat spiritual (Spiritual center). Pusat spiritual yang diciptakan Allah ini ’build in’ di bahagian hadapan otak setiap manusia. Ia dinamakan sebagai ”God Spot”.
Bukti kedua ialah penyelidikan ahli neurologi Austria, Wolf Singer (1990-an) melalui tulisannya, The Binding Problem, menunjukkan bahawa terdapat satu proses yang melibatkan saraf-saraf otak manusia. Proses ini tertumpu kepada usaha menyatukan dan memberikan makna kepada sesuatu pengalaman hidup. Jaringan saraf yang secara literal ”mengikat” pengalaman kita secara bersama untuk mendapatkan ”kehidupan yang lebih bermakna”. (Ary Ginanjar Agaustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, Edisi Malaysia, hal 30 )

Sebagaimana kita semua mengetahui, bahawa umumnya ilmuan Barat tidak mengakui kewujudan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan saraf-saraf yang dinamakan “God Spot” oleh VS Ramachandran seorang saintis, pakar neurology, pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal juga sebagai Marcopolo of Neurology, telah menjelaskan secara ilmiah bahawa manusia secara semulajadi mencari dan ingin bertuhan. Penemuan tersebut menjadi asas Danah Zohar untuk merumuskan SQ atau kecerdasan spiritual.

Namun penemuan “God Spot” ini sahaja tidak cukup menjawap keperluan manusia. Ini dijelaskan oleh Dr Ary Ginanjar di bukunya ;

Penemuan “God Spot” dikatakan sebagai hardware spiritual center di otak manusia. Tetapi apakah software yang akan menghidupkannya? ESQ Model yang akan saya bahaskan di dalam buku ini adalah bagi saya softwarenya. ESQ Model berfungsi sebagai Spiritual Engineering sekaligus bertindak sebagai mekanisme penggabungan tiga kecerdasan manusia iaitu IQ, EQ dan SQ dalam satugabungan yang integral dan tersendental (menyeluruh). (Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 32)

Kerana itu, hal yang sangat penting dan perlu difahami adalah konsep ESQ yang diperkenalkan oleh Dr Ary Ginanjar sangat berbeza dengan konsep SQ Danar Zohar. Perbezaan paling utama dan mendasar ialah SQ yang diperkenalkan oleh Danah Zohar tidak menghubungkan manusia dengan Tuhan. Manakala ESQ yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar , bertunjang kepada keyakinan kepada Allah SWT dan ajaran Islam.

Dr Ary menjelaskan hal ini di dalam bukunya ;

Melalui buku ini (atas izin dan kurniaan Allah SWT), saya mengasaskan satu konsep pemikiran baru iaitu ESQ Model. Model ini bagi saya merupakan satu ‘spiritual engineering’ dalam usaha membangunkan character dan keperibadian berdasarkan nilai-nilai Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Matlamat akhirnya adalah untuk menghasilkan manusia unggul melalui kecerdasan emosi dan spiritual. Mereka ini mampu menjelajahi, menghayati dan menggabungkan kekayaan hati, pemikiran dan fizikal dalam hidupnya.” ( ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 47 )

Paparan penemuan sains “God Spot” (yang diambil dari buku Danah Zohar) dibuku dan training ESQ hakikat sebenarnya adalah untuk memnyerlahkan kebenaran ayat Al Quran surat Adz- Dzariyat ayat 56, yang terjemahannya berbunyi “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku”. Manusia secara semulajari (Fitrah) telah disiapkan Allah dengan keinginan untuk sentiasa mengabdi pada Allah. Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Atas penjelasan di atas, ingin ditegaskan di sini bahawa, ESQ sama sekali tidak berfahaman atau menyokong fahaman Pluralisme atau apa-apa pegangan yang menyamakan agama. Di dalam Training mahupun buku ESQ, sentiasa menekankan kepentingan Tauhid kepada Allah. Kerana itu di dalam buku dan Training ESQ sentiasa dibawa teori, kisah dan penemuan sains yang sentiasa akan menyerlahkan kebenaran Al Quran dan menambah kecintaan kepada nabi Muhammad SAW.

Contohnya di dalam bukunya Dr Ary menulis ;

Tauhid akan menyebabkan anda merasakan ketenangan, kepercayaan diri yang sangat tinggi, integriti yang sangat kuat, kebijaksanaan dan tahap motivasi yang sangat hebat. Asas Tauhid diterap dan dibangunkan dengan beriman dan berprinsip hanya kepada Allah dengan menjaga serta memuliakan sifat-sifat Allah. Laailaahaillallah. (Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, Versi Malaysia, hal 150)


Kembali semula kepada ayat yang menimbulkan penafsiran yang salah iaitu ”Being Spiritual is different from being religious”. Ayat ini hanyalah sepotong dari sebuah penerangan yang panjang. Maksud sebenar yang ingin disampaikan trainer dari ayat itu secara keseluruhannya adalah ramai orang yang beragama tetapi tidak ada iman di dalam hati. Konteks ayat ini disampaikan adalah untuk menerangkan betapa sekarang ini ramai umat Islam yang hanya menjadikan agama seolah sebuah ritual yang tidak difahami dan diyakini. Lebih kepada mewarisi agama ibu bapa. Apa yang ditekankan di dalam training ESQ dan disampaikan oleh Trainer adalah keperluan kepada keyakinan terhadap Allah, iaitu Tauhid yang menjunam ke hati hingga akan membentuk masyarakat berpegang kepada agama dengan penuh keyakinan dan dari itu barulah akan lahir umat Islam yang mempunyai kekuatan.


KESIMPULAN PERKARA 1 :

Sebelum sebarang pertuduhan dilakukan, apa yang sebaiknya dilakukan adalah mencari/menyelidik apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh trainer yang dianggap telah mengeluarkan kata-kata yang meragukan iaitu ”Being Spiritual is different from being religous”. Apakah konteks ayat itu disampaikan? Apakah benar kata-kata itu diucapkan sesuai dengan maksud yang difahami oleh ahli Panel Pemantau yang mendengarnya? Kedua, apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Trainer. Ia perlu ditanya dan dicatat. Ketiga, apakah benar wujud perkaitan kata-kata itu dengan fahaman Pluralisme agama? Apakah ia andaian atau kepastian? Keempat, apakah benar ESQ mendokong fahaman Pluralisme agama? Dan yang kelima, apakah mungkin ia berlaku tanpa dimaksudkan dan kata-kata itu pertama kali diucapkan dan bukan menjadi standart di Modul ESQ. Jika ia dianggap salah dan boleh menimbulkan keraguan, apakah ia kesalahan total yang tidak mungkin boleh diperbetulkan? Pertuduhan ini adalah melibatkan Aqidah. Ia perlulah penelitian, pembuktian dan sikap hati-hati yang sangat tinggi.


PERKARA 2 : MENGANDUNGI UNSUR UNIVERSAL SUFISM

Mengandungi pengaruh Universal Sufism yang dibawa oleh Hazrat Inayat Khan, tokoh Universal Sufism.


HURAIAN PERKARA 2 :

Alasan mengaitkan ESQ dengan unsur ini hanyalah kerana sebuah buku bertajuk ”Kecerdasan Berasaskan Asmaulhusna” oleh Sulaiman Alkumayi yang ada memetik kata-kata dari Hazrat Inayat Khan. Buku ini didakwa oleh Panel Pemantau menjadi buku yang disarankan oleh pihak ESQ (Sumber : Kertas laporan Kajian Panel Pemantau).


PENJELASAN :

Di buku mahupun Training ESQ tidak ada mengandungi unsur-unsur pengaruh Universal Sufism yang dibawa oleh Hazrat Inayat Khan.

Kenyataan yang mengatakan buku itu disarankan oleh pihak ESQ, adalah finah dan tuduhan. Buku itu tidak pernahpun disarankan oleh pihak ESQ. Buku itu juga tidak pernah menjadi rujukan ataupun bacaan Dr Ary Ginanjar, sebagai penulis buku dan Pengasas ESQ.

Apa yang yang berlaku ialah buku ini pernah dijual oleh pihak lain di luar dewan training berlangsung. Namun setelah mengetahui masalah ini, buku tersebut tidak lagi dijual di luar dewan Training.


KESIMPULAN PERKARA 2 :

ESQ sama sekali tidak mendokong atau mengandungi unsur Universal Sufism yang dibawa oleh Hazrat Inayat Khan. Sebagai catatan, buku itu diterbitkan oleh penerbitan tempatan dan banyak dijual di kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Ia tidak pernah diharamkan oleh mana-mana pihak berwajib di Malaysia. Mengapa permasalahan timbul bila ia ada dijual di luar dewan yang berlangsung ESQ Training. Sedangkan ESQ tidak ada kena mengena dengan penjualan buku itu. Tuduhan mengatakan ESQ mensarankan buku itu tidak beserta bukti dan tidak mempunyai sandaran.



PERKARA 3 : UNSUR AL-FAYD

Mengandungi unsur Al-Fayd berdasarkan petikan dalam buku Untaian Mutiara Dalam 165 Hari oleh Ary Ginanjar Agustian.


HURAIAN PERKARA 3 :

Dakwaan ini merujuk kata-kata Dr Ary Ginanjar di dalam bukunya Untaian Mutiara Dalam 165 Hari. Penulis menyebut ;

Jadilah cahaya yang sentiasa menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari Cahaya di atas Cahaya.

Menurut Panel Pemantau, ungkapan ”engkau tercipta dari Cahaya di atas Cahaya” menggambarkan bahawa manusia tercipta secara al-fayd (emanation) (Sumber : Kertas Laporan Kajian Panel Pemantau).


PENJELASAN :

Buku Untaian Mutiara Dalam 165 hari adalah sebuah buku yang memuatkan kata-kata puitis bertujuan untuk memotivasikan pembaca. Untuk memahami kata-kata ”Engkau tercipta dari Cahaya di atas cahaya” haruslah dibaca secara keseluruhan ayat itu iaitu ”Jadilah cahaya yang sentiasa menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya”.

Menurut Penulis (Dr Ary Ginanjar Agustian), beliau cuba memotivasi (mendorong) pembaca agar menjadi seperti cahaya, (iaitu seperti matahari, bulan, lampu, lilin dll) yang apabila ia memberikan cahayanya (kebaikan) tidak sesekali memilih orang yang ingin diberikan kebaikannya. Kerana hakikatnya manusia itu diciptakan dari cahaya di atas cahaya (kebaikan di atas kebaikan ). Ini untuk memperlihatkan betapa sangat sempurna kejadian manusia yang diciptakan Allah, ia digambarkan dengan cahaya di atas cahaya atau kebaikan di atas kebaikan. Kerana itu, sebagai manusia, sangat perlu menebarkan kebaikan tanpa memilih-milih (pilih kasih).


KESIMPULAN :

Ungkapan di atas tidak menggambarkan bahawa manusia tercipta secara al-fayd (emanation) kerana ia adalah rangkaian kata-kata puitis yang tidak diambil pembaca secara literal. Ia bukan konsep yang membahaskan asal kejadian manusia tetapi bertujuan untuk memotivasi atau mendorong pembaca membuat kebaikan.

Untuk menyimpulkan ESQ mengandungi unsur al-fayd, tidak cukup dengan hanya sepotong ayat di dalam sebuah buku puitis seperti ”Untaian Mutiara” itu. Panel Pemantau tidak seharusnya membuat tafsiran mereka tanpa mendengar dan mencatat penjelasan penulis terlebih dahulu. Kerana penulisnya masih hidup dan boleh dihubungi.







PERKARA 4 : SUARA HATI

Penggunaan istilah Suara hati yang boleh membawa kepada konsep hulul.


HURAIAN PERKARA 4 :

Hal ini merujuk kepada Kertas Laporan Kajian Panel Pemantau, terdapat 5 hal yang meragukan mereka dan pelbagai sumber;

1. Kenyataan trainer Pak Legisan Sugimin : Suara hati adalah sama pada setiap penganut agama.
2. Penulis mengungkapkan “Bayangkan, betapa Nabi Muhammad SAW telah bersikap adil dan bijaksana. Inilah yang dimaksud satu kesatuan tauhid dan prinsip esa. Sebuah hasil dari “Thawaf Suara Hati”. (Ary Ginanjar, ESQ Teens 2 Mental Building with 6 Principles, hal. 11)
3. Penulis mengungkapkan ‘suara hati Tuhan’ (Ary Ginanjar, ESQ for Teens 1 Why You Need ESQ Zero Mind Process With 1 Value, hal. 71)
4. Penggunaan ‘suara hati ilahiah’ (Ary Ginanjar, Untaian
Mutiara dalam 165 hari, hal. 17)
5. Penulis mengungkapkan : Ikuti suara hati Sang Mahabesar itu.” (Ary Ginanjar, ESQ For Teens 2 Mental Building with 6 Principles, hal. 38)

Dari 5 hal di atas, Panel Pemantau merumuskan bahawa penggunaan istilah ‘Suara Hati’ sebegini boleh menimbulkan salah faham bahawa semua penganut agama-agama adalah sama sahaja dan ungkapan-ungkapan “Suara Hati Tuhan”, “suara hati ilahiah” dan suara hati Sang Mahabesar” menggambarkan Tuhan bertempat di hati manusia. Hal ini menurut mereka membawa kepada konsep Hulul.


PENJELASAN PERKARA 4.1:

Kenyataan trainer Pak Legisan Sugimin ”Suara hati adalah sama pada setiap penganut agama”

Hal ini disebutkan di ESQ sebagai anggukan universal, iaitu dorongan suara hati kepada kebaikan yang pada asasnya, ada pada semua manusia tidak mengira latar belakang, bangsa dan agama. Ia bukan menyamakan semua agama tetapi fitrah asal yang dijadikan Allah kepada manusia itu sama. Di dalam buku ESQ, beberapa bab menerangkan hal ini begitu juga di training ESQ, beberapa modul menjelaskannya.

Contoh anggukan universal yang mudah difahami adalah ketika manusia menonton tayangan filem yang memperlihatkan nilai kasih sayang atau erti kesetiaan. Ketika itu suara hati manusia akan menjawab dan mengakui, “ya, ini adalah nilai sebenar”. Kemudian jiwa manusia mengangguk, “benar, ini adalah sifat-Mu”. Ketika manusia mengiyakan kebenaran suara hati, maka manusia hakikatnya sedang mengingati sifat Ilahi. Inilah yang disebut anggukan universal. Namun dari mana asalnya?

Ia tidak mampu dan gagal dijelaskan oleh barat. Di ESQ persoalan ini dijawab dengan ayat Al Quran Surat Al A’raf : 172 yang bermaksud ; “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun)dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan FirmanNya) : ‘Bukankah Aku Tuhanmu? Mereka semua menjawab : “Benar, (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. Inilah perjanjian manusia dengan Allah sewaktu di alam ruh lagi.

Ini juga menjelaskan Sabda Rasulullah SAW di dalam Hadisnya yang bermaksud “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Namun suara hati atau Fitrah yang pada asalnya sama pada semua manusia ini tidak semuanya muncul. Ia seringnya tertutup oleh pelbagai belenggu (keburukan) dan belenggu (keburukan) inilah yang menyebabkan manusia akhirnya berbeza dan terpisah. Hal ini dijelaskan dengan terperinci di buku juga di Modul Training.



PENJELASAN PERKARA 4.2 :

Penulis (Ary Ginanjar Agustian) mengungkapkan “Bayangkan, betapa Nabi Muhammad SAW telah bersikap adil dan bijaksana. Inilah yang dimaksud satu kesatuan tauhid dan prinsip esa. Sebuah hasil dari “Thawaf Suara Hati”.

”Thawaf suara hati” yang dimaksudkan oleh penulis ialah pemikiran yang melingkar atau komprehensif. Ketika kita berfikir dan menggunakan dorongan dari suara hati murni, kita tidak boleh hanya mendengar satu suara hati atau satu dorongan sahaja. Contoh manusia perlu berlaku jujur, tetapi tidak hanya jujur, dalam masa yang sama perlu prihatin, adil. Manusia perlu prihatin, tetapi dalam masa yang sama perlu adil dan jujur. Ini yang dinamakan circular thinking atau berangkaian yang akan melahirkan keputusan atau tindakan yang bersepadu dan bijaksana.

Namun dorongan dari suara hati ini perlu diikat dengan Al Quran sebagai pedoman utama. Di dalam buku ESQ , Dr Ary menjelaskan hal ini ;

Bayangkan jika anda perlu membuat suatu keputusan penting tetapi keliru dengan pelbagai dorongan suara hati. Kadangkala anda menjadi bingung dan tidak mampu lagi memutuskan apa yang perlu didahulukan dan apa yang paling tepat. Contohnya anda diminta membuat keputusan untuk menyelesaikan suatu masalah. Anda diminta untuk bersikap penyayang dan pengasih, jujur, adil, tegas dan bijaksana. Beberapa pilihan diberikan kepada anda dan anda perlu membuat keputusan dengan segera. Kes yang anda hadapi adalah anda menangkap seorang pencuri yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli ubat untuk anaknya yang sedang sakit tenat. Wang yang dicuri itu adalah milik seorang perempuan tua yang sudah dua hari tidak makan. Pencuri itu pula merupakan seorang sepupu anda. Masalah bertambah rumit kerana anda sedang ditonton oleh ramai orang yang ingin mengetahui keputusan anda. Sementara itu, bapa saudara anda (ayah pencuri itu) menelefon anda dan meminta anda berusaha menyelamatkan anaknya. Saya tidak bermaksud meminta anda menjawab pertanyaan di atas, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa Al Quran akan memberikan bimbingan untuk mengatasi masalah-masalah yang memerlukan kebijaksanaan tanpa membebani manusia.

“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Walaupun orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin. Kerana Allah lebih tahu kemaslahatannya. Oleh itu janganlah kamu turuti nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Terjemahan Surah An Nisaa’ 4 : 135. ( Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 222)

Petikan di atas menjelaskan bahawa Al Quran adalah pedoman atau rujukan utama yang akan memastikan manusia tidak tersalah dalam menentukan keutamaan dorongan suara hati. Inilah maksud dari ayat “Bayangkan, betapa Nabi Muhammad SAW telah bersikap adil dan bijaksana. Inilah yang dimaksud satu kesatuan tauhid dan prinsip esa” berprinsip hanya pada Allah.”


PENJELASAN PERKARA 4.3 :

Menurut Panel Pemantau, Ungkapan-ungkapan “Suara Hati Tuhan”, “suara hati ilahiah” dan suara hati Sang Mahabesar” boleh menggambarkan Tuhan bertempat di hati manusia. Hal ini menurut mereka membawa kepada konsep Hulul.

Makna ‘suara hati Tuhan’, ‘suara hati illahi’ dan ‘suara hati Sang Mahabesar itu” adalah bermaksud suara hati dari Tuhan, suara hati dari Illahi dan suara hati dari Sang Maha Besar itu. Suara hati adalah ciptaan dan anugerah Allah SWT kepada manusia. Ia tidak sama sekali membawa maksud Tuhan di dalam hati dan tidak menggambarkan Tuhan bertempat di hati manusia.

Untuk memahami lebih lanjut, perlulah di lihat kepada keseluruhan ayat. Contohnya untuk point no 5. Penulis mengungkapkan : Ikuti suara hati Sang Mahabesar itu.” (Ary Ginanjar, ESQ For Teens 2 Mental Building with 6 Principles, hal. 38), ayat yang lengkapnya berbunyi begini ;

”Bercita-citalah setinggi-tingginya, ingatlah Allah yang Maha Besar, yang telah menciptakan hati kamu dengan sedemikian sempurnanya. Ia gak ingin kamu merangkak-rangkak, Ia ingin energi dan kreativitas kamu mengalir mencari jalan untuk mencapai cita-citamu. Dorong terus energi itu, doktrin diri kamu dengan ucapan ”Allah Akbar” setiap hari, sehingga kamu sungguh terobsesi untuk berhasil. Ikuti suara hati Sang Maha Besar itu.”

Suara hati Tuhan, suara hati Ilahi dan suara hati Sang Maha Besar adalah bermakna suara hati kebaikan yang ada pada manusia itu hakikatnya adalah sesuatu yang diberikan oleh Allah, bukan kerana linkungan atau terwujud sendiri. Kerana itu kita sering menyebut ”yang baik itu dari Allah, yang salah dan silap itu dari kelemahan diri saya sendiri (manusia)”

Namun untuk tidak membuat kontroversi dan mengelirukan sesiapa tanpa disedari, istilah suara hati Tuhan di dalam buku dan Training ESQ kini akan diperbaiki. Suapa lebih jelas ia diubah menjadi Suara Hati Nurani berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.


KESIMPULAN PERKARA 4 :

ESQ tidak mengajarkan konsep Hulul, atau sesuatu yang boleh menggambarkan Tuhan di hati manusia. Apa yang diajarkan di ESQ adalah suara hati dibekalkan oleh Allah kepada semua manusia, sebagai dorongan dari Allah untuk manusia cenderung kepada kebaikan. ESQ sangat terbuka kepada pandangan dan teguran dan sentiasa melakukan perubahan demi menambahbaikkan Training ESQ dan mudahkan masyarakat atau peserta memahami apa yang disampaikan.








PERKARA 5 : KARTASIS

Memuatkan proses katasis yang menyamai amalan confession dalam ajaran Kristian.


HURAIAN :

Di dalam Kertas Laporan Panel Pemantau, ’Kartasis’ dibayangkan seperti berikut ;

a. Proses katarsis melalui pelukan antara dua peserta dengan menepuk belakang serta pertanyaan bertalu-talu “siapa kamu? Dan “apa yang kamu mahu?” seolah-olah memaksa peserta menceritakan dosa dan kesalahannya kepada orang lain/berkongsi dengan orang lain.

b. Kenyataan trainer dalam slot katarsis:” …..dijamin dapat hancurkan berhala / taghut dalam diri manusia”.

c. Kenyataan trainer dalam slot selepas ucap syahadah : “ Menjulang ke langit menjangkau Allah, ke Raudhatul Jannah, berjumpa dengan Allah”.

d. Kenyataan trainer selepas slot katarsis dan syahadah: “…diucapkan selamat datang ke Baitul ‘ Atiq: kemerdekaan; dinaungi oleh cahaya; tiada lagi ketakutan dunia; kemerdekaan dunia; kosong berhala; sambutlah kemenangan kerana Allah telah menaungi hatimu; selamat datang ke dunia baru; kini hati kamu dipenuhi kecintaan kepada Allah…’

Dari Point di atas katarsis di simpulkan sebagai sessi penyucian jiwa dan dan trainer ESQ dikatakan seolah menjamin peserta bahawa jiwa mereka sudah suci bersih. Hal ini menurut Panel Pemantau, adalah satu proses penyucian diri yang singkat yang tidak pernah dan tidak mungkin berlaku dalam tradisi kerohanian Islam. Katarsis ini juga dianggap menyamai sesi pengakuan (confession) dalam ajaran Kristian kerana menurut Panel Pemantau, Islam menganjurkan kita mengadu kepada Allah dan bukan bercerita dosa dan kesalahan kita kepada orang lain.


PENJELASAN :

Pertama yang perlu difahami oleh mereka yang ingin memahami persoalan ini adalah, apakah dia yang disebut ’KARTASIS’ ini?

Kartasis adalah salah satu sessi di bawah Modul Well Organize Principle iaitu Modul yang akan menerangkan tentang Rukun Iman yang ke 6 iaitu Percaya kepada takdir. Ia dilaksanakan di pagi hari ke tiga training setelah peserta melalui 2 hari training.

Di training hari pertama, peserta di bawa dengan pelbagai kaedah dan pengalaman untuk mendapatkan keyakinan bahawa Allah itu Ada, Al Quran itu benar dan Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah. Di hari ke dua training, peserta akan di bawa menghayati 5 prinsip rukun Iman, iaitu melakukan segala hal hanya kerana Allah, bersikap jujur seperti para malaikat, membina kepimpinan mencontohi Rasulullah SAW dan menjadikan Al Quran sebagai pedoman hidup. Hikmah dari Rukun Iman ke enam, di sampaikan di pagi hari ke tiga dengan salah satu metodenya adalah apa yang dinamakan ’Kartasisi’

PENJELASAN 5. a :

Proses katarsis melalui pelukan antara dua peserta dengan menepuk belakang serta pertanyaan bertalu-talu “siapa kamu? Dan “apa yang kamu mahu?” dikatakan peserta seolah-olah dipaksa menceritakan dosa dan kesalahannya kepada orang lain/berkongsi dengan orang lain.

Kartasis bukan sessi penyucian jiwa atau pengakuan dosa seperti yang di dakwa. Tetapi adalah proses bagaimana peserta diminta menyedari dan menyebutkan secara lisan bahawa hidup mereka bukan untuk wang, harta, keluarga, pasangan, jawatan dan sebagainya tetapi hidup mereka adalah untuk Allah. Peserta juga dibawa menyedari bahawa mereka bukan hamba sesama makhluk atau hamba material tetapi mereka adalah hamba Allah.

Kaedahnya adalah dengan bertanya berulang-ulang kali hingga yang menjawab bukan lagi logik di akal tetapi apa sebenarnya yang tersimpan di lubuk hati. Selama ini ramai yang menyebut dia hamba Allah, tetapi di hati tidak merasakan dia hamba Allah. Di sessi ini peserta dibawa merasakan benar-benar pengakuan dia hamba Allah. Di waktu sessi ini, ada kalanya ada peserta yang tidak dapat mengawal emosi hingga menceritakan kesilapan masa lalunya kerana terlalu menyesal. Tetapi hal ini bukanlah permintaan atau arahan trainer. Mereka lakukan itu bukan kerana membuat pengakuan tetapi lebih kepada melepaskan keterbukuan hati yang selama ini tersimpan.


PENJELASAN 5.b :

Menurut Panel Pemantau, ada kenyataan trainer dalam slot katarsis ”…dijamin dapat hancurkan berhala / taghut dalam diri manusia”.

Trainer ESQ tidak pernah menjamin apa-apa kerana yang memberi hidayah adalah Allah, bukan trainer. Hal ini sering di sampaikan dan diulang banyak kali sepanjang training berlangsung, supaya semua peserta sentiasa berdoa dan memohon hidayah dari Allah. Apa yang disampaikan adalah ini proses atau usaha untuk menghancurkan berhala/taghut di dalam diri manusia. Yang dimaksudkan berhala adalah prinsip-prinsip hidup selain kepada Allah.


PENJELASAN 5. c :

Kenyataan trainer dalam slot selepas ucap syahadah : “Menjulang ke langit menjangkau Allah, ke Raudhatul Jannah, berjumpa dengan Allah”.

Selepas peserta merasa insaf dan bersalah dengan segala kelalaian mereka yang tidak benar-benar hidup untuk Allah, mereka bersama-sama diajak membaharui syahadah supaya menghayati benar-benar apakah makna syahadah itu. Syahadah adalah perjanjian seorang manusia dengan penciptanya. Selepas menghayati dan merasakan erti syahadah, trainer akan membacakan maksud dari ayat Surah Ibrahim ayat 24 – 26 ;

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapatkan pelajaran). Dan bandingkan kalimah yang jahat-buruk (*) samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah terbongkas akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.”

Di saat ini peserta diyakinkan dengan pengampunan dan rahmat Allah tetap ada untuk mereka yang ingin memperbaiki dirinya.


PENJELASAN 5. d :

Panel Pemantau mendakwa , selepas slot katarsis dan syahadah, trainer mengucapkan “…diucapkan selamat datang ke Baitul ‘ Atiq: kemerdekaan; dinaungi oleh cahaya; tiada lagi ketakutan dunia; kemerdekaan dunia; kosong berhala; sambutlah kemenangan kerana Allah telah menaungi hatimu; selamat datang ke dunia baru; kini hati kamu dipenuhi kecintaan kepada Allah…’

Ia bukan sessi penyucian jiwa dan tidak ada apa-apa jaminan pengampunan dosa diberikan oleh trainer. Tetapi setelah peserta menyedari hakikat hidup mereka selama ini ’mentuhan’kan material dan makhluk, barulah keinsafan itu tiba untuk hidup benar-benar mengabdi kepda Allah dalam keadaan apa sekalipun. Kebiasaannya peserta saat ini dalam keadaan emosi yang sangat tersentuh, menangis dan menyesal dengan segala kesalahannya selama ini. Di saat itu Trainer akan memberikan harapan bahawa pengampunan Allah sentiasa ada untuk yang bertaubat. Allah menerima orang yang berdosa untuk kembali kepadaNya (bukan trainer yg mengampunkan dosa).


KESIMPULAN KESELURUHAN :

Sepanjang ESQ Training dijalankan, tidak ada sesi penyucian atau pengakuan dosa seperti yang di dakwa menyamai ajaran kristian. Secara keseluruhan, bukan sahaja peserta diminta mengingati dosa dan memohon pengampunan kepada Allah, malah trainer sendiri perlu sentiasa merasa berdosa dan memohon ampunan kepada Allah.

Bukan sahaja Kartasis, malam keseluruhan 3 hari Training ini hanyalah satu usaha membawa kesedaran kepada peserta kepada beriman sesungguh hati kepada 6 Rukun iman dan melaksanakan sungguh-sungguh 5 Rukun Islam. Ia bukan bermakna sesiapa yang telah melalui proses ini telah bersih jiwanya. Ini hanyalah salah satu kaedah atau usaha untuk memberi kesadaran kepada peserta. Selepas mereka sedar, menjadi tanggungjawab mereka untuk terus melakukan proses pembersihan hati dan mengikut sepenuhnya 6 Rukun Iman, 5 Rukun Islam dan Ihsan.

Di dalam kajian ini terdapat banyak perkara yang hanya disyaki, berkemungkinan, seolah-olah yang tidak tepat dengan disiplin ilmu Islam dalam menilai sesuatu perkara hingga diputuskan salah atau menyeleweng. Sesuatu yang meragukan harus dikaji terus hingga jelas dan yakin akan kebenaran atau kesalahan sesuatu perkara itu.



PERKARA 6 : MENDAHULUKAN IHSAN DARI IMAN DAN ISLAM

Mendahulukan Ihsan di samping Islam dan Iman sebagai prinsip asas dalam aktiviti kursus ESQ Way 165.


HURAIAN :

Di dalam Laporan Panel Pemantau, ada satu hal yang menjadi persoalan mereka iaitu apakah Training ESQ program agama atau bukan? Menurut Panel Pemantau, setelah pemerhatian dan kajian dilakukan Panel Pemantau meyakini Training ESQ adalah jelas program agama, walaupun ESQ mendakwa ia adalah training motivasi dalam membina modal insan dan menurut Panel Pemantau, apabila Training ESQ menggunakan pendekatan Islam, maka program ini mestilah terikat kepada landasan-landasan agama Islam yang betul dan sesuai dengan prinsip Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Menurut Panel, berdasarkan Hadith Jibril a.s. Rasullullah SAW mengajarkan kita supaya mengikut tertib yang betul dalam mengamalkan agama iaitu seseorang itu perlu bermula dari Islam, Iman dan barulah Ihsan, dan bukan sebaliknya. Tetapi pendekatan Training ESQ ini dikatakan menyalahi dan songsang dari hadith tersebut apabila meletakkan Ihsan sebagai matlamat pertama. Seseorang tidak mungkin mencapai maqam Ihsan selama mana beliau tidak mengukuhkan prinsip-prinsip Islam dan Iman terlebih dahulu.

Dari hal di atas, terdapat 2 hal yang perlukan penjelasan.

A. Apakah Training ESQ program agama.
B. Mengapa ESQ tidak mengikut turunan Islam, Iman dan Ihsan seperti di dalam Hadis Jibril.


PENJELASAN PERKARA 6. A :

Hal ini merupakan salah faham terhadap Training ESQ. Training ESQ adalah Training untuk Pembangunan Modal Insan atau Human Resource Development (HRD) berdasarkan Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan. Ia dimaksudkan bukan program agama kerana ia bukan mengajarkan hal2 agama secara khusus seperti mengajarkan ilmu solat, aturan akad nikah, hukum jual-beli dan sebagainya. Tetapi Training ESQ adalah khas untuk Pembangunan Modal Insan (Jati diri) dengan menggunakan pendekatan melalui hikmah dari Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan. Jika tetap mahu mengketogarikan training ESQ ini sebagai program agama, ia adalah di bawah uslub dakwah. Bukan selainnya. Kerana apa yang disampaikan di dalam Training ESQ adalah seruan kepada kebaikan dan kebenaran. Bukan mengajar ilmu feqah, tauhid atau tasawuf.

Jika ESQ sebuah Training Pembangunan Modal insan, mengapa menggunakan Al Quran dan As Sunnah dan banyak unsur-unsur agama di dalamnya? Ini adalah kerana Pengasasnya menyakini tidak ada satu kaedah yang lebih tepat dan benar melainkan sesuatu yang diturunkan oleh Allah melalui utusannya iaitu Rasulullah SAW.

Selama ini kebanyakan dari umat Islam hanya melihat Rukun Islam, Iman dan Ihsan adalah sebagai rukun yang penting untuk keselamatan di akhirat. Para pelajar sekolah rendah diajar dengan rukun-rukun ini tetapi lebih kepada menghafal sahaja tanpa mengetahui bagaimana untuk mengaplikasikannya di dalam kehidupan. Bagaimana menggunakannya di dalam kehidupan berumahtangga untuk mendapatkan keluarga yang bahagia. Bagaimana menggunakannya untuk membentuk masyarakat yang maju dan diredhai Allah. Apatah lagi dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan kemajuan sebuah syarikat, perniagaan dan pentadbiran sebuah organisasi yang selama ini dilihat sebagai ’hal-hal dunia’

Kerana itu, akhirnya apa yang berlaku adalah, rujukan hal-hal yang berkaitan Pembangunan Modal Insan dan Pengurusan syarikat dan pentadbiran organisasi, dan yang seumpama dengannya, panduannya di ambil dari barat yang tidak ada sedikitpun mengarah kepada keimanan terhadap Allah dan hari akhirat. Dr Ary Ginanjar menyedari hal ini dan merasa bertanggungjawab melakukan sesuatu. Dari pembacaan dan penelitiannya terhadap buku-buku motivasi dari barat, Dr Ary Ginanjar akhirnya meyakini ada benang merah yang menghubungkan semua pemikiran ini. Dan semua pemikiran barat ini terpisah-pisah dan tidak sempurna kerana tidak mengembalikan atau berasas kepada Tauhid iaitu keimanan kepada Allah. Akhirnya, beliau menulis atas kapasitinya sebagai seorang peniaga (bisnessman) yang terjun langsung di dunia pengurusan dan perniagaan sehingga beliau sangat tahu apa masalah dan keperluan dan bahasa ahli korporat dan pentadbir. Sehingga beliau menggunakan semua bahasa itu untuk menyampaikan kepada mereka bahawa tidak ada kaedah, penyelesaian, strategi yang lebih sempurna dalam menguruskan manusia, melainkan sesuatu yang datang dari Allah. Melalui bimbingan Kiyai Habib Adnan (Gurunya, Pengerusi Majlis Ulama di Bali) Dr Ary menulis buku ESQ, Rahsia Sukses Membangunkan Kecerdasan Emosional dan Spiritual, yang kemudiannya menjadi modul Training Pembangunan Modal Insan. Inti dari buku dan modul ESQ adalah bagaimana hikmah dari Rukun Islam, Iman dan Ihsan dapat membangunkan potensi diri manusia. Kerana itu Dr Ary tidak mendakwa Training ini adalah program agama walaupun hakikatnya, keseluruhan isi training adalah dari Al Quran dan As Sunnah.

Sebab lain mengapa ia tidak di umumkan sebagai program agama, adalah kerana targetnya adalah untuk mendekatkan masyarakat yang selama ini jauh dari agama kembali kepada Islam. Masyarakat yang selama ini yakin dengan barat, tidak mahu kepada agama, disedarkan bahawa Islam mempunyai penyelesaian sempurna yang mereka perlukan untuk kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Inilah mengapa, Training ESQ tidak disebutkan sebagai sebuah program agama.


PENJELASAN PERKARA 5. B :

Persoalan kedua yang ditimbulkan adalah, jika ESQ sebuah training yang menggunakan pendekatan Islam, maka program ini mestilah terikat kepada landasan-landasan agama Islam iaitu merujuk kepada turutan hadis Jibril iaitu bermula dengan Islam, Iman dan barulah Ihsan, bukan sebaliknya. ESQ dianggap songsang dari hadis tersebut apabila meletakkan Ihsan sebagai matlamat pertama. Menurut Panel Pemantau, sesaorang tidak mungkin mencapai maqam ihsan selama mana beliau tidak mengukuhkan prinsip-prinsip Islam dan Iman terlebih dahulu.

ESQWay165 adalah sebuah jenama yang sesuai dengan methodology yang digunakan. Ia tiada bermaksud memberi pendekatan secara songsang. Di dalam ESQ Training, 165 adalah pendekatan metodologi yang serentak dan bersepadu. Hadis Jibril yang dibacakan di dalam Training, tidak pernah diubah. Hadis tetap dibaca secara tertib.

Pendapat yang mengatakan bahawa hadis ini mengajar kita supaya bertertib dalam mengamalkan Islam kemudian iman dan seterusnya ihsan perlu diteliti semula, kerana dari sudut logiknya tertib bermaksud melakukan sesuatu perkara mengikut urutan dan tidak boleh melakukan perkara yang lain kecuali setelah selesai perkara sebelumnya. Dalam konteks ini, adakah kita perlu selesai mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji dahulu baru kita beriman dengan Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan qada’ dan qadar?!

Selain itu, dalam pelaksanaan modul ini seperti yang diakui sendiri oleh Panel Pemantau, 1 (ehsan) merupakan matlamat yang perlu dicapai melalui proses penghayatan terhadap dua tahap yang terkandung dalam rajah modul ini sendiri iaitu 5 (Islam) dan 6 (Iman), dan bukannya dapatkan Ihsan dahulu baru laksanakan Islam dan Iman. Kerana itu di ESQ Training, peserta diceritakan dan diberi faham dulu akan erti dan keindahan ihsan (1) supaya mereka mencintai dan mahu mencapainya, barulah diterangkan bagaimana mendapatkannya, haruslah beriman dengan 6 Rukun Iman dan mengamalkan 5 rukun Islam. Hal ini seperti yang diajarkan Allah di dalam Al Quran. Allah menceritakan kieindahan syurga dan kehidupan akhirat untuk orang bertaqwa, bagaimana mendapatkannya? Haruslah beriman dan berusaha di dunia ini. Tidak bermakna hal akhirat tidak diceritakan dahulu kerana manusia masih banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di dunia ini.

Dalam menyusun program ESQ Training, cara pendekatan adalah dengan memulakan Ihsan bagi menimbulkan keyakinan dan kebesaran Allah SWT dan setelah menjelaskan Ihsan, barulah seterusnya penjelasan kepada Iman dan Islam yang mana ini sekadar satu bentuk penyusunan jadual yang tidak bercanggah dengan kehendak hadith Jibril a.s.

Sebagai contoh dalam kita mempelajari Al-Quran, kita memulakan dulu dengan juzu’ yang ke-30, tidak mengikut susunan Al-Quran itu sendiri, iaitu bermula dari Surah Al-Baqarah sehingga Surah An-Nas. Apakah ia salah?

Di dalam training, segala hadis dan ayat Al-Quran ditulis dan dibaca maksudnya seadanya sepertimana hadith Jibril. Hadis Jibril a.s yang selalu disampaikan di dalam training ESQ adalah seperti berikut :

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: “Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.” Lelaki tersebut berkata: “Benarlah engkau.” Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: “Terangkan kepadaku tentang lman.” Baginda bersabda: “(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.” Lelaki itu berkata: “Benarlah engkau. “
Dia berkata lagi: “Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. “
Lelaki itu bertanya lagi: “Terangkan kepadaku tentang Qiamat.” Baginda bersabda: “Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.” Lelaki itu berkata: “Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).” Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”

Sumber: Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no: 4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346)


KESIMPULAN :

ESQ tidak mengubah Hadis. Setiap kali Training, Hadis Jibril dibaca sesuai seperti yang diriwayatkan.

Hadis Jibril yang menerangkan tentang Islam, Iman dan Ihsan itu adalah sebuah penerangan akan makna ke tiga-tiganya, bukan pada tertib yang mana perlu di dahulukan. Kerana pelaksanaan ketiga-tiganya haruslah dilakukan secara serentak dan bersepadu.

Di dalam Training dan buku ESQ, Dr Ary memilih untuk menerangkan tentang Ihsan dahulu kerana keyakinan adalah pokok ibadah sesaorang. Apabila iman telah masuk, barulah konsep ibadah yang lima mudah diterima dan dilaksanakan. Ini adalah sebuah metodologi training, bukan menyonsangkan hadis.


PERKARA 6 : GOD SPOT DAN ZERO MIND PROSESS

Menggunakan teori God Spot dan Zero Mind Process yang bersumber daripada barat dan tiada dalam tradisi ajaran Islam. Teori-teori ini tidak dinyatakan secara jelas dan akan menimbulkan kacau bilau dalam pemikiran umat Islam. Teori Zero Mind Process sekiranya hanya melibatkan pengosongan jiwa dikhuatiri akan menyamai konsep Nirvana dalam ajaran Buddha.


HURAIAN 6.1 : God Spot

Menurut Panel Pemantau, God Spot tiada dalam tradisi ajaran Islam dan menggunakan istilah ‘God-Spot’ ini hanya akan menimbulkan kacau bilau dalam pemikiran umat Islam. Panel Pemantau juga menimbulkan persoalan, andaikata kesedaran bertuhan itu kerana saraf berkenaan, adakah jika saraf itu tercedera, maka manusia akan hilang perasaan ingin bertuhan tersebut? – Sumber Kertas Laporan kajian Panel Pemantau



PENJELASAN PERKARA 6.1 :

Sebagaimana kita semua mengetahui, bahawa umumnya ilmuan Barat tidak mengakui kewujudan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan saraf-saraf di otak yang dinamakan “God Spot” oleh saintis bernama VS Ramachandran, pakar neurology, pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal juga sebagai Marcopolo of Neurology, telah menjelaskan secara ilmiah bahawa manusia secara semulajadi mencari dan ingin bertuhan.

Paparan penemuan sains God Spot dibuku dan training ESQ adalah untuk membuktikan kebenaran ayat Al Quran surat Adz- Dzariyat ayat 56, yang terjemahannya berbunyi “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku.”. Manusia secara semulajari (Fitrah) telah disiapkan Allah dengan keinginan untuk sentiasa mengabdi pada Allah. Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Persoalan dari Panel Pemantau, andaikata kesedaran bertuhan itu kerana saraf berkenaan, adakah jika saraf itu tercedera, maka manusia akan hilang perasaan ingin bertuhan tersebut?

Kesedaran bertuhan atau Fitrah itu adalah kehendak Allah ke atas manusia ciptaanNya. Itu wajib diyakini kerana ia telah dijelaskan di dalam Al Quran dan hadis Rasulullah. Allah melaksanakan kehendakNya tanpa mengabaikan prosesnya. Dan kebiasaannya proses itulah yang menambah keimanan kita sebagai manusia. Seperti permintaan Nabi Ibrahim ingin melihat bagaimana Allah mengidupkan orang yang mati. Allah bertanya, apakah kamu tidak yakin, Nabi Ibrahim menjawab, “bukan aku tidak yakin tetapi aku mahu MEMANTAPKAN hatiku”. Nabi Ibrahim ingin melihat proses. Dan Allah perlihatkan bagaimana Dia menghidupkan 4 ekor burung yang telah dicincang. Kisah ini dapat kita hayati di dalam Al Quran, Surah Al Baqarah ayat 260.

Begitu juga dengan penemuan “God Spot”. Kita meyakini Fitrah tetapi dengan penemuan “God Spot” kita melihat proses yang menambah keyakinan tentang Fitrah yang disebutkan oleh Rasulullah itu. Penemuan-penemuan sains hanya ‘alat’ membantu meyakinkan masyarakat yang telah jauh dari agama sekarang ini. Untuk saat ini, “God Spot” adalah penemuan sains yang dapat menjelaskan sedikit dari hal berkaitan Fitrah. Tetapi tidak kita nafikan penemuan sains itu berkembang. Mungkin bukan sekadar saraf ini, mungkin ada lagi saraf-saraf lain yang berfungsi membawa manusia memikirkan hal-hal berkaitan ketuhanan. Namun seandainya jika hanya ada hanya saraf ini (God Spot) dan ia rosak, secara logiknya akan menyebabkan manusia hilang kemampuan untuk menjadi manusia normal. Mungkin gila atau sakit otak. Dan apakah orang seperti ini diwajibkan beriman seperti manusia normal? Mari kita fikirkan bersama.



HURAIAN 6.2 : ZERO MIND PROSESS


Menurut Panel Pemantau, di dalam ESQ Zero Mind Process (ZMP) adalah proses yang mesti dilalui seseorang yang ingin mencapai kemurnian suara hati. Menurut Panel Pemantau juga Zero Mind Process ini jika hanya melibatkan pengosongan jiwa dari sifat-sifat buruk tanpa melalui zikir dan amalan kerohanian lain, maka dikhuatiri akan menyamai konsep Nirvana dalam ajaran Buddha.


PENJELASAN PERKARA 6.2 :

Zero Mind Process (ZMP) BUKAN lah proses yang mesti dilalui seseorang yang ingin mencapai kemurnian suara hati seperti yang didakwa oleh Panel Pemantau. Tetapi Membersihkan fikiran dan hati dari keburukan (At-Takhalli) adalah kewajipan setiap umat Islam. Zero Mind Proses hanyalah satu ‘istilah’ yang diberikan oleh Dr Ary Ginanjar dan digunakan di training untuk menjelaskan bagaimana fikiran boleh terbelenggu dengan pelbagai hal negative hingga ia perlu dibersihkan sentiasa. Istilah Zero Mind Prosess ini bukanlah istilah dari barat seperti yang didakwa tetapi diberikan sendiri namanya oleh Dr Ary Ginanjar untuk memudahkan kefahaman peserta yang terdiri dari mereka yang berpendidikan barat (bukan berlatar belakang agama).

Untuk membersihkan fikiran dari belenggu-belenggu, Para trainer sentiasa menyarankan supaya peserta mengamalkan 3 perkara iaitu :

i. Sentiasa beristighfar
ii. Sentiasa berwudu’ dengan memberi filosofi makna di sebalik makna berwudu’ iaitu ketika membasuh tangan kita niatkan membasuh segala dosa-dosa yang dilakukan oleh tangan dan menghindari tangan ini daripada membuat dosa, begitu juga dengan anggota-anggota yang lain dengan niat yang serupa
iii. Mengambil makna dan hikmah dari pemakaian kain ihram yang bersih dan tiada lagi unsure kemewahan atau kebanggaan. Iaitu supaya kita menghindari segala perbuatan-perbuatan yang menyalahi hukum syarak ketika berihram, sebagai contoh bergaduh, melakukan jenayah, bercakap dengan perkataan-perkataan yang menyalahi akhlak Islam dan meninggalkan semua yang bersifat luaran hingga tiada lagi perbezaan darjat atau kedudukan sesama manusia.

Hasil dari ZMP adalah seseorang terbebas dari belenggu-belenggu yang disebut seperti prasangka negatif, prinsip–prinsip hidup yang menyesatkan, pengalaman yang mempengaruhi fikiran dan sebagainya. Namun, perlu difahami ZMP adalah proses yang perlu dilakukan sentiasa, tiada henti. Bukan bermakna setelah training, peserta telah bersih hatinya seperti yang difahami oleh Panel Pemantau. Seperti menjaga hati dari berprasangka buruk, membanding-banding diri dengan orang lain, menjadikan pengalaman sendiri untuk mengukur diri orang lain dan sebagainya adalah proses yang harus dilakukan setiap saat. Apabila datang sahaja fikiran yang berburuk sangka dengan orang lain, peserta diajar agar segera istiqfar dan bersihkan semula fikiran dengan bersangka baik. Apabila fikiran sudah kembali bersih, barulah sesaorang dapat melihat sesuatu perkara itu dengan jernih dan adil.


KESIMPULAN PERKARA 6 :

ZMP bukan kaedah mengosongkan fikiran seperti meditasi atau Nirvani di dalam ajaran Buddha dan ia bukan istilah dari barat. Dakwaan ini hanya memperlihatkan kedangkalan kajian yang dikatakan telah dijalankan selama 1 tahun oleh para pakar yang berwibawa.



PERKARA 7 :

Terdapat beberapa aspek dari segi penafsiran ayat-ayat al Quran yang tidak dirujuk kepada tafsir yang muktabar, penggunaan istilah tasawuf tanpa merujuk kitab tasawuf yang muktabar, aspresiasi yang menimbulkan persoalan dan pengubahan fakta-fakta penting dalam buku utama ESQ dari satu edisi ke edisi lain tanpa menarik balik buku edisi yang terawal.


PENJELASAN :


Penafsiran tidak Mengikut Tafsir/kitab Muktabar

Di ESQ penafsiran ayat-ayat Al Quran tidak dilakukan secara bebas kerana pemahaman dan penafsiran ayat-ayat Al Quran yang dilakukan oleh Dr Ary Ginanjar di buku dan modul Training ESQ sentiasa mendapat bimbingan dan nasihat daripada para tokoh dan ilmuan Islam di Indonesia (juga kemudiannya dikaji dan diteliti oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ di Malaysia). Walaupun pemahaman dan penafsiran yang dibuat oleh Dr Ary Ginanjar di dalam buku dan modulnya didakwa tidak merujuk kepada penafsiran para ahli tafsir atau kitab-kitab tafsir muktabar, namun pemahaman dan penafsiran yang dilakukan masih di dalam landasan yang dibenarkan oleh syarak. Sepanjang penelitian Panel Syariah dan Akidah ESQ, tidak ada penafsiran atau pemahaman yang boleh dianggap terkeluar dari ruang lingkup (ihtimal) yang boleh ditunaikan oleh sesuatu ayat melalui makna yang tersirat di sebalik kalimah-kalimahnya, struktur ayat dan lain-lain yang tidak berasaskan dalil sahih.


Penggunaan istilah tasawuf tanpa merujuk kitab tasawuf yang muktabar

ESQ bukan training yang mengajar ilmu Tasawuf dan tidak menggunakan istilah-istilah Tasawuf sehingga memerlukan rujukan khas kepada kitab tasawuf muktabar.

ESQ adalah sebuah lembaga Training, Pembangunan Modal Insan yang mengambil Rukun Iman, Islam dan Ihsan sebagai asasnya. Sebarang hal berkaitan ketepatan menggunakan sesuatu istilah, di modul mahupun Training, ESQ sentiasa mendapat nasihat dan bimbingan dari Panel Syariah dan Akidah ESQ. Sekiranya ada istilah yang tidak tepat, ESQ akan membuat perubahan sesuai dengan apa yang dinasihatkan. Contoh seperti penggunaan kalimah “suara hati”. Setelah mendapat nasihat dari Panel Syariah dan Akidah ESQ, ia telah ditambah menjadi “suara hati nurani yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah”. ESQ sentiasa terbuka dengan pandangan dan teguran demi menjadikan modul Training ini lebih baik dari masa ke semasa.


Aspresiasi yang menimbulkan persoalan

Hal ini tentu merujuk kepada beberapa penghargaan yang dinyatakan oleh Dr Ary Ginanjar di buku ESQ (versi Indonesia), kepada tokoh-tokoh yang dianggap sebagai tokoh-tokoh yang menyokong fahaman Islam liberal. Penghargaan itu terdapat di Buku ESQ, yang di terbitkan pada tahun 2001. Tokoh-tokoh itu baru nyata sebagai tokoh Islam Liberal sekitar tahun 2005.


Pengubahan fakta-fakta penting dalam buku utama ESQ dari satu edisi ke edisi lain tanpa menarik balik buku edisi yang terawal.

Buku Utama ESQ yang bertajuk ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, Alhamdulillah telah selesai di sunting oleh lima orang panel Syariah dan Akidah ESQ. Pelbagai pengubahsuaian dan pembaikan di lakukan supaya tidak lagi menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Draf pertama ini sedang diteliti oleh beberapa orang pakar luar yang diminta oleh ESQ, meneliti sekali lagi supaya ia menjadi benar-benar naskah yang mudah difahami oleh pembaca di Malaysia, dan tidak mengandungi istilah-istilah yang mengelirukan.

Buku ESQ versi Indonesia, sudah diberhentikan pengedarannya di Malaysia oleh ESQ Leadership Center, semenjak dari tahun 2006. Di Indonesia sendiri, walaupun buku ESQ telah berada di pasaran sejak 10 tahun yang lalu, ia terus di melalui proses pembaikan dari masa ke semasa. ESQ sentiasa terbuka dengan usaha untuk menambahbaikkan Training ini dan sentiasa membuka pintunya untuk perbincangan.

Dakwaan yang mengatakan ESQ tidak melakukan perubahan setelah ditegur adalah tidak benar. Semua teguran di ambil dan dikaji oleh Panel Syariah dan Aqidah ESQ untuk mencapai kata sepakat, bagaimana perubahan itu dilakukan dan bagaimana alternative yang dicadangkan. Ada teguran-teguran individu tertentu yang mungkin tidak diambil, bukan kerana ESQ tidak menghormati kredibilitinya sebagai seorang ulama atau ustaz, tetapi hal-hal berkaitan agama ini sentiasa ada ruang perbezaan yang dibenarkan syarak.





PERKARA 7 :

Agama Islam diletakkan terlalu inskusif, sedangkan Islam bersifat ekskusif.


PENJELASAN :

ESQ tidak meletakkan Islam terlalu inskusif. ESQ perlu di lihat dalam konteks dakwah, mendekatkan nilai-nilai agama ini kepada umat yang sudah jauh meninggalkannya dalam kehidupan seharian.

Menjaga kesucian Islam tidak sekadar memeliharanya dari penafsiran salah dan dipesongkan kefahamannya tetapi juga bagaimana menjadikan masyarakat dekat, cinta dan ingin hidup di landasan agama yang benar lagi lurus ini. Sesungguhnya beruntunglah umat Islam yang berada di dalam agama kebenaran ini, namun hakikatnya semua manusia berhak mengenali dan mengetahui kebenaran dan keindahan Islam yang sempurna.

Buku dan Modul Training ESQ dibentuk untuk memperkenalkan keindahan dan kesempurnaan Islam melalui Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan di dalam pembangunan Modal Insan. Ia terbuka kepada semua bangsa dan agama kerana dari sinilah diharap menjadi jambatan mereka mengenali kesempurnaan ajaran Islam yang bukan hanya untuk kehidupan akhirat tetapi menyediakan panduan lengkap untuk kehidupan di dunia ini.

Contohnya di dalam Modul Character Building. Peserta di dedahkan tentang pentingnya membangunkan karakter. Dalam Islam antara hikmah solat adalah dapat membentuk karakter yang mulia dan teguh. Peserta bukan Islam boleh mendapatkan ilmunya tetapi mereka tidak dapat mengamalkannya. Ini adalah pendedahan kepada mereka betapa Islam itu sangat sempurna dan lengkap untuk kejayaan di dunia dan akhirat. Hal ini bukan untuk menjadikan nilai-nilai ekskusif menjadi inklusif tetapi sebagai seruan kepada kebenaran dengan cara hikmah.

Bahasa Inggeris digunakan di kebanyakan istilah ESQ bukanlah untuk menggantikan rukun agama tetapi sebagai usaha membawa Nilai-nilai Rukun Iman, Islam dan Ihsan ke peringkat dunia, sesuai dengan keyakinan kita semua bahawa Islam adalah solusi umat dunia.


KESIMPULAN :

ESQ samasekali tidak menjadikan Islam sebagai sesuatu yang insklusif. Tetapi Islam dapat didekatkan dengan umat hingga keindahan dan kebenarannya dapat diyakini, dirasakan dan diterima dunia.

Kerana itu ESQ Training sangat perlu menggunakan pendekatan yang menarik perhatian peserta serta dapat memudahkan kefahaman peserta yang kebanyakannya sudah banyak terdedah dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran dari barat.




PENUTUP

Semua jawapan dan penjelasan di atas adalah usaha untuk mengurangkan kekeliruan dan kebingunan masyarakat yang terdedah dengan konflik ’pengharaman’ ESQ. Sesungguhnya masih banyak perkara yang boleh diperbincang dan diperbaiki jika pintu muzakarah dibuka seluas-luasnya.

Sesuatu yang baru, pasti menimbulkan pertikaian dan perbezaan cara pandang. Sekiranya kita bimbang Al Quran dan As Sunnah ‘disalah’ guna, inilah peranan para ulama membimbing dan menuntun para rakyat. Inilah fungsi Panel Syariah & Akidah, bukan melindungi Al Quran dan As Sunnah hingga rakyat takut menggunakannya, tetapi mendekatkan Al Quran dan As Sunnah hingga menjadi ‘cara hidup’ yang mudah diikuti dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia dalam setiap kehidupan.

ESQ Training adalah training yang terbuka kepada sesiapa saja, hingga ia bebas dinilai oleh sesiapa sahaja. Walaupun ia ditolak oleh segolongan pihak, namun ia juga telah sangat-sangat dialu-alukan oleh pelbagai golongan di Malaysia yang telah merasai manfaatnya. Adalah menjadi dasar rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka dan mencintai ilmu, sentiasa mengalukan pendekatan dan ilmu yang terbukti keberkesanannya, membawa perubahan peribadi ribuan individu di Malaysia dan memperbaiki ribuan institusi kekeluargaan dan syarikat di Malaysia. Tidak salah untuk kita belajar dari kejayaan masyarakat di Barat, di Jepun begitu juga dengan rakyat serumpun dan seagama iaitu dari Indonesia.

Kebanyakan peserta Training ESQ adalah mereka yang mengkagumi barat dan jauh dari ilmu agama. Namun apabila didedahkan dengan kehebatan Al Quran dan kebenaran Islam, mereka kembali menjadikan “Islam The Way Of Life”. Yang tidak solat, belajar mengerjakan solat. Yang tidak pernah ke masjid, mula ke masjid dengan majlis-majlis pengajian ilmu. Anak-anak yang melawan ibu bapa, kembali menyedari kesalahan dan berubah. Ibu bapa yang selama ini hanya mementingkan pendidikan akademik, mula mendidik anak-anak berlandaskan agama Islam. Secara umumnya, boleh disimpulkan bahawa masyarakat yang jauh dari agama, kini dibawa mendekatinya dengan cara yang hikmah tanpa paksaan. Harga kesedaran ini tidak ternilai.

Mari kita hayati sharing Dato’ Hushamuddin, CEO Karangkraf ini ;

“32 tahun saya mengamalkan ilmu barat yang jelas di ambil dari Yahudi, orang memuji management saya hebat. Tapi baru 2 tahun saya belajar dari orang Islam dan mengamalkan ilmu pengurusan Islam dari nilai rukun Islam, Iman dan Ihsan yang jauh lebih hebat dari barat… orang menuduh saya Yahudi…”

Sebagai akhirnya, ingin ditegaskan bahawa ESQ berusaha menyampaikan inti Modul iaitu dari Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan dengan cara yang hikmah seperti perintah Allah di dalam Al Quran, yang bermaksud ;

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik , dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” QS An Nahl 125-126

Sesungguhnya tidak ada yang sempurna melainkan Allah SWT. Manusia hanya berusaha dan merancang, hasilnya adalah hak Allah yang Maha berkehendak.

Firman Allah yang bermaksud ;

”Sesungguhnya engkau (wahai Muahammad) tidak berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapapun yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan siapa yang mendapat petunjuk (kepada memeluk Islam)” QS Al Qasas : 56

6 comments:

  1. Sekali lagi penulisan anda semakin menampakkan wajah ESQ yg sebenar. Hujahan anda menggambarkan pengetahuan anda tidak meluas, hanya sebatas tulisan-tulisan Ary sahaja. Prof Zakaria tidak keliru, tetapi anda yang keliru sebenarnya.

    ReplyDelete
  2. Saudari Nur, Prof Zakaria Stapa seorang yang sangat berilmu, seperti juga Muhammad Ariffin. Tapi masalahnya adalah apabila ilmu yang banyak itu digunakan mengukur sesuatu yang mereka tidak jelas tentangnya. Bukan masalah ilmu mereka yang banyak, tetapi adalah kedangkalan pengetahuan mereka tentang apa yang mereka tuduhkan. Contohnya seorang tukang masak yang sangat arif malah pakar dalam masakan barat. kek, biskut dan sebagainya adalah kemahirannya. Apabila diberikan kuih bingka ubi, dengan ilmunya yang tinggi dibidang kek dan pastri, dia mengkaji bingka ubi... lalu hasilnya, keluarlah keputusan bahawa bingka ubi itu adalah kek yang tak menjadi. Kek yang terkeluar dari adunan asal dan kek yang tidak boleh dimakan. Cubalah mereka rasa dan nikmati bingka ubi itu dulu...

    Prof Zakaria Stapa dan Muhammad Ariffin tidak pernah ke training ESQ sebelum mengeluarkan tuduhan yang begitu berat kepada sesama Islam. Apakah yang menghalang mereka mencemar diri datang ke training ESQ melihat dengan mata sendiri, mendengar dengan teliga sendiri, merasa dengan hati sendiri apa yang bakal mereka jatuhkan hukum padanya. Tidak cukup dengan membaca buku tahun 2001... kemudian menjatuhkan hukum di 2010. Tidak cukup mendengar laporan anak-anak buah yang dihantar ke Training, yang sebelum ke training ESQ telah diberikan pelbagai info negatif tentang ESQ. Hingga kajian bermula bukan atas sangka baik, tapi sangka buruk. Memang pahit menyebutkan hal ini. Tapi pahit lagi tuduhan yang dilemparkan kepada ESQ dan pengasasnya Dr Ary Ginanjar Agustian. Jika anda berpeluang mengenali kehidupannya sehari... perjuangannya, tangisannya, kebimbangannya, kesungguhannya... anda akan berfikir 1000 kali untuk menuduhnya seperti sekarang. Tidak ada ruginya membuka hati, mencari sebab mengapa para mufti menyokong training ini. Cuba tanya dari hati ke hati kepada setiap mufti ini... apa yang mereka lihat pada ESQ? jangan terlalu mudah menuduh mereka dibayar. Muhammad Ariffin tidak boleh sombong mendakwa 'membuat orang menangis itu kerja biasa saya' seolah lupa, sesungguhnya siapakah yang membuatkan kamu menangis dan ketawa? jika bukan Allah? ... Saya teringat kata-kata Tan Sri Harussani, "berpuluh tahun saya berjuang cuba membawa orang kepada Allah... tapi ESQ melakukannya dalam masa 3 hari" Mengapa perlu ragu apabila Allah berkehendak? Mengapa metode yang baik ini tidak dikongsi sebaliknya dimusuhi? Jika kerana tuduhan ia didalangi Yahudi atau Kristian, bawalah bukti. jangan hanya bercakap berdasarkan andaian atau agakan. kerana itu hanya akan ditertawakan oleh masyarakat yang semakin celek dan tahu menilai.

    ReplyDelete
  3. Prof Zakaria Stapa seorang ilmuan yang sangat tinggi ilmunya. Tidak ada sedikit jua keraguan tentang itu. Namun ilmu yang tinggi itu tidak cukup untuk menghukum sesuatu yang dia tidak mempunyai ilmu tentangnya. Apakah beliau kenal Ary Ginanjar? Sejauhmana beliau berusaha untuk mengenal Ary Ginanjar? Sejauhmana beliau meyakini semua laporan yang diterimanya tentang training ESQ. Di manakah dasar kajian tentang ESQ dimulakan? Bedasarkan sangka baik atau sangka buruk? Apakah yang menghalang beliau untuk turun sendiri ke training 3 hari untuk menilai. ESQ bukan seperti gerakan Arqam atau Ayah Pin. ESQ hanya training 3 hari. Yang dibicarakan adalah soal aqidah... tidak cukup menilainya hanya dari buku yang tidak mampu menjawab atau menjelaskan apa yang ingin diketahui. Orang yang ingin diadili masih hidup. Mengapa tidak disiasat semahunya? Dengan pertemuan 1-2 jam tidak memadai untuk menghukum iman sesaorang.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum kak...
    saya merupakan pelajar daripada salah satu Universiti tempatan di selangor.Sekarang saya sedang melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana muda dan sedang mengikuti subject Islamic II(ISLB 213) yang mana menekankan berkaitan akidah.sekarang saya segang menjalankan kajian berkaitan "kenapakan JAWI telah mengharamkan ESQ ini daripada disebarluaskan di wilayah persekutuan".Ini adalah tugasan final exam yang diberi oleh pensyarah sy.saya mohon kerjasama akak yang berpengalaman berkaitan EQS untuk mengulaskn nya.saya harap akak dapat membantu saya dalam menjayakan kajian saya ini.akak bole emailakn kepada saya pandangan akak. saad_firdaus@yahoo.com.... kerjasama akak didahulukan dgn ucapan terima kasih.

    ReplyDelete
  5. silakan tanya apa saja kepada saya. InsyaAllah apa yang termampu akan dijawab supaya kajian saudara menyeluruh dan terperinci.

    Sebaiknya, interview juga semua panel syariah ESQ. Tanyakan mengapa mereka sanggup bersusah menjadi Panel syariah dan akidah esq hingga terlibat dengan kontroversi yang mengundang pelbagai tuduhan dan tomahan kepada mereka. Mengapa mereka bekerja sudah tidak mengikut waktu yang sepatutnya. Sanggup terbang ke sana sini, untuk menjelaskan tentang esq... apakah di usia lanjut begitu wang yang menjadi penyebab?

    Buatlah kajian dengan hati dan akal yang bersih... insyaAllah tesis anda akan jadi satu kajian yang akan dikenang dalam sejarah perkembangan Islam di Malaysia, Amiin. tksh.

    ReplyDelete
  6. Kalau kita tidak tahu apa-apa lebih baik berdiam diri dari melalut sendiri. Tanyakan pada staffs di UKM siapa Prof.Zakaria Stapa..Dekan di sebuah falkulti yang asyik tidak pernah berpuas hati dengan semua orang..malahan mereka di Fakulti ini sememangnya merasakan mereka lah yang paling hebat berbanding dengan orang lain tetapi hakikatnya hanya orang2 yang dekat dengan mereka dan diri mereka sendiri yang tahu. Semoga Allah beri hidayah pada kita semua untuk melihat dengan mata hati.

    Saya dalam HR telah lama..jangan ingat motivator Malaysia tidak charge dan beri free service kalau tidak ada > RM5K jangan harap mereka akan datang secara PERCUMA. Masih ada yang IKHLAS tapi fikir2kan mereka juga punya staffs yang perlu dibiaya..samalah juga dengan ESQ..banyak tanggunggan mereka.Kalau tidak suka tidak perlulah panggil mereka. Panggil sahaja motivator yang sesuai poket dan budget sendiri. Tepuk dada tanya selera.

    ReplyDelete